Tuesday, July 19, 2011

UMNO telah gagal Bhg. 2 - Blogger UMNO

Rakyat sudah kehilangan pimpinan

Kali ini saya menyambung posting yang lepas dan ingin mengupas, mungkin kurang mendalam tentang satu isu besar iaitu ‘rakyat sudah kehilangan pimpinan’. Secara ‘convention’ nya pemimpin utama UMNO itu adalah secara otomatik menjadi PM. Dengan cara pemilihan PM selama ini dilakukan secara ‘convention’ ini maka sesiapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO itu akan menjadi Perdana Menteri. Kita masih lagi belum melaksanakan sistem yang sebenarnya. Sistem yang sebenarnya ialah sesiapa yang mendapat keyakinan Parlimen walaupun dengan ‘majority’ yang mudah akan menjadi PM.

Itulah sebabnya ada orang yang sanggup membunuh UMNO kerana UMNO itu sudah tidak menyakinkan beliau untuk terus menjadi PM negara ini. Memimpin parti baru akan meletakan beliau sebagai penyandang yang kuat dengan tiadanya seteru politik beliau berada bersama di dalam parti yang baru itu. Walaupun parti ini baru sahaja berusia 23 tahun tetapi segala penyakit yang ‘terminal’ sedang menghinggapi parti itu.

Tetapi ini semua cerita lama. Walaupun cerita lama ini lah yang memulakan penghakisan pimpinan Melayu itu secara beransur-ansur dan diambil alih oleh pemimpin-pemimpin yang tidak sepatutnya berada di tempat yang mereka berada sekarang. Saya sekali lagi akan dinesta kerana menyebut isu ini kerana mereka memang tidak suka mendengar sejarah perlakuan mereka sendiri yang boleh direkodkan sebagai peristiwa yang paling malang bagi orang Melayu khususnya di dalam membina pemimpin pelapis yang bertanggungjawab dalam erti kata yang sebenarnya.

Tetapi saya tidak kisah dengan cemuhan mereka kerana saya yakin dari saat inilah bermulanya kita secara beransur-ansur kehilangan kepimpinan yang ‘viable’ untuk negara. Saya sanggup diapa-apakan namun untuk menarik kembali apa yang saya persepsikan ini tidak sama sekali akan saya lakukan. Dari peristiwa ini pimpinan kita telah memulakan ‘precedent’ yang kita boleh bertukar parti tanpa segan dan silu lagi kerana keseluruhan pimpinan UMNO telah membunuh parti mereka dan menubuhkan parti baru itu.

Tetapi oleh kerana kuasa ada kepada mereka dengan pengaruh yang kuat pula mereka menamakan parti baru itu sama nama seperti yang dibunuh itu. Tidak mengapalah itu. Tetapi ‘consequence’ buruk yang kita hadapi ialah UMNO itu sudah tidak lagi menjadi parti yang membina kepimpinan Melayu lagi. Apabila UMNO sudah luntur kepimpinannya maka ianya akan membawa bencana kepada negara kita kerana ‘by convention’ tadi Presiden UMNO itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

Begitulah besar ‘effect’ nya terhadap nasib rakyat semua kaum dan negara keseluruhannya apabila UMNO sudah gagal membentuk kepimpinan yang berkesan untuk negara. Apabila pucuk pimpinan sentiasa tidak selesa dan sentiasa merasa tidak selamat, akan hanya memilih mereka yang memberikan sokongan yang membuta tuli, maka pimpinan pelapis itu akan hanya di perolehi oleh mereka yang tidak berkemampuan untuk memimpin kerana politik wang serta lantkan dari atas sebagai imbuhan kepada sokonganyang diberikan terhadap pimpinan.

Jadi keadaan ini akan dan sudah pun terbukti yang pimpinan utama akan di ambil alih oleh yang lemah dan kemudiannya akan dituruti dengan pimpinan yang lebih lemah dari yang sebelumnya. Pemimpin seperti ini selalunya akan menutupi kelemahan pimpinan mereka dengan penonolan media yang berlebihan. Retoriknya akan lebih besar dan akan menumpukan untuk menonjolkan ‘form’ dari ‘substance’ dan jika kita kurang berfikir maka kita akan terpengaruh dengan ‘deception’ itu.

Dalam pada itu rakyat tidak juga terbela kerana pimpinan yang lemah akan menumpukan sepenuh masa ‘politicking’ peribadi dari berpolitik untuk kesejahteraan negara. Pemimpin seperti ini akan sentiasa diburu bayang-bayang dan sentiasa mencari jalan untuk menonjolkan diri dan tidak berhenti-henti melakukan perkara yang boleh membina keyakinan rakyat.

Dengan kelemahan pimpinan itu, maka akan ramailah pihak yang akan mengampu dan menonjolkan diri mereka untuk mengambil kesempatan, dan selalunya mereka ini juga adalah dari kalangan yang tidak dan kurang wibawa. Itulah sebabnya ada di kalangan professor-professor yang mengambil kesempatan memuji dan mengampu kerana mereka tahu pimpinan yang lemah amat memerlukan ampuan dan jolokan dari mereka ini.

Kepimpinan Melayu mungkin terbina di dalam PAS dan NGO-NGO tetapi itu sahaja parti yang terbaik untuk Melayu untuk menjadi alternatif kepada UMNO untuk mengasah kepimpinan. Tetapi masih lagi belum cukup memberikan impak kepada pembinaan kepimpinan Melayu itu secara menyeluruh. Melayu telah gagal untuk membina kepimpinan melalui UMNO seperti dahulu kerana UMNO dipenuhi oleh mereka yang tidak ada roh perjuangan itu lagi. Dalam konteks ini PKR tidak mungkin mampu melakukan pembinaan kepimpinan Melayu kerana kebanyakan dari kepimpinan parti itu adalah dari UMNO dan ‘mentality’ mereka sedikit sebanyak bersamaan dengan UMNO.

Sekarang sudah mula bercambah pemikiran Melayu yang berkepimpinan melihat DAP sebagai parti yang patut orang Melayu menyertainya secara beramai-ramai. DAP mengalu-ngalukan orang Melayu untuk menyertai mereka kerana mereka adalah parti berbilang kaum. Mungkin masih ramai orang Melayu yang menganggap parti ini sebagai parti yang masih patut di musuhi. Momokan terhadap DAP selama ini sangat kuat dan berkesan tetapi setakat ini parti itu tetap berjaya untuk kekal sebagai parti yang paling disiplin selain dari PAS.

Kedua dua parti ini mempunyai ‘seriousness’ yang tinggi dan usaha mereka untuk bersama rakyat itu sentiasa berterusan. Ianya berlainan dengan UMNO dalam mana pemimpin cawangan-cawangan tidak mampu untuk mengendalikan program parti kerana mereka sentiasa memerlukan wang ringgit setiap kali hendak bergerak. Tidak ada duit kerja tidak jalan. “Mesti ada fulus kalau tidak parti boleh mampus” kata beberapa orang anak-anak muda kepada saya.

Setakat ini DAP belum lagi berjaya sepenuhnya menangkis tohmahan parti-parti yang berlawanan dengan mereka walaupun rakyat sudah mulai memahami keadaan sebenarnya. Sudah ramai orang Melayu memahami bahawa DAP itu adalah sebuah parti yang ‘multiracial’ dan berwibawa. Malahan untuk membawa orang Melayu ke dalam kepimpinan parti itu merupakan agenda yang tidak berhenti-henti dilakukannya. Momokan yang mengatakan DAP sebagai parti yang kotor itu sudah tidak di yakini oleh orang ramai secara beransur-ansur.

Kata perbilangan ‘lulus jarum lulus kelendan’ dan ini sudah di dapati oleh DAP. Apabila DAP berjaya mengambil alih kepimpinan P Pinang parti itu telah berjaya membuktikan mereka itu bukan seperti apa yang dimomokan oleh pimpinan BN dan media perdana. Kerajaan P Pinang telah berjaya mentadbir negeri P Pinang dengan baik dan di yakini oleh semua rakyat P Pinang. Tetapi pandangan ini akan dibenci oleh ahli-ahli UMNO dan pimpinannya serta penyokong-penyokong yang tegar.

Bangsa India merupakan bangsa yang terkecil di Semenanjung Malaysia tetapi kaum India mempunyai kepimpinan yang besar dan mereka mempunyai perwakilan yang besar di Dewan Lagislatif negara. MIC merupakan parti yang mewakili mereka dan telah berpecah belah sejak lebih 20 tahun yang lepas. Tetapi dalam perpecahan MIC kaum India telah bercambah perwakilan mereka di Parlimen melalui BN, DAP, PKR, PPP dan beberapa parti yang lain

Begitu jugalah kaum Cina. Mereka berada di dalam banyak parti-parti yang multiracial. Hanya kaum Melayu sahaja yang masih ingin menggunakan UMNO untuk mengasah kepimpinan mereka selain dari PAS. Oleh kerana UMNO tidak mampu lagi menghasilkan kepimpinan yang berwibawa lagi maka tinggallah PAS sahaja yang kini diminati oleh ramai anak-anak muda dan professional . UMNO kini hanya menumpukan masa untuk membentuk acronym-accronym ciptaan Idris Jala untuk dilaungkan oleh PM kita.

Bagi saya DAP boleh menjadi parti dalam mana orang Melayu boleh bersama-sama membina kepimpinan mereka. Hapuskan pandangan serong masyarakat Melayu kepada parti itu kerana kepada orang politik yang serius mereka akan mengakui pandangan serong itu adalah hasil dari usaha pihak UMNO untuk menggambarkan persepsi buruk terhadap parti itu, kerana kepentingan politik kepartian. Pihak yang tidak mahu melihat parti ini berkembang telah melakukan segala cemuhan dengan menggunakan isu rasis yang sangat merbahaya.

Bagi pandangan setengah pihak, penyertaan ramai orang Melayu di dalam DAP boleh mengurangkan permainan politik yang rasis dan sempit. Pandangan ini tentu sekali akan mendapat berbagai reaksi penyokong kepada politik rasis tetapi satu perkara yang semakin nyata ialah politik sempit rasis sudah mula dibaham zaman.

Rakyat sudah mula tidak berselera dengan politik perkauman. Pemimpin-pemimpin kita menggunakan politik perkauman yang begitu menebal tetapi tidak juga mampu untuk mempertahankan nasib orang Melayu. Politik mereka kini hanya indah khabar dari rupa. Dibelakang kebanyakan mereka yang berkobar-kobar memainkan sentimen perkauman yang menebal itu mesti ada kaum Cina di belakang mereka.

Bagi saya tidak akan hilang Melayunya jika kita bersama dengan parti-parti berbilang kaum ini. Melayu tidak akan menjadi Cina atau India jika bersama-sama membina kepimpinan melalui parti-parti berbilang kaum jika melayu di dalam dirinya hidup. Ibarat seekor ikan yang hidup di dalam lautan ikan itu tidak masin dan terpengaruh dengan ‘environment’ persekitaran yang masin.

Tetapi jika Melayu itu Melayu yang mati di dalam diri mereka, dia juga diibaratkan sebagai ikan mati yang terpengaruh dengan persekitarannya. Jika ikan mati direndam dengan air yang masin dan dijemur selepas itu ikan itu akan menjadi ikan masin yang akan menjadi bahan hidangan mereka-mereka yang lapar.

Itulah sebabnya kita mesti memahami satu kenyataan yang sepatutnya difahami oleh semua kita ini; iaitu yang penting ialah nilai apa yang ada di dalam diri kita itu. Sebabnya jelas kita fahami yang akan menerima bahagia atau celaka di alam yang kekal nanti ialah roh kita. Itulah sebabnya kita dilingkungi oleh elemen pahala dan dosa kerana roh kita tadi.

Itulah sebabnya kita selalu bertawajjuh dengan Rasul dan bertawassul dengan Tuhan Maha Esa memohon rahmat dan syufaat agar roh kedua-dua ibu bapa kita dan datuk nenek kita diletakan di kalangan roh-roh aulia-aulia dan ambia-ambia serta soleh dan solehah. Kita tidak mendoakan tubuh mereka yang telah kembali kepada asalnya. Aspan Alias


Bahagian 1 di SINI >>>

No comments:

Post a Comment