Wednesday, August 8, 2012

Apa masalahnya kalau DAP menang bersama PAS, PKR?

8 OGOS — Kali ini saya kembali menyebut satu isu yang pada saya sepatutnya menjadi satu isu basi dan tidak lagi diperbesarkan. Isunya ialah isu penyertaan saya dan beberapa orang Melayu dalam Parti Tindakan Demokratik, DAP.

Saya tahu ini merupakan isu yang tidak berapa laku lagi sekarang kerana orang ramai tahu yang momokan Umno dan penyokongnya dalam isu ini semakin hari semakin pudar dan sudah tidak diterima oleh rakyat yang ramai. 

Saya tidak berminat untuk melayan momokan ini, tetapi terlalu ramai sahabat dan rakan-rakan yang menyokong saya menyertai DAP ini meminta saya menyebutnya sekali lagi, setidak-tidaknya buat kali terakhir. Mereka yang menyokong saya meliputi penyokong-penyokong saya dari seluruh negara dan ramai di antara mereka meminta saya menulisnya lagi. “Penyokong Umno ini malas berfikir. You mesti beritahu mereka selalu, kalau tidak mereka lupa. 

Orang yang malas berfikir mesti diperingati selalu sebab mereka payah untuk memahami isu-isu penting ini. Mereka ini tidak pernah dilatih untuk berfikir sebaliknya dilatih untuk mengangguk sahaja,” kata beberapa orang yang menyokong saya menyertai DAP walaupun mereka ini hanya sekadar penyokong yang akan memberikan undi kepada DAP. Sebenarnya apa yang hendak saya sebutkan lagi kerana semuanya sudah disebut banyak kali. 
Apakah benar yang DAP itu adalah parti Cina?
Mungkin DAP itu disertai oleh ramai orang Cina tetapi ia bukan parti Cina. DAP adalah parti berbilang kaum yang memperjuangkan nasib semua bangsa. Parti ini memperjuangkan kebersihan dalam pentadbiran kerajaan yang sangat kotor pada masa kini. DAP memperjuangkan ketelusan dan menolak isu rasuah yang banyak berlaku dalam kerajaan dan pimpinan BN sekarang ini. 

Di mana-mana saya pergi, dari utara ke selatan, dari timur ke barat saya berjumpa dengan ribuan orang dan tidak ramai yang membangkang saya setelah saya berikan “rationale” kenapa kita tidak perlu takut untuk memberi sokongan kepada DAP yang merupakan salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat ini. 

Saya bukannya duduk di rumah berdiam diri. Saya selalu meninggalkan rumah untuk pergi ke merata-rata daerah dan tempat dalam negara ini. Saya dijemput untuk berceramah dan memberikan penerangan kenapa kita tidak perlu gusar untuk memberikan sokongan kepada DAP. 

Barisan Nasional khususnya Umno memang begitu takut dengan pengaruh DAP tetapi sebesar mana pun pengaruh DAP itu ia tidak akan menguasai kerajaan dan Putrajaya jika Pakatan menduduki Putrajaya itu. DAP akan menurunkan hanya seramai lebih kurang 50 kerusi sahaja dalam pilihanraya yang akan datang. Jika DAP menang kesemuanya, parti yang saya anggotai ini tidak akan terjadi apa yang dikhuatiri oleh segelintiran orang Melayu. 

Takkanlah nak buat kiraan yang senang ini pun mereka (penyokong BN totok) tidak mampu? Tetapi jika DAP menang semua kerusi, ia memang penting untuk perjuangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Pertamanya, parti ini mempunyai rekod ketelusan dalam pentadbiran, Pulau Pinang misalnya. Jika DAP bersama-sama dengan PAS dan PKR menguruskan Putrajaya itu sudah pasti DAP akan memainkan peranan untuk keadilan ini. 

Yang pentingnya kita mempunyai kerajaan yang bersih daripada noda rasuah yang menggila dan menjadi benteng kepada perompak harta rakyat seperti yang lazim berlaku sekarang ini. 

Saya menjadi ahli Umno selama 40 tahun dan di dalamnya saya telah menjerit dan berbuat segala-galanya untuk mengingatkan parti itu supaya berbuat yang baik dan jauhi segala kemungkaran terhadap politik dan ekonomi negara.  

Tetapi saya siapa? Tidak ada siapa yang mendengarnya kerana saya hanya seorang picisan dalam Umno yang begitu kuat budaya mengampu dan membodek ini. Saya yakin dengan sebenar-benarnya yang kebaikan itu tidak akan datang malahan hanya kerosakan sahaja yang akan wujud, “from bad to worse”. Maka saya bertindak untuk bersama DAP dan, “I want to grow old with this party”. Saya merasakan bahawa parti ini juga boleh memperbaiki diri saya kerana saya telah begitu lama dalam Umno dan saya memerlukan parti yang boleh memperbaiki sikap dan nilai dalaman saya dalam perjuangan politik negara ini. 

Bunyinya besar tetapi saya tetap seperti dahulu, bukannya orang yang mempunyai apa-apa kedudukan dan tidak bergelar serta bernama seperti rakan-rakan yang lain yang mengampu ke hulu dan ke hilir itu. Saya sebutkan kita mesti menyertai parti yang boleh memperbaiki diri kita dan saya merasakan DAP telah pun sedikit sebanyak memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada sedikit sebanyak di dalam diri saya. Kalau saya masih berada di dalam Umno saya tidak akan memperbaiki diri saya kerana Umno tidak terjumpa nilai-nilai kemanusiaan yang baik dalam perjuangan selain daripada memperjuangkan nasib peribadi mereka semata-mata. Bermacam-macam yang saya alami sejak menyertai DAP. 

Ada sahabat karib yang meninggalkan saya terus kerana marah-marah kerana mereka percaya pada momokan Umno dan BN. Tetapi saya mendapat penyokong baru yang begitu ramai dan mereka tidak putus-putus menghubungi saya dan bertukar-tukar fikiran sesama kita. Alhamdulillah, usaha saya itu berbaloi dan ramai orang Melayu yang akan bersama saya untuk mendokong DAP sebagai sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat. 

Saya sekarang yakin bahawa PAS, DAP serta PKR akan mendapat dokongan rakyat dalam pilihanraya kali ini dan saya tidak sabar juga untuk melihat perubahan untuk kebaikan itu dalam pilihanraya kali ini. Saya akan bergembira melihat perubahan untuk kebaikan ini berlaku semasa saya masih hidup dan bernyawa ini. 

Kepada rakan-rakan saya yang berada jauh dan dekat, ayuh kita teruskan usaha kita dan kepada mereka yang tidak gemar oleh kerana momokan Umno itu, biarkan sahaja mereka di sana. Kita wajar memandang ke hadapan tanpa menoleh kebelakang lagi. Yang penting negara kita ini kita ubah untuk kebaikan bersama. Sekarang apa masalahnya lagi? Pemimpin yang rasuah sekarang mungkin bermasalah, tetapi rakyat tidak ada masalah. — Aspan Alias