Monday, June 13, 2011

Pengarah Ditamas beri Khir Toyo ‘diskaun’ takut bisnes terancam

TERKINI @ 07:09:34 PM 13-06-2011
June 13, 2011
SHAH ALAM, 13 Jun – Seorang pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia menjual banglo dan dua bidang tanah kepada bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo pada harga RM3.5 juta meskipun ia dibeli dengan harga RM6.5 juta kerana bimbang dengan nasib perniagaannya di Selangor.


Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Haryoni yang menyambung keterangan hari ini selepas ditangguhkan minggu lalu kerana kurang sihat berkata, Dr Khir (gambar) telah menolak tawarannya antara RM5 dan RM5.5 juta, sebaliknya mahu membeli hartanahnya di Seksyen 7 itu dengan hanya RM3.5 juta.
“Kami ada projek di Selangor, bisnes di Selangor dan menteri besar mahu membeli rumah saya dengan harga RM3.5 juta,” kata Shamsuddin di Mahkamah Tinggi hari ini.
“Jadi, kami bersetuju. Saya risau kedudukan saya sebagai ahli perniagaan dan saya bimbang bisnes saya akan tergugat,” katanya lagi.
“Saya tak sangka harga yang ditawarkan (Dr Khir) rendah. Saya ingatkan (Dr Khir runding) dalam RM5 juta hingga RM5.5 juta.
“Setelah berbincang dengan isteri saya, saya bersetuju untuk jual dengan harga itu memandangkan dia menteri besar Selangor. Kalau saya tak terima, saya khuatir status saya sebagai ahli perniagaan akan terjejas,” katanya.
Selain itu beliau berkata, rumah tersebut juga dibeli olehnya kerana tiada pilihan. Katanya, selepas Datuk Sumadi Ismail, yang juga saksi pendakwaan menolak untuk membeli rumah tersebut, beliau diminta Dr Khir untuk beli rumah itu.
“Saya mendapat tahu, selain saya, Datuk Khir juga berminat untuk membeli rumah tersebut. Selepas itu, ada beberapa perbincangan antara saya, Datuk Sumardi dan Datuk Khir.
“Datuk Khir menyuruh Datuk Sumardi membeli rumah tersebut, tetapi beliau tidak boleh kerana ada komitmen lain. Kemudian Datuk Khir menyuruh saya pula membeli rumah tersebut,” katanya.
Selain itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, mengapa beliau bersetuju untuk membeli rumah tersebut, katanya, “saya seorang ahli perniagaan di Selangor yang mempunyai banyak projek hartanah.”
“Bila menteri besar menyuruh saya membelinya, saya tak ada pilihan. Saya perlu membelinya,” katanya.
Dalam pada itu, sebelum mahkamah ditangguhkan petang tadi, peguam bela Dr Khir, M Athimulan memutuskan untuk mencabar kredibiliti saksi dengan memohon pihak pendakwaan memberi rakaman percakapan Shamsuddin kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mereka dapat membuat semakan terhadap keterangan saksi.
Dr Khir didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada Ditamas.
Bekas menteri besar Selangor itu didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas melalui Shamsuddin.
Hartanah tersebut diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta daripada Saiful.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai menteri besar Selangor pada ketika itu.
Shamsuddin pula didakwa bersuhabat dengan beliau untuk melakukan kesalahan tersebut di tempat dan masa yang sama.
Bagaimanapun, Isnin lalu pihak pendakwa telah menggugurkan tuduhan ke atas Shamsuddin.
Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Dr Khir yang menjawat jawatan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika disabit kesalahan. - TMI

No comments:

Post a Comment