Saturday, December 3, 2011

Video Perhimpunan di KLCC bantah bil Perhimpunan Aman

Dis 3, 2011 Kira-kira 200 orang berhimpun di taman KLCC di Jalan Ampang kerana membantah Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman.

Mereka tidak berdepan dengan meriam air atau cota polis, tetapi sebaliknya hari ini, kumpulan tersebut yang berpakain kuning, berdepan dengan semburan perenjis air.

Mereka bergerak menghampiri beberapa batang pokok di taman selepas pengurusan KLCC, sekali lagi, menutup kawasan itu untuk operasi pembersihan, termasuk kawasan yang menjadi lokasi peserta protes minggu lalu.

Di sana, mereka berdiri mengelilingi Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, ketika dia mendeklamasian sajaknya.

Kemudian, pihak pengurusan kompleks itu membuka perenjis air di tempat mereka berdiri.

Mereka yang terperangkap dalam semburan perenjis air itu melindungi diri mereka dengan payung dan terus mendengar Pak Samad membaca puisi terbaru sebagai penghormatan kepada 'occupy movement', Merindu Ruangan selepas membaca puisi Bersih - Unggunan Bersih. - Malaysiakini

Polis halang Pak Samad baca puisi di KLCC - Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Dis: Himpunan aman bacaan puisi oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman di KLCC hari ini dihalang oleh pihak polis.

A Samad yang mesra dengan panggilan Pak Samad yang berucap sebelum memulakan bacaan puisi memberitahu negara ini sudah diselubungi kegelapan demokrasi.

"Perlaksanaan RUU ini jelas mengelapkan demokrasi negara dan kita tidak mahu ia berlaku, kerajaan perlu sedar hak rakyat bukannya menghalang kebebasan rakyat.

"Kita sebagai rakyat mahu berhimpun secara bebas bukannya dihalang mahupun dinafikan hak, kenapa ini perlu berlaku tidakkah kerajaan faham apa itu demokrasi dalam perlembagaan.

"Kembalikan hak rakyat jangan dicuri atau dicabuli kerana kita juga rakyat Malaysia, kerajaan perlu celik mata bukan buta mata dan buta hati," jelasnya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang turut hadir perhimpunan itu juga berharap agar rakyat bangkit menuntut hak mereka.

"Hak berhimpun ini bukan sahaja tertumpu kepada parti-parti politik sahaja dan semua rakyat perlu mendapatkan hak mereka.

"RUU merampas sepenuhnya apa yang telah kita miliki selama ini, kenapa ia perlu kita lepaskan dan secara jelas kerajaan perlu sedar dan bangkit menentang jangan tidur.

"Saya desak agar pendengaran awam dilakukan terlebih dahulu, dengar apa yang rakyat hendak serta apa jua cadangan barulah kerajaan boleh menilaikannya apa sebenarnya diperlukan bukannya terus menikam hak rakyat.

"Jelas kerajaan mencabul kebebasan demokrasi negara serta merompak hak asasi perlembagaan negara ini," ucap Lim Kit Siang.

Sebelum itu, A.Samad Said sempat membaca beberapa buah puisi dan juga beberapa orang awam turut mengikut serta membaca puisi sebagai tanda sokongan sebelum pihak polis menghalang perhimpunan tersebut.

Lebih kurang 200 orang hadir sebagai tanda sokongan terhadap bantahan RUU Perhimpunan Aman yang telah diluluskan oleh kerajaan dan ia berlaku secara aman tanpa ada sebarang kekacauan.

No comments:

Post a Comment