Wednesday, October 3, 2012

Royalti: Mahkamah Persekutuan benar Kelantan merayu


Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan membenarkan Kerajaan Negeri Kelantan mengemukakan rayuan terhadap tiga tuntutan yang ditolak Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Tuntutan itu adalah memohon agar mahkamah menolak permohonan Kerajaan Persekutuan sebagai pencelah serta memohon mahkamah menolak permohonan Petronas membatalkan saman kerajaan negeri.


Satu lagi tuntutan adalah memohon penzahiran dokumen keputusan penyelesaian kes saman Kerajaan Terengganu terhadap Petronas sebelum ini.

(Gambar: Datuk Ahmad Yakub megimamkan solat sunat syukur selepas keputusan diumumkan)

Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim yang mendengar kes itu kira-kira jam 9 pagi ini.



Terdahulu, pasukan Konvoi Royalti Kelantan tiba di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya seawal jam 7.30 pagi ini bagi mendengar keputusan hari ini.



Mereka malam tadi berhimpun di Dataran Shah Alam dalam program Ceramah Mega Royalti yang dihadiri pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tinjauan Harakahdaily pagi ini mendapati hampir 600 orang dengan berpakaian merah bertulis 'Tuntut Royalti', dan 'R' berkumpul di pekarangan bangunan mahkamah.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan, Datuk Husam Musa, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Abdul Fatah Mahmod, Datuk Anwar Tan, Dr Mohd Fadhli Hassan, Baihaqi Atiqullah, Che Abdullah Mat Nawi, Wan Ubaidah Wan Omar dan kepimpinan yang lain.



Bercakap kepada peserta konvoi di luar mahkamah selepas itu, Husam berkata keputusan hari ini memberi petanda awal bahawa 'pintu gol lawan sudah ditembusi'.



"Kita bukan sahaja bagi hak kepada Petronas hisap minyak, tetapi juga mebuat explorasi telaga baru.

"Tuan rumah masih kerajaan negeri, Petronas hanya pekerja upahan kita. Bila kita mintak, dia kata tak boleh bagi. Ini bagi kita tak logik," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak akan sesekali akan berkompromi dalam isu ini dan menolak cubaan membayar sebahagian sahaja wang royalti iaitu RM300 juta setahun untuk Blok PM301 tanpa sebarang tunggakan.

"Kita nak kesemua bayaran untuk keempat-empat telaga kita dengan jumlah tunggakan RM10.4 bilion," tegasnya.


Sementara itu, Pengerusi 'R' Nazri Deraman berkata, pihaknya juga akan menyerahkan refrendum 150,000 tandatangan rakyat Kelantan ke Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.

Selain itu, konvoi R juga katanya akan berhenti di bangunan Petronas KLCC utnuk menyerahkan memorandum tuntutan royalti kepada pihak itu. - Harakah

'Kelantan berhak batal perjanjian dengan Petronas'

Kerajaan Kelantan berhak membatalkan perjanjian antara kerajaan negeri itu dengan Petronas yang dibuat pada 1975 dan mengambil semua platfom minyak yang diusahakan syarikat petroleum dan gas itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti dan Pendaratan Gas Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa. 

Beliau berkata, berdasarkan pengisytiharan undang-undang Akta Pembangunan Petroleum 1974, Petronas telah melanggar peruntukan perlembagaan persekutuan yang ditetapkan kepada setiap negeri berdaulat. 

"Mahkamah dunia menetapkan Kelantan negeri berdaulat walaupun pada masa itu sebelum merdeka. Tapi status kedaulatan negeri telah wujud. Akta (Pembangunan dan Petroleum) 1974 jika ditafsirkan telah mencabar kedaulatan negeri. 

"Oleh itu, Kelantan berhak membatalkan perjanjian 1975 dan kembalikan semua platfom telaga minyak yang diusaha Petronas 100 peratus kepada Kelantan," katanya dalam ceramah sempena konvoi royalti minyak ke Putrajaya malam tadi di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. 

Ceramah malam tadi, dihadiri kira-kira 5,000 orang yang kebanyakannya peserta konvoi daripada Kelantan. 

Antara yang hadir ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Sebanyak 500 kereta dari Kelantan dan 100 kereta dari negeri lain berkonvoi ke Dataran Kemerdekaan malam tadi dan seterusnya ke Putrajaya pada jam 8 pagi ini untuk ke Istana Kehakiman bagi menuntut hak negeri tersebut ke atas bayaran royalti minyak. 

Hari perbicaraan kes saman Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petronas berkenaan royalti petroleum pada jam 9 pagi ini di Putrajaya.

Selain itu, Husam berkata lagi, beliau turut meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berfikir secara rasional dan bijak dalam membuat keputusan berhubung pemberian royalti minyak di Kelantan. 

Jelasnya, sekiranya royalti masih tidak diberikan, bukan sahaja Kelantan, malah Terengganu, Sabah dan Sarawak boleh turut membatalkan perjanjian yang dilakukan antara Petronas dan kerajaan negeri masing-masing pada tahun 1975. 

"Najib masih ada masa untuk berfikir secara rasional dan bijak. Kalau tidak, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan akan terburai. Petronas akan terkubur," katanya sambil menambah angka tunggakan bayaran royalti kepada Kelantan kini berjumlah RM10.4 bilion. 

Sementara itu, dalam ucapan ringkas, Nik Aziz pula berkata, sekatan berhubung isu royalti minyak negeri Kelantan yang dibuat oleh kerajaan pusat yang dipimpin oleh Umno menunjukkan bahawa mereka membenci pergerakan Islam. 

Sambil menjelaskan manusia terbahagi kepada tiga iaitu mukminin, kafir dan munafik, Nik Aziz berkata, sekatan royalti tersebut bukan dibuat oleh Petronas, sebaliknya kerajaan yang memerintah. 

"Tengku Razaleigh (Hamzah) kata disekat oleh Petronas. Sebenarnya sekatan ini Umno yang buat sebab dia kuasai pusat. Yang kuasai pusat sekarang bukan MCA tapi orang Melayu Umno. Benci pada gerakan Islam. 

"Dia (Umno) kata nak tolong orang Melayu. Tapi saya ini Melayu juga, baka raja lagi. Tapi tak beri," kata Nik Aziz yang mengakhiri ucapannya dengan bacaan doa.

No comments:

Post a Comment