Wednesday, June 15, 2011

Dewan Rakyat Tolak Usul Bantah Perhimpunan BERSIH

Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai depan, kononnya bagi menuntut reformasi dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengambil ketetapan untuk menolak usul yang dibawa Datuk Seri Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.


"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia sudah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan Bersih itu dan akan sentiasa memantau aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Terdahulu, Zahrain yang mengemukakan usul itu sebaik sesi soal jawab selesai, meminta Dewan mengambil ketetapan untuk mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan BERSIH, terutama menghasut rakyat agar merusuh di jalanan seperti mana yang berlaku di beberapa negara Asia Barat, termasuk Tunisia dan Mesir.

Beliau juga mahu persidangan mendesak BERSIH supaya membatalkan cadangan mengadakan demonstrasi baik di Kuala Lumpur, mahupun di mana-mana negeri demi keselamatan rakyat dan negara.

Zahrain berkata, tindakan BERSIH tidak mencerminkannya sebagai sebuah badan yang benar-benar memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan telus, sebaliknya bermotifkan politik kepartian.

"Kegiatan lampau BERSIH membuktikan kumpulan ini mempunyai agenda politik sempit dan berhasrat mengelirukan rakyat demi mencapai matlamat politik mereka," katanya.

Pada 2007, BERSIH yang menggunakan slogan "Gelombang Kuning", menganjurkan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara atas alasan sama.

Perhimpunan yang bermula di Dataran Merdeka itu bagaimanapun gagal mencapai sasaran mengumpul 100,000 peserta, apabila hanya beberapa ribu orang hadir.

Demonstrasi jalanan itu bagaimanapun menggugat ketenteraman awam selain menyebabkan kesesakan di lokasi utama di ibu negara.

Perhimpunan kedua BERSIH pada bulan depan antara lain untuk menuntut pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil. - BERNAMA 


No comments:

Post a Comment