Sunday, June 19, 2011

Jalan Menuju Allah

Di sana memang ada orang-orang yang dipilih Allah untuk menyintaiNya. Di hati mereka tercetus satu dorongan yang mengajaknya untuk segera melangkah ke jalan menuju Allah, ke jalan menuju kebahagiaan, serta membelakangi segala maksiat dan kesesiaan di dalam hidup ini. Itulah tanda-tanda petunjuk daripada Allah. 


Kerapkali ia dilimpahkan ke dalam hati seseorang insan dengan perkara yang menggembirakannya atau menakutkannya seperti teringatkan azab Allah; atau timbul perasaan rindunya terhadap Allah ataupun menerusi pertemuan dengan para wali Allah. Adakalanya dorongan itu berlaku tanpa sesuatu sebab. Firman Allah:


"... tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk." (Al Qashash : 56)

Allah yang Maha Penyayang tetap akan memberikan petunjukNya kepada sesiapa sahaja di kalangan hambaNya yang mahu menerima petunjuk. Dia akan melapangkan dada mereka untuk menerima bimbinganNya, menjalani jalan menuju kepadaNya seterusnya mendapat keredhaan dan kecintaanNya. Allah swt telah berfirman:

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya, nescaya Ia melapangkan dadanya untuk menerima Islam." (Al An'aam : 125)

Adapun bercita-cita untuk mendapatkan dorongan seperti itu memanglah dituntut dan digalakkan. Akan tetapi bercita-cita atau berharap sahaja untuk meningkat tanpa berusaha adalah suatu keputusan bodoh yang menunjukkan kedangkalan akal orang yang mencitainya itu. 



Sesungguhnya dorongan ini adalah salah satu nikmat yang tertinggi di antara nikmat-nikmat Allah. Lantaran itu, insan yang telah pun merasainya hendaklah melipat-gandakan kesyukuran kepada Allah swt di atas kurnianNya itu. Lihatlah betapa ramai orang yang mencapai usia tua tanpa memperolehi dorongan seperti itu.

Kita mungkin tertanya-tanya mengapa sebahagian dari manusia diberikan petunjuk hidayat sedangkan sebahagian yang lain tidak. Sudah tentu Allah yang Maha Adil tidak akan berlaku zalim. Untuk menjawabnya, renungilah firman Allah swt:

"Sebahagian manusia diberi petunjuk hidayat oleh Allah dan sebahagian lagi berhaklah mereka ditimpa kesesatan kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin mereka selain Allah serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayat." (Al A'raaf : 30)

Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah swt agar kita dihindariNya dari tergolong ke dalam golongan tersebut. Alangkah ruginya mereka lantaran menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin mereka, menyesatkan lagi diri mereka yang telah sedia sesat. Pohonlah dari Allah swt agar dilimpahkan kepada kita petunjukNya. 

Sabda Nabi saw:

"Allah swt telah berfirman: 'Hai hambaKu, kamu sekalian sesat kecuali yang Aku beri petunjuk, maka pohonlah petunjuk hidayat kepadaKu, nescaya Aku tunjukimu.'" (Muslim)

Adalah terjamin doa setiap insan yang memohonkan hidayat dari Allah swt, tetapi dengan syarat permohonan itu hendaklah lahir dari hati yang benar-benar inginkannya, hati yang ingin dibimbing dan dipimpin oleh sebaik-baik Pembimbing dan Pemimpin. Hati yang sedemikian inilah yang akan diterangi dengan sinaran makrifat dan mahabbab Allah swt. Dari hati inilah akan terpancarnya sinaran ke anggota lahir dan batin untuk terus mentaati Allah, dan terus melangkah di jalan menuju Allah.



Ustaz Hashim al-Maranji

No comments:

Post a Comment