Friday, July 1, 2011

SPR Tukar Alasan Baru Untuk Tipu Rakyat

Alasan dulu:Sebelum pilihanraya 2008, SPR ini telah mengimport 30,000 botol dakwat kekal dari India dengan kos RM1 juta untuk digunakan setelah parti politik mendesak SPR melaksanakan suatu kaedah bagi menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan dalam proses pengundian.

Tiba-tiba beberapa hari sebelum pilihan, mungkin menyedari bahawa sudah tidak dapat melakukan penipuan, SPR membuat sidang akhbar membatalkan penggunaan dakwat kekal dengan alasan kononnya ada dakwat kekal yang diseludup masuk ke negara ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor.

Kalau ada pun yang diseludup masuk, siapa yang nak gunakannya? pengundi mana pula yang bodoh nak calitkan sendiri jarinya dengan dakwat kekal itu?

Tiada sebarang penemuan terhadap penyiasatan bahawa ada dakwat kekal yang diseludup masuk ke negara ini seperti didakwa tiga tokoh serangkai itu. Rakyat Malaysia diperbodohkan begitu sahaja oleh SPR, tanpa alasan kukuh, semata-mata untuk menyelamatkan BN daripada terjunam teruk dalam pilihan raya itu.

Terlokop duit rakyat beli dakwat kekal tetapi kemudian dibuang begitu saja. Sepatutnya Pengerusi dan Setiausaha SPR dibuang seperti mereka membuang dakwat kekal itu.

Kini alasan baru pula diberikan, kononnya penggunaan dakwat kekal ketinggalan zaman, tak standard, orang kini dah pakai biometrik. Hilang alasan dakwat diseludup masuk.

Mafrel telah menyatakan penggunaan sistem biometrik atau imbasan ibu jari pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang tidak praktikal dan ia perlu diperincikan lagi.

Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MAFREL), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, SPR perlu memperjelaskan setiap cadangan pembaharuan yang ingin dilaksanakan sebagai jaminan bahawa ia benar-benar berfungsi dengan penuh efektif dan holistik.

Kaedah biometrik memerlukan masa untuk diselenggara memandangkan sistem tersebut masih baru diguna di Malaysia dan mempunyai banyak kelemahan.

Malah menurutnya, penggunaan dakwat kekal adalah lebih praktikal berbanding kaedah biometrik yang melibatkan kos tinggi.

Dan lebih ramai meragui kaedah biometrik yang tiba-tiba dijadikan saranan utama SPR kini.


Kenyataan Timbalan Pengerusi SPR:
Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, prasangka ke atas suruhanjaya itu sengaja ditimbulkan bagi mewujudkan persepsi bahawa pilihan raya boleh ditipu.


"Ramai yang percaya, termasuk kakak-kakak saya sendiri," katanya lagi yang menambah, persepsi itu kemudiannya akan menyebabkan ramai pengundi memilih pembangkang seperti yang berlaku pada Mac 2008.


Antara prasangka itu melibatkan dakwaan wujudnya 'pengundi hantu', seperti yang ditimbulkan oleh ahli parlimen Gombak, Azmin Ali sebelum ini.


Wan Ahmad memetik kes 'pengundi hantu' di Kampung Klang Gate Baru itu, termasuk di rumah ibu wakil rakyat itu sendiri yang didakwa terdapat sejumlah pengundi yang tidak dikenali.


Jelasnya, perkara itu mungkin berlaku sebelum SPR menguatkuasa peraturan baru pada 2002 yang mewajibkan pengundi didaftarkan mengikut alamat di kad pengenalan masing-masing.


"Maka pendaftaran sebelum 2002 banyak tak ikut alamat dalam MyKad.


"Sebelum itu boleh daftar siapa saja, di bawah pokok, kedai kopi, di mana saja," katanya lagi dalam satu program dialog berhubung lapan tuntutan yang dikemukakan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur hari ini.


Sebagai langkah penyelesaian, Wan Ahmad berkata SPR akan memperkenalkan satu sistem baru bagi membolehkan setiap individu memeriksa senarai pengundi yang didaftarkan di alamat mereka.


Tegasnya, "hampir mustahil" terdapat pengundi yang mengundi dua kali kerana SPR menggunakan sistem nombor pengenalan 12 digit di MyKad, melainkan pengundi berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu.


"Lagipun kita sendiri tak pernah tengok orang mengundi dua kali... Kalau dibawa ke mahkamah pun tak pernah menang.


"Adakah kita hendak pinda undang-undang sebab perkara yang tidak dibuktikan di mahkamah?," soalnya.


Jelasnya, SPR juga akan memperkenalkan sistem biometrik kerana "kita tidak mahu pusing balik sejarah untuk calit dakwat," kata Wan Ahmad lagi.


Tambahnya, penggunaan dakwat kekal yang mencetus kontroversi menjelang pilihan raya umum ke-12 itu perlu perlu melibatkan pindaan ke atas Fasal (1) Perkara 119 dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan seseorang pemilih.


Penggunaan dakwat kekal itu akan menafikan hak seseorang untuk mengundi, sedangkan undang-undang berkenaan menjamin hak pengundi untuk berbuat demikian, katanya.


Selain itu, Wan Ahmad antara lainnya turut mengulas mengenai tuntutan bagi pendaftaran automatik pengundi yang juga memerlukan pindaan dalam Perkara 119.


Jelasnya, undang-undang berkenaan pada masa ini tidak mewajibkan pendaftaran sebagai pemilih seperti di negara lain.


Katanya lagi, jumlah pengundi yang didaftarkan oleh parti politik juga merupakan saluran dengan jumlah pengundi paling tinggi buat masa ini. -mk


GB




No comments:

Post a Comment