Tuesday, October 25, 2011

Laporan audit dedah LPKP ambil masa lebih 700 hari selesai kes, aduan

Laporan audit dedah LPKP ambil masa lebih 700 hari selesai kes, aduan
KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan ada kes tangkapan dan aduan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengambil masa lebih 700 hari untuk diselesaikan.
Menurut laporan itu, tempoh tersebut bermula dari tarikh tangkapan sehingga tindakan amaran, pembayaran kompaun, penggantungan atau pembatalan lesen yang boleh diselesaikan dalam masa sehari.
Perkara tersebut dikesan menerusi semakan terhadap 486 kes tangkapan dari tahun 2008 hingga Mei 2010, menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, semakan juga mendapati LPKP mengambil masa antara 41 hingga 756 hari untuk menyelesaikan 123 daripada 257 aduan, yang mana bertentangan dengan piagam organisasi iaitu 30 hari bagi urusan pengendalian aduan.
Jabatan Audit Negara turut mendapati ada kelemahan lain dalam LPKP seperti tidak mengambil tindakan pendakwaan, prosedur kerja penguatkuasaan tidak dipatuhi dan pengurusan fail serta dokumen yang tidak teratur.
Sehubungan itu, jabatan tersebut mengesyorkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang ditubuhkan 31 Januari lepas bagi menggantikan LPKP di Semenanjung Malaysia, memperbaiki kelemahan LPKP tersebut bagi memastikan penguatkuasaan dan pengurusan yang cekap dan teratur.
- Utusan

No comments:

Post a Comment