Wednesday, March 28, 2012

Kejadian Pelik Di SABAH, kanak-kanak tiba-tiba cukup umur???

MISTERI PENDAFTARAN BERGERAK DI SABAH?
Saudara Pengarang,

KENAPA setiap kali menjelang pilihanraya, mesti ada pendaftaran bergerak di Sabah? Seolah-olah rakyat Malaysia akan beranak lebih kerap atau ada kanak-kanak Malaysia yang tiba-tiba cukup umur untuk mendapatkan Kad Pengenalan di negeri ini menjelang pilihanraya.

Adalah lebih baik sekiranya ada pemantauan melalui hospital dan klinik mengenai nisbah kelahiran dan pembuatan kad pengenalan.

Kenapa setiap kali menjelang pilihan raya, pendaftaran bergerak menjadi tumpuan? Orang yang datang pula adalah rakyat yang datang dari luar kampung berkenaan, sedangkan Pejabat Pendaftaran terletak tidak jauh daripada lokasi pendaftaran bergerak.

Saya selaku pemimpin di Kinabatangan, yang sekarang terkenal mempunyai lebih ramai rakyat asing dari tempatan, memohon kerajaan menyiasat segala bentuk penindasan terhadap Orang Asal, khususnya di Sabah yang menjadi sarang pendatang asing.

Saya bersetuju dengan arahan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman menghentikan pendaftaran bergerak di Senalang, Semporna.
Persoalannya, bagaimanakah Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein dengan mudah meluluskan pendaftaran itu, sedangkan permohonan rakyat Sabah supaya RCI ditubuhkan mengenai pendatang tanpa izin di Sabah tidak diendahkan.

Sebagai negara merdeka, rakan senegara di Malaya sepatutnya menghormati negara Sabah dan bukan menjadi kawan makan kawan.

Pemimpin kerajaan Sabah sepatutnya melihat segala masalah yang berlaku terhadap Sabah dari sudut Perjanjian Malaysia. Kebanyakan masalah yang berlaku di Sabah, berpunca daripada kegagalan rakan senegara Malaya, menghormati Perjanjian Malaysia termasuk 20 Perkara. Malangnya pemimpin kerajaan di Sabah seolah-olah tidak tahu apa itu Perjanjian Malaysia.

Pemimpin kerajaan Sabah hari ini, seolah-olah tidak tahu bahawa Sabah ini adalah sebuah negara merdeka dan berdaulat. Pemimpin Sabah melihat negara Sabah ini sebagai negeri ke-12 Persekutuan Malaya.

Sebagai sebuah negara merdeka sejak 31 Ogos 1963, pemimpin Sabah berhak merealisasikan nikmat kemerdekaan itu kepada rakyat Sabah termasuk menangani masalah yang timbul.

Sabah berhak mencari kaedah-kaedah tertentu untuk menangani masalah pendatang tanpa izin oleh Malaya, tanpa menunggu kelulusan Malaya.

Dalam Perjanjian Malaysia, Malaya hanyalah sebuah negara rakan kongsi dan bukan penentu kepada tindakan pemimpin Sabah untuk negara Sabah. Sabah hanya mempunyai kaitan dengan Malaya kerana adanya Malaysia. Malaysia hanya wujud kerana adanya Sabah dan Sarawak.

Tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak wujud. Seharusnya sejak merdeka Sabah sudah ada Jabatan Pendaftaran Negara Sabah yang dikendalikan oleh rakyat negara Sabah untuk mengawal rakyatnya. Jabatan Pendaftaran sekarang bukan Jabatan Pendaftaran negara Sabah.

Hanya kerana Sabah tidak mempunyai Jabatan Pendaftarannya sendiri, maka Malaya mengambil kelemahan pemimpin Sabah sekarang untuk merosakkan rakan senegara Sabah dengan cara memasukkan orang asing ke Sabah melalui Pejabat Pendaftaran Malaya yang bertulis Jabatan Pendaftaran Negara. Tujuannya untuk menjadikan orang asing itu penyokong Malaya untuk menguasai Sabah.

Demi maruah negara Sabah dan generasi rakyat Sabah, tiba masanya pemimpin kerajaan Sabah memikirkan semula peranan mereka dalam pentadbiran kerajaan Sabah yang berdaulat ini. Nikmat yang mereka miliki sebagai pemimpin di bawah kuasa pemimpin Malaya sangat jelas tidak dapat dinikmati oleh rakyat Sabah.

Nikmat kemerdekaan Sabah, tidak pernah sampai kepada rakyat tulen Sabah. Masanya untuk pemimpin Sabah bersatu untuk membela dan mempertahankan maruah tanah air yang berdaulat ini. Masanya juga untuk rakyat Sabah bersatu, untuk berjuang mempertahankan maruah tanah air yang sedang dicemari rakan senegara Malaya.

Hanya kita yang dapat menyelesaikan masalah tanah air kita. Selagi masih ada peluang, kita ambil peluang ini untuk bersatu memperbaiki tanah air kita. Kalau bukan kita, siapa lagi? Terus mengharap kepada Malaya? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Menunggu sehingga kita menjadi pelarian di tanah air kita sendiri? Ini kalilah!

Salam Hormat,


http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/kejadian-pelik-di-sabah-kanak-kanak.html

No comments:

Post a Comment