Friday, July 22, 2011

Wira Jadi-Jadian - Dr Maza


DrMAZA.com
FAKTA BENAR PERLUKAN KESIMPULAN BETUL

Antara masalah besar sesetengah pihak dalam memahami ilmu ialah membuat kesimpulan yang salah terhadap sesuatu fakta yang benar. Kesimpulan itu sebahagiannya berpunca dari pemikiran lama yang sudah tersedia wujud dalam benaknya, atau atas satu kepentingan tertentu yang dia memang inginkan orang lain berfahaman begitu. Maka, sekalipun fakta itu benar, tetapi kesimpulannya salah maka keputusan hidup atau fatwanya akan salah.

Mengiktiraf Dan Menyokong
Banyak contoh yang boleh disebut dalam hal ini. Antaranya, ada pihak yang tidak dapat membezakan antara mengiktiraf hak dan menyokong sesuatu perkataan atau perbuatan. Mengiktiraf bukan bererti menyetujui apa yang dilakukan. Umpamanya, sebagai muslim kita mengiktiraf hak bukan muslim untuk mengamalkan agama mereka. Ini bukan bererti kita bersetuju dengan isi kandungan agamanya. Al-Quran sendiri melarang kita memaksa orang masuk ke dalam agama ini. Firman Allah (maksudnya)
“Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Maka sesiapa yang tidak mempercayai taghut serta beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada pegangan yang teguh, dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Baqarah ayat 256).
Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi. Kata Ibn ‘Abbas:
“Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: “Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: “ (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Ertinya, membiarkan, atau mengiktiraf hak untuk sesuatu pihak menganut agama yang diyakini bukan bererti kita turut sama mempercayainya. Begitulah dalam banyak perkara dalam kehidupan ini. Kemudian, mengiktiraf dalam satu perkara bukan bererti mengiktiraf dalam semua perkara. Dulu saya telah tulis artikel Izin Bukan Bererti Redha

Malang sekali mereka yang dangkal gagal memahami hakikat ini. Mereka akan menuduh sesiapa yang mengiktiraf hak seseorang atau sesuatu pihak bererti dia telah menyokong atau menyertai pihak berkenaan, bahkan dituduh menyokong semua tindakannya yang lain.

Hasilnya, apabila ada yang mengiktiraf hak bukan muslim untuk menyuarakan pandangan mereka, atau meminta beberapa hak mereka maka ada yang menuduh ‘dia bersekongkol dengan orang kafir’. Lebih buruk lagi; dia redha dengan kafir maka dia menjadi kafir. Inilah contoh kedangkalan kefahaman.

Dalam politik pula, ada menteri yang dimarahi oleh partinya kerana mengiktiraf hak rakyat untuk berkumpul, bersuara dan mengadakan demonstrasi aman. Menteri itu dianggap tidak setia dengan parti dan berpihak kepada pembangkang. Inilah kedangkalan pemikiran fanatik politik.

Wira Jadi-Jadian
Apabila muncul seseorang tokoh agama yang ingin menjadi wira bagi mempertahankan segala tindakan pemerintah, sedangkan dia sendiri ‘tidak dalam’ fahamnya mengenai isu politik, maka dia membuat kesimpulan yang salah tentang banyak perkara berkaitan politik. Antaranya, apabila kita menyebut rakyat berhak untuk membantah atau tidak bersetuju, atau mengkritik tindakan atau dasar kerajaan secara aman, dia memahami kita membenarkan rakyat memaki-hamun atau memerangi pemerintah. Lalu, dibacakan dalil-dalil tentang larangan memaki-hamun dan memerangi pemerintah.

Memang, saya sendiri menentang sejak dahulu para penceramah parti pembangkang yang memaki-hamun kerajaan. Apatahlagi, mencerca pemerintah dalam isu-isu peribadi. Nas-nas agama terang dalam hal ini kerana dikhuatiri mudarat yang lebih besar.

Namun, jika mereka tidak memaki atau memerangi dan hanya keluar dengan aman, maka –dari segi nas agama- kita tidak boleh haramkan selagi tidak disertai dengan keganasan. Jika kita hendak nasihat, maka beritahu mereka jangan buat perkara-perkara haram semasa aktiviti tersebut. Jangan kerana ada orang yang kemalangan semasa pulang berhari raya maka kita haram orang menaiki kereta untuk pulang ke kampung. Sebaliknya, nasihat mereka untuk berdisiplin ketika memandu.

Betapa banyak demonstrasi dalam dunia ini telah menghasilkan perubahan yang positif dan menambahkan keamanan dunia. Antaranya, usaha yang dilakukan oleh Martin Luther King. Demokrasinya yang berjaya mengubah ketidakadilan, penindasan warna kulit dan pelbagai lagi kepada negara yang lebih baik dan aman. Dalam demonstrasi itu, Martin Luther King dalam ucapannya yang bersejarah “I Have A Dream” pada Ogos 1963 menyebut:
“I have a dream that one day on the red hills of Georgia the sons of former slaves and the sons of the former slave owners will be able to sit down together at the table of brotherhood…i have a dream that my four little children will one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character. I have a dream today” (Speeches That Changed The World, m.s 152).
Hari ini Amerika berterima kasih atas usahanya itu. Bagaimana mungkin untuk kita simpulkan semua demonstrasi membawa kerosakan dan kehancuran?!. Jika kita tidak bersetuju pun, kita kena mengiktiraf hak mereka yang bersetuju. Mengharamkan sesuatu atas andaian semata, tidaklah kukuh dari segi syarak. Sebab, dalam urusan muamalat kesemuanya berasaskan ‘harus atau dibolehkan sehingga terbukti ia haram’.

Beza Umum dan Peribadi
Memaki orang memang haram. Memaki pemerintah juga haram. Apa yang dilakukan oleh sesetengah puak dalam kalangan politik adalah perbuatan yang jelek. Islam memelihara akhlak dan budi. Kata Anas bin Malik r.a:
“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”. (Riwayat al-Bukhari).
Namun, kita hendaklah sedar dan faham bukan semua kritikan itu maki hamun. Apatah lagi dalam kerangka negara demokrasi yang dibentuk oleh kerajaan sendiri, kritikan atau bantahan terhadap tindakan kerajaan adalah sesuatu yang diizinkan oleh pelembagaan itu sendiri. Jika tidak, wakil-wakil rakyat di DUN dan Parlimen tidak boleh bersuara untuk didengari oleh pemerintah dan rakyat. Kalaulah kritikan semuanya diharamkan oleh agama, tentulah kerja ahli Parlimen mengampu semua yang kerajaan buat sahaja.

Lebih hodoh lagi, sang wira ini telah mengharamkan mengkritik kerajaan secara terbuka. Dia gagal membeza antara mengkritik urusan peribadi pemerintah dan mengkritik tindakan pemerintah yang membabitkan kepentingan awam. Jika fatwa ini digunapakai, maka setiap tokoh agama, atau politik yang ditanya pendapat mereka oleh media tentu tiada ruang bersuara yang berbeza dengan kerajaan.

Misalnya, ada kerajaan yang ingin melanjutkan pusat hiburan sehingga pukul 3 pagi. Saya percaya, jika tokoh ulama ini ditanya oleh awam, atau media, atau jika dia menjadi ahli Parlimen pasti dia akan berkata: “Saya tidak boleh mengkritik atau membantah ulul amri di khalayak ramai kerana itu haram”. Maka mandullah negara, rosaklah rakyat. Sedangkan para sahabat seperti Salman al-Farisi bangun membantah tindakan Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab dalam majlis terbuka. Demikian juga sahabat yang lain. Betapa banyak riwayat para sahabah dan ulama salaf bangun memberikan kritikan terhadap keputusan para penguasa di depan khalayak ramai.
  Dalam riwayat al-Tabarani yang dinilai hasan oleh al-Albani:
“Muawiyah bin Abi Sufyan r.a (khalifah ketika itu) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya: “Harta ini (kerajaan) adalah harta kami, dan harta fai (yang diperolehi melalui peperangan) juga harta kami. Kami berikan kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu”. Tiada seorang pun yang menjawabnya.

Apabila tiba jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun menjawabnya. Pada jumaat yang ketiga dia berkata perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu bangun dan berkata: “Sama sekali tidak! Harta ini adalah harta kami (rakyat) dan fai ini adalah fai kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang antaranya dengan kami, kami hukumnya dengan pedang-pedang kami”.
Apabila selesai solat, Muawiyat memerintahkan lelaki itu berjumpa dengannya. Orang ramai berkata: “Habislah dia”. Kemudian orangramai masuk dan mendapati dia duduk bersama Muawiyah di atas tempat duduknya. Muawiyah berkata kepada orang ramai: “Dia ini telah menghidupkanku (memberikan kebahagian), semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun”.
Kata Muawiyah: Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata: “Aku termasuk dalam kalangan mereka”. Aku bercakap pada jumaat ketiga lelaki ini bangun menjawabku. Dia hidupkan (bahagiakan) daku, semoga Allah menghidupkannya”.
Itu generasi salaf. Itu khalifah di zaman salaf. Bagaimana pula dikatakan mazhab salaf melarang sama sekali menegur pemerintah di khalayak rakyat?! Ya, adapun soal maksiat peribadi, seperti akhlak buruk pemerintah, atau keluarga mereka yang tidak membabitkan kepentingan negara, maka di situ kita dilarang mendedahkan atau menceritakan keaiban orang lain di khalayak ramai. Islam menyuruh kita menutup aib orang, apatah lagi mereka yang mempunyai peranan yang besar seperti itu. Di sini Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya”. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani).
Apa yang dibuat oleh sesetengah pihak dengan menceritakan aib peribadi pemimpin di khalayak ramai adalah menyanggahi syarak. Namun, itu bukan alasan untuk kita mengharamkan mengkritik pemimpin dalam perkara yang membabitkan soal kemaslahatan umum rakyat. Fatwa mengharamkan mengkritik kerajaan secara terbuka adalah sikap mengampu yang berlebih. Maka, amatlah penting untuk membuat kesimpulan yang betul atas fakta yang dilihat. Jangan, lain fakta, lain kesimpulannya. Fahami teks dan konteks, nas dan realiti. - Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin



No comments:

Post a Comment