Thursday, January 26, 2012

Felda defisit 1.5b jika pajak tanah pada FGV

Pakar ekonomi Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) Dr Rosli Yaacop mendakwa Felda akan mengalami defisit pendapatan antara RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion sekiranya lembaga itu menyenaraikan anak syarikatnya, Felda Global Venture (FGV) ke Bursa Malaysia.

Bekas timbalan pengarah Bank Negara itu berkata, pendapatan agensi itu dijangka akan berkurangan apabila Felda menyerahkan pegangannya kepada FGV.

Katanya, kos operasi Felda mencecah kira-kira RM2 bilion pada 2010, sedangkan agensi itu dijangka hanya akan mendapat pendapatan tahunan melalui pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan hasil jualan sehinggga RM508 juta.

"Kalau pendapatan Felda sudah turun kepada RM750 juta, sedangkan perbelanjaan RM2 billion atau bertambah, Jadi Felda akan mengalami defisit tiap-tiap tahun.

"Felda nak ambil mana duit (yang selebihnya). Ini masalah yang utama... Setakat yang ada dalam perjanjian ini, Felda tidak akan mampu menanggung perbelanjaan tahunannya.

"Ini aspek akan merugikan Felda dan akhirnya rakyat akan menanggungnya. Sebab itu, ia salah satu sebab mengapa kita menentang penyenaraian ini," katanya yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dalam dalam satu sidang media hari ini.

Selain itu, Dr Rosli mendakwa dengan perjanjian itu juga, Felda akan kehilangan kuasa terhadap tanah-tanah yang diuruskan oleh Felda Plantation.

"Segala kuasa untuk mengurus (tanah) diserahkan bulat-bulat kepada Felda Global Venture.

"Tunggak (kuasa) dalam organisasi Felda, sebaik sahaja ditandatanagni, akan berpindah kepada FGV... (bagai) kepada datuk kepada cucu," katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden ANAK, Mazlan Aliman yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan hari ini mendedahkan isi perjanjian antara Felda dan Felda Global Venture (FGV) yang disifatkannya sebagai "tidak adil dan berat sebelah" dalam usaha penyenaraian syarikat tersebut di Bursa Saham Malaysia.

Katanya, pendedahan itu dibuat selepas cadangan dan bantahan mereka terhadap penyenaraian tersebut, tidak boleh diterima oleh kerajaan, selepas NGO tersebut memberi masa yang cukup untuk kerajaan menimbang hasrat untuk berbuat demikian.

Katanya, jika perjanjian itu ditandatangani, institusi tanah itu akan menjadi "simbol atau patung dan tidak ada kekuatannya lagi".

"Segala urusniaga akan ditandatangani oleh Felda Global Venture. Apa keistimewaan FGV sehingga mendapat kenikmatan aman sentosa.

"Macam tu sekali tingginya martabat Felda Global Venture," katanya.

Beliau turut mengedarkan kepada media, isi-isi terma-terma komersil dalam perjanjian tersebut.

"Kalau kami dianggap pengkhianat, membocorkan kandungan perjanjian ini, Gerakan Selamatkan Felda sedia menghadapi risiko.

"Kita sedia berdebat, dan akan menampilkan ahli panel, dan menentang apa yang kami sifatkan sebagai satu tindakan membunuh institusi orang Melayu," tegasnya. - Mkini

No comments:

Post a Comment