Thursday, January 26, 2012

Isytihar harta untuk siapa dan apa?

26 JANUARI – Pengisytiharan aset dan pendapatan oleh barisan Exco Negeri Selangor dan Pulau Pinang menjadi indikasi yang jelas bahawa usaha Pakatan Rakyat untuk mentadbir secara telus benar-benar dilaksanakan, bukan omongan.

UMNO dan Barisan Nasional semakin jauh tersudut dalam dilema. Apabila gagal telus, para pemimpin mereka hanya berani menghambur Pakatan melalui media massa kawalan kerajaan pusat BN. Moral politik UMNO-BN kini dalam keadaan yang amat rendah di mata rakyat.

Kesimpulannya cukup mudah dan jelas, iaitu kesanggupan untuk berlaku telus, yakni amanah. Ketelusan dan amanah ini akan meletakkan tahap integriti yang tinggi di kalangan ahli-ahli politik pada mata masyarakat – pengundi mereka

Polemik yang membuang masa

Soal isytihar harta, aset dan pendapatan mudah sahaja. Soalnya, mahu dilakukan atau tidak. Itu sahaja.

Jika tidak dilakukan, rakyat tidak akan tahu sama ada kekayaan pemimpin negara dan negeri dikumpul secara haram sewaktu diberi amanah untuk menjadi kerajaan. Jika dilaksanakan, rakyat boleh menilai sendiri ketelusan kepimpinan kerajaan yang ada.

Maka polemik tentang isu ini semakin terkeluar dari konteks asalnya, ia bukan lagi perbahasan mengenai integriti, sebaliknya berlegar tentang cara UMNO-BN mahu mengelak.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilaporkan media sebagai berkata: “Sesetengah wakil rakyat tidak mahu mengisytiharkan harta mereka kerana ia akan diketahui umum sehingga boleh mengancam keselamatan mereka dan keluarga.”

Bagaimana kekayaan itu boleh mendatangkan ancaman besar kepada pihak terbabit? Ini sudah tentu terdapat kekayaan yang melampau hinggakan kekayaan itu mampu menggoda nafsu si perompak untuk merompak.

Sungguh pun ancaman luar ini memang wujud, ia tidaklah menjadi faktor besar yang menghalang agenda telus ini dilaksanakan.

Ancaman luar boleh dijangka atau dianalisa oleh pihak berkuasa. Malah ia boleh dikawal dan dilindungi dengan pelbagai cara. Tahap ini ia sudah menjadi tugas utama pihak berkuasa, kecekapan mereka perlu dihormati.

Ancaman yang sebenar

Sebaliknya, ancaman dari dalam itulah yang lebih merisaukan kita kerana ia boleh datang dari menteri itu sendiri tanpa dapat dilihat oleh sesiapa.

Contohnya, isu National Feedlot Corporation (NFC) di mana wang ternak lembu disalahgunakan untuk membeli kondominium mewah. Yang dirompak di sini bukan yang memiliki aset tetapi rakyat yang dicukai pendapatan perniagaan dan pekerjaan mereka.

Mereka yang di puncak menggunakan harta rakyat secara bebas dan sesuka hati tanpa segan silu kerana mereka yakin tidak ada orang yang tahu. Inilah ancaman dalaman, ancaman terhadap rakyat jelata, jika pimpinan kerajaan tidak mengisytiharkan aset kepada pihak awam.

Jika amalan ini dibiarkan berterusan, wang cukai kita dan hasil sumber negara akan lesap. Lembu ke mana dagingnya, malah tulangnya yang sedap dibuat sup pun mungkin lesap.

Akhirnya, konsep kehidupan itu telah berubah, kita akan jadi bangsa manusia yang bekerja siang dan malam hanya untuk faedah segelintir pemimpin kerajaan dan kaum keluarga mereka serta kroni.

Untuk apa dan siapa?

Mengisytiharkan harta pada hakikatnya bukan dari Exco kepada Menteri Besar atau Menteri kepada Perdana Menteri atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Sebaliknya kepada rakyat. Kerana semua makhluk-makhuk yang bergelar pemimpin kerajaan ini dipilih oleh dan bekerja semata-mata untuk rakyat demi negara.

Maka, rakyatlah yang menjadi hakim besar. Sudah tentu media kawalan UMNO-BN dan bijak pandai UMNO memperlekehkan maksud ‘rakyat sebagai hakim’ kerana mereka sering menganggap kita terlalu bodoh untuk memahami sistem undang-undang negara.

Rakyat sebagai hakim ialah rakyat menilai dan memberi pandangan terhadap apa jua isu berbangkit. Kesannya ialah pihak berkuasa (institusi awam) seperti polis dan SPRM, dalam sistem pentadbiran negara yang adil, bersih dan telus, boleh mengambil langkah responsif dengan menyiasat, sama ada benar atau palsu, dan mengambil tindakan.

Jika terdapat kes, maka perlu dikemukakan pendakwaan di mahkamah. Maka kes pendakwaan akan dijalankan mengikut sistem yang adil dan telus juga.

Inilah yang dikatakan bagaimana demokrasi hidup dan berfungsi dalam sesebuah negara. Dan di sinilah yang dikatakan sebagai konsep ketuanan rakyat – bukan soal kuasa tetapi soal keadilan yang dilaksanakan dengan bersih, adil dan telus.

Realiti demokrasi

Penglibatan rakyat secara aktif dalam memberi pandangan atau respon terhadap apa jua isu, akan menjadi pendesak kepada institusi untuk bertindak dalam apa jua aspek, baik akauntabiliti hinggalah ke soal ketelusan dan keselamatan.

Kerajaan iaitu Menteri, Exco dan institusi awam seperti polis, SPRM dan sebagainya bekerja mengikut keperluan rakyat dan bertanggungjawab kepada rakyat. Barang diingat bahawa gaji, elaun dan tuntutan perjalanan mereka dibayar dengan cukai rakyat. Pendapatan mereka bukan dari wang pusaka Menteri atau duit UMNO atau mana-mana parti politik.

Jadi, pengisytiharan aset oleh para pemimpin kerajaan adalah salah satu langkah pertama ke arah amalan demokrasi sebenar. Yang diperkasa dan diperkuasakan adalah rakyat.

Konsep ketelusan ini harus difahami secara prinsip dan falsafahnya. Kerajaan yang demokratik sudah tentu mahu bekerja mengikut keperluan rakyat.

Memang diakui sesebuah kerajaan tidak akan mampu menunaikan kesemua kehendak rakyat baik di pihak majoriti mahu pun yang minoriti, tetapi perkara-perkara asas seperti amalan adil, bersih dan telus seperti mengisyitharkan aset para pemimpin kerajaan, wajib dilaksanakan.

Bukan sahaja kerana ia perlu dilaksanakan, ia memang boleh dilaksanakan. Bak kata bijak pandai “kekayaan itu hanyalah pilihan bagi manusia yang bijaksana (berimu)”. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment