Tuesday, February 21, 2012

Najib buang tabiat.... ajak rakyat pilih PAS


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyarankan umat Islam di negara ini memilih parti politik yang benar-benar dapat memartabat dan menjamin kesucian agama Islam di negara ini.


Justeru, DPPM menganggap Datuk Seri Najib baru sedar atau insaf bahawa menjadi kewajipan serta tanggungjawab umat Islam untuk memilih pemimpin dan parti politik yang benar-benar memartabatkan agama Islam.

“Selama ini, pemimpin-pemimpin Umno lebih bercakap soal politik dengan mengenepikan kepentingan Islam dalam politik. Malah Islam dianggap terpisah dari pemerintahan dan pentadbiran negara

“Islam dianggap perkara sampingan yang hanya duduk di masjid dan upacara keagamaan dan tidak boleh dicampurkan dengan politik,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Najib yang menyebut demikian sewaktu berucap di majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaaan di Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, pemimpin PAS yang bercakap soal Islam dituduh mempergunakan agama demi kepentingan politik sedangkan itulah tuntutan agama Islam.

Oleh yang demikian, ujarnya DPPM menyarankan supaya umat Islam memilih PAS sebagai wadah perjuangan dan pilihan mereka.

Ini, katanya kerana PAS sejak dahulu sehingga kini memperjuangkan Islam sebagai teras perjuangannya.

“Dengan namanya Parti Islam Se-Malaysia, latar belakangnya Islam, Perlembagaannya serta dasarnya untuk menegakkan agama Islam di negara ini, malah kepemimpinannya diterajui Majlis Syura Ulamak,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, sifat perjuangan PAS juga menyeluruh dengan menjadikan semua umat Islam sebagai saudara seperjuangannya tanpa mengira warna kulit mahupun bangsa atau kaum.

“Justeru, apakah alasan lain bagi menafikan PAS sebagai parti Islam yang wajar diterima dan dipilih oleh rakyat?” tanya beliau.

Selain itu, katanya kepemimpinan yang amanah dan bersih diterapkan sesuai dengan dasar Islamnya.

Menurutnya lagi, Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 20 tahun dahulu memperlihatkan kebersihan pemimpinnnya dari rekod rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Katanya, Negeri Kedah menyusul kini dengan juga mencatat rekod bersih pemerintahannya.

Jelasnya, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS juga memperlihatkan kehidupan seperti yang dituntut oleh Islam dengan hidup serba sederhana, sifat itu juga dicontohi oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Sebaliknya, kata beliau Umno bukanlah parti yang boleh memartabatkan dan menjamin kesucian agama Islam di negara ini kerana ia parti perkauman yang hanya khusus untuk bangsa Melayu semata-mata, dasar dan matlamat perjuangannya hanyalah untuk bangsa Melayu sahaja.

Lebih dari itu, ujarnya pemimpin-pemimpin mereka sering dipalitkan dengan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pemborosan, bermewah, ketirisan dan lain-lain lagi.

Pemimpin Islam, jelasnya tidak akan bersikap sedemikian kerana ianya jelas melanggar syariat Islam dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Justeru, katanya kenyataan Najib secara jelas meminta umat Islam memilih PAS sebagai parti politik pilihan menjelang PRU13 nanti.

Justeru, umat Islam khususnya penyokong Umno tidak perlu lagi berfikir panjang kerana presidennya sendiri telah meminta PAS sebagai parti pilihan rakyat. - Harakahdaily

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/najib-buang-tabiat-ajak-rakyat-pilih.html

No comments:

Post a Comment