Wednesday, June 15, 2011

PKR dakwa SPR jual daftar pemilih

PETALING JAYA – PKR mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ‘menjual’ senarai daftar pemilih terbaru seluruh negara bagi suku keempat 2010 dengan harga RM48,000 kepada Pakatan Rakyat (PR). 

Timbalan Presidennya, Azmin Ali berkata, selain terpaksa membeli senarai pemilih tersebut yang sepatutnya percuma, beliau turut mendakwa SPR membekalkan senarai pemilih tanpa alamat lengkap rumah mereka. 


Menurutnya, ia jelas membuktikan bahawa SPR bersekongkol dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana percaya senarai pemilih yang diberikan kepada mereka adalah berlainan dengan apa yang diperoleh PR. 

“Tindakan ini jelas menunjukkan SPR ‘berniaga’ dengan daftar pemilih ini. Saya tidak berpuas hati kerana daftar pemilih yang kita perolehi adalah 90 peratus tiada alamat, nombor kad pengenalan dan nombor telefon. 

“Kita tahu daftar pemilih yang kita perolehi berbeza dengan daftar pemilih yang ada pada UMNO-BN kerana kita mempunyai ramai kawan di sana,” katanya pada sidang media di sini semalam. 

Sementara itu Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan dakwaan Azmin dengan menejlaskan bahawa parti politik tidak diberi percuma daftar pemilih itu.: 

Menurutnya, harga senarai daftar pemilih tersebut berbeza mengikut senarai pemilih seluruh negara, negeri, kawasan parlimen atau Dewan Undangan Negeri. 

“Saya mengakui harga senarai daftar pemilih untuk seluruh negara adalah RM48,000. Ia dijual berdasarkan jumlah kawasan dan pengundi, sebagai contoh Selangor dengan pengundi seramai 1.5 juta orang, senarai daftar pemilihnya dijual dengan harga RM16,000,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Wan Ahmad turut menjelaskan dakwaan alamat rumah yang tidak lengkap adalah tidak benar kerana setiap pemilih disertakan dengan lokaliti iaitu jalan, kampung, lorong atau nombor rumah. - SH


No comments:

Post a Comment