Thursday, October 6, 2011

Sister In Islam Tentang Hukum Allah

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Pertubuhan bukan kerajaan Sisters in Islam (SIS) kekal dengan pendiriannya menentang pelaksanaan hukum hudud di Malaysia atas alasan ia tidak akan membawa keadilan kepada kaum wanita.


Pengarah Eksekutif SIS Ratna Osman berkata, pihaknya kekal dengan pendirian yang diputuskan sejak 1993 itu - pada tahun kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS meluluskan enakmen bagi menguatkuasakan perundangan itu.

Terengganu membawa enakmen yang sama 10 tahun kemudian.

Bagaimanapun pelaksanaan terbantut ekoran sekatan pusat atas alasan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, SIS menentang perundangan itu kerana ia akan menafikan hak kaum wanita selain bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar jaminan berperlembagaan yang diperuntukkan.

“SIS percaya bahawa masyarakat perlu dikawal selia selari dengan prinsip kesaksamaan, keadilan dan maruah, dan bukannya menerusi penghakisannya dengan hukuman-hukuman kejam dan keras,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Jelas beliau, hukum hudud mendiskriminasikan kaum wanita kerana beban pembuktikan, misalnya dalam kes rogol, terletak pada bahu mangsa.

“Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu (Hudud dan Qisas) 2002 mengatakan bahawa di bawah Seksyen 9, seorang wanita yang membuat laporan dia telah dirogol boleh dituduh qazaf dan dikenakan sebatan sebanyak 80 kali jika dia gagal menyediakan bukti.

“Meskipun pindaan telah dibuat untuk membenarkan bukti situasi, masih wujud kekeliruan,” katanya sambil menambah, “sebagai contoh, pihak mana yang perlu menyediakan bukti iaitu polis atau mangsa?”

“Pindaan tidak mencukupi dan keseluruhan undang-undang ini kekal sesuatu yang tidak adil,” kata beliau.

Beliau menambah, di bawah enakmen Kelantan pula, seorang wanita yang mengandung atau melahirkan anak disebabkan kejadian rogol, dianggap telah melakukan zina meskipun dia merupakan mangsa dirogol.

“Ketidakupayaan menyediakan empat saksi lelaki akan berakhir dengan (andaian) telah melakukan zina sedangkan perogol pula bebas,” kata Ratna.

Sambil menegaskan seorang wanita tidak boleh menjadi saksi, kata beliau, mereka dari kepercayaan yang lain pun tidak boleh menjadi saksi.

“Sebenarnya tiga per empat penduduk Malaysia tidak layak menjadi saksi,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, enakmen-enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu melanggar prinsip hak asasi manusia dan keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.

“Ia memperuntukkan hukuman yang dilihat kejam, tidak perikemanusiaan dan mengaibkan,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, SIS mahu menekankan pendiriannya bahawa undang-undang hudud tidak berperlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan di negara ini.

“Ia melanggar prinsip-prinsip universal hak asasi manusia dan diskriminasi ke atas kaum wanita,” katanya lagi. - TMI 

Pemuda PAS Jawab Sister In Islam, Gesa Bosnya Bertaubat

Orang ini bercakap tentang Islam...nilaikan sendiri!!!

Saya petik:

[HD] Bagi pihak Pemuda PAS, kenyataan Zainah Anwar (dari Sister In Islam) dalam The Star Online pada 2 Oktober 2011 merupakan kekeliruan yang nyata dari seorang pemimpin NGO Islam yang kurang memahami falsafah hukum dalam syariah Islam. Islam merupakan agama Allah yang diturunkan kepada seluruh manusia sehingga akhir zaman. Ia merupakan agama yang membawa rahmat, agama kasih-sayang, agama yang halus dan lemah-lembut agama yang membawa kejayaan untuk dunia dan akhirat.

Kekeliruan dalam melihat hukum Islam dengan gambaran salah seperti membesar-besarkan tentang potong tangan, potong kaki, rejam sampai mati dan sebagainya samalah seperti memberi gambaran salah kepada bukan Islam bahawa masuk Islam nanti kena potong anunya (berkhatan).

Apakah itu caranya kita melihat Islam dan memberi penjelasan tentang Islam? Kenyataan itu hanya menakut-nakutkan manusia yang belum Islam tentang Islam. Kenapa kita tidak menjelaskan bahawa berkhatan itu adalah untuk mencegah dari kekotoran dan boleh membawa kepada penyakit kanser yang merbahaya, sebab itu Islam mahukan umatnya bersih dan bebas dari segala penyakit. Bukankah amalan berkhatan itu juga wujud sebelum Rasulullah SAW diutuskan membawa Islam lagi? Ia juga menjadi amalan biasa kepada kaum India yang menganut agama Hindu di Malaysia.

Begitulah juga halnya dengan hukuman-hukuman yang terdapat dalam syariat Islam. Gambaran yang salah seperti hukuman sebat seratus rotan dan rejam sampai mati juga tidak harus menjadi bahan untuk menakut-nakutkan sedangkan hukuman rotan dan bunuh dengan cara yang lebih kejam juga terdapat dalam sistem perundangan penjajah. Kenapa rakyat Malaysia boleh terima?

Menjelaskan tentang kebaikan akan hukum Islam secara akademik dengan sokongan statistik seharusnya menjadi keutamaan kerana Islam merupakan agama kesejahteraan. Sudah tentulah hukum-hakamnya untuk memelihara dan memberikan kesejahteraan kepada manusia sejagat. Selain itu Islam juga merupakan agama fitrah. Syariat dan hukum-hakamnya merupakan sesuatu yang selari dengan jiwa manusia. Sebagai contoh, apabila barang anda dicuri dengan jumlah yang besar (yang melayakkan hudud dilaksanakan), apakah hukuman yang anda harapkan dari pemerintah? Apakah anda berharap agar si pencuri itu hanya didenda dan dipenjara? Sudah tentu anda sangat gembira jika tangan si pencuri itu dipotong sahaja.

Bagi seorang pemimpin masyarakat yang perihatin pula, apakah yang mereka harapkan akan hukuman yang patut diberikan kepada si pencuri itu? Sudah tentu potong tangan juga agar si pencuri itu tidak melakukannya lagi dan menjadi pengajaran kepada masyarakat agar takut dengan perbuatan yang mengganggu keharmonian itu. Tapi perlu diingat, bukan semua perbuatan curi terpaksa dipotong tangannya. Tempat simpanan, nilai yang rendah, orang yang miskin, bukan terpaksa, isteri yang mengambil barang suami dan banyak lagi faktor akan diambil kira sebelum hukuman dijalankan. Malah, jika si pemilik barangan tersebut memberi maaf sebelum dilaporkan kepada pihak pemerintah, hukuman itu juga tidak perlu dilaksanakan.

Oleh itu, semua kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh Zainah Anwar itu akan terjawab dengan sendiri apabila kita memahami bahawa Islam itu adalah agama yang adil, agama pemelihara, agama kasih sayang, agama fitrah di mana segala hukum-hukumnya termasuk hukum jenayah (Hukum Hudud) juga adalah untuk keadilan dan kesejahteraan masyarakat.

Melihat hukum Islam dari sudut kekerasan perlaksanaan hukumannya adalah satu kekeliruan yang hanya akan menjauhkan manusia dari Islam sedangkan hakikat sebenarnya adalah ia suatu keadilan yang tiada taranya dan membawa manfaat serta pengajaran yang besar kepada masyarakat seluruhnya.

Sejarah telah membuktikan jumlah jenayah yang sangat rendah dengan perlaksanaan syariat Allah itu. 
NegaraKes Rogol Tahun 2002Populasi PendudukKes/Populasi  x 1 juta
Kanada24,35033,465,300727.62
Malaysia1,43127,730,00051.60
Jerman8,61582,127,000104.90
Arab Saudi5924,735,0002.39 (LAKSANA HUDUD)
United Kingdom13,39561,186,000218.92
Amerika95,136305,975,000310.93

Dalam keadaan jenayah di Malaysia tidak terkawal, Pemuda PAS menyokong penuh agar perlaksanaan Hukum Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan sebagai negeri pemula bagi mengembalikan keharmonian negara dan rakyatnya.

Justeru, seorang Islam yang mukalaf, malah beliau sedar bahawa kenyataannya itu merendah-rendahkan Islam seperti yang dilakukan oleh Zainah Anwar, (“It’s okay to implement the hudud law because it doesn’t affect non-Muslims.” So it’s okay for Muslims to be brutalised? Ertinya : Tidak mengapa untuk melaksanakan hukum hudud sebab ia tidak melibatkan non-muslim. Jadi tidak mengapalah untuk umat Islam dizalimi?) boleh menjejaskan akidah. Oleh itu, Pemuda PAS menyeru agar Zainah Anwar kembali bertaubat. Malah kita juga bersedia untuk bermuzakarah secara terbuka atau tertutup jika beliau inginkan penjelasan tentang hukum Islam (Hukum Hudud).

* Dr Ghazali Hasbullah ialah Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Permuda PAS Malaysia.
P/s: Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok manusia yang mempersenda agama dan hukum Allah. - DCM
Sila Baca 


1. Masih ada tidak faham jenayah rogol, zina 
2. PERLAKSANAAN HUKUM SEBAT KE ATAS PENZINA ( HUKUM HUDUD ) 
3. APA ITU HUDUD

An-Nisaa`:061  
Apabila dikatakan kepada mereka : "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.

Al-Maaidah:049  
dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan mushibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.
Al-Maaidah:050
Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukumAllah bagi orang-orang yang yakin ?



No comments:

Post a Comment