Thursday, February 2, 2012

Lebih baik bergabung dengan isteri saya -Tengku Razaleigh

“Saya Tidak Pernah Boikot Mesyuarat Umno,” 
KOTA BAHARU, 2 Feb – Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menafikan beliau memboikot mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan kerana sering tidak menghadiri mesyuarat badan itu sejak beberapa lama.

Tengku Razaleigh, yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang, berkata beliau bukan sengaja tidak mahu menghadiri mesyuarat itu kerana kadang-kadang surat jemputan mesyuarat itu lewat diterimanya.

“Saya tak hadir, bukan tak nak hadir, tapi (surat) jemputan kadang-kadang lewat sehari selepas mesyuarat atau sehari sebelumnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno itu bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perhubungan Umno Negeri di sini, hari ini.

Anggota Parlimen Gua Musang itu ditanya mengenai kedudukannya yang sudah lama tidak kelihatan menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno itu, sejak selepas pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Ditanya mengenai peluang Barisan Nasional (BN) untuk menawan semula negeri Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 nanti, beliau berkata peluang itu tetap ada jika BN mempunyai persediaan secukupnya.

“Bagi kita sentiasa yakin, tetapi soalnya terletak atas persediaan dan kesungguhan kita,” katanya.

Menjawab pertanyaan sama ada beliau akan bekerjasama dengan pemimpin parti pembangkang bagi mengukuhkan kedudukannya dalam politik, Tengku Razaleigh sambil bergurau berkata: “Saya sudah kahwin kan, lebih baik bergabung dengan isteri saya.”

Timbalan Perdana Menteri, yang sedang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Kelantan, turut menemui pemimpin BN negeri. Media UMNO

No comments:

Post a Comment