Sunday, June 19, 2011

Ibu Bapa Tetap No 1 Selepas Allah dan Rasul

Oleh: Ahmad Sufyan Che Abdullah

Allah menjadikan rumah tangga sebagai tempat untuk menjalinkan kasih sayang antara suami dan isteri, dalam pada yang sama mengujinya dengan situasi yang kadang-kala kompleks untuk diceritakan menggunakan bahasa biasa. Dalam pada isteri perlu taat kepada suami, suami jangan pula buat-buat lupa bahawa tanggungjawabnya juga banyak terhadap isterinya. Namun kedua-duanya tidak lepas daripada taat kepada ibu bapa.


Pesan Allah di dalam al-Quran:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri (daripada tanah), supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [al-Rum: 21]

Jelas dalam ayat tersebut bahawa rumah tangga tempat untuk membina ikatan kasih sayang, dan kedua-duanya mesti ada tolak ansur dalam mempertahankan hak masing-masing. Terutama suami. Membuang ego bukan bermakna dayus, kerana dayus adalah membiarkan isteri dalam dosa. Lelaki orang yang kuat, perlu mengalah jika melibatkan unsur perasaan kerana wanita sifatnya sangat sensitif. 

Allah sudah menentukan bahawa tanggungjawab lelaki untuk berbuat baik kepada isterinya, sama seperti tanggungjawab isterinya untuk taat dan berbuat baik kepada suaminya. Firman Alah di dalam surah al-Baqarah, ayat 228, 



“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Kedudukan Suami dan Isteri

Seperti dalam ayat Quran yang diberikan tadi, jelas kepada kita bahawa isteri perlu taat kepada suaminya, dan pada masa yang sama suami tidak boleh lupa, atau buat-buat lupa untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada isteri. Perlunya isteri taat kepada suami, banyak dibuktikan dalam hadis-hadis Nabi seperti sabda Rasulullah s.a.w daripada Abu Hurayrah: “..jika aku boleh mengarahkan manusia sujud kepada manusia, nescaya aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.” [Hadis riwayat termidhi, tetapi kata Imam Termidh hadis ini hasan, gharib].

Untuk memakai hadis di atas sebagai sumber hukum ternyata tidak kuat, tetapi ada hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, daripada Muaz bin Jabal, beliau menceritakan kepada Rasulullah s.a.w: “Aku melihat orang-orang di Yaman, ada yang sujud sesama mereka, jadi bolehkah kami sujud kepada engkau wahai Rasulullah? Jawab Nabi, “Jika aku boleh menyuruh seorang manusia sujud kepada manusia yang lain, pasti aku akan suruh isteri sujud kepada suaminya”. 

Begitulah tingginya kedudukan suami di sisi seorang isteri, perlu dihormati dan ditaati, tetapi tidak sampai memuja dan melanggar hukum Tuhan. Dalam sebuah hadis lain yang dilaporkan oleh Abu Hurayrah r.a, Rasulullah s.a.w bersada: “Tiga golongan yang tidak akan diangkat pahala sembahyangnya walau sejengkal melebihi kepalanya (apatah lagi dibawa kepada Allah); Seorang lelaki yang mengetuai masyarakatnya, sedangkan mereka itu benci kepadanya; seorang wanita yang tidur di malam hari, sedangkan suaminya marah kepadanya (atas sebab yang diharuskan Syariah); dan; seorang saudara seIslam yang saling bermusuhan (bukan atas sebab yang dibenarkan Syariah).[Riwayat Ibn Majah] . Imam al-Sindi dalam huraiannya terhadap hadis ini, menyatakan bahawa sandarannya adalah boleh dipertanggungjawabkan.

Begitu sekali kedudukan suami di sisi isteri, sebagai wanita, jangan sekali buat suami marah tanpa sebab-sebab yang tidak munasabah. Tak perlulah ikut emosi sangat, kadang-kala benda kecil pun dijadikan isu. Sekurang-kurangnya, jika ada terkasar sedikit, buatlah sesuatu yang meredakan kemaharan suami sebelum tidur, kerana tidak dijamin bahawa tidur itu bukan tidur yang sementara.

Kewajipan Suami Kepada Isteri

Suami juga tidak boleh cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri yang sangat banyak. Bermula daripada mendidik isteri dengan ilmu yang cukup, seperti yang disebutkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Jami’ beliau, sehinggalah menjaga emosi isteri, kerana sifat wanita yang sangat sensitif, sehingga Rasulullah menyifatkan wanita ibarat tulang rusuk, tersilap langkah, patah dibuatnya. 


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Termidhi, daripada Abu Hurayrah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik melayan isteri-isterinya”. [Hadis Hasan Sahih]


Menjaga akhlak dengan isteri, menjaga emosi isteri, membelai dengan kasih sayang, adalah tanggungjawab suami. 


Bahkan ada sesetengah pandangan ulama’ mengatakan bahawa sebenarnya tugas suami meliputi semua urusan rumah termasuklah menyediakan makanan, minuman, basuh baju dan seumpamanya. Namun rasanya pandangan ini bersifat peribadi sahaja, kerana daripada sunnah Rasulullah dan sejarah para sahabat, di dapati bahawa urusan memasak, kemas rumah, basuh baju adalah dilakukan oleh isteri. 


Tetapi apa salahnya jika suami ada masa, memasak untuk keluarga, tolong kemas rumah, itukan lebih menepati hadis Nabi yang menyuruh melakukan kebaikan dalam rumah tangga.

Bahana Percaya Hadis Yang Daif

Ada satu ketika, ada seorang sahabat saya menceritakan ada seorang lelaki yang kononya pendakwah yang sangat tegas dengan isterinya, sehingga tidak langsung membenarkan isterinya menziarahi ayah dan ibunya semenjak berkahwin. Ini kerana percaya dengan cerita yang belum tentu sahihnya atau tidak, yang mana seorang lelaki yang pergi bermusafir dan berpesan kepada isterinya supaya tidak keluar rumah. 



Lalu datang seseorang memberitahu bahawa ayah wanita itu sakit, lalu si isteri itu bertanya Rasulullah sama ada dia boleh pergi ziarah ayahnya, Rasulullah menyuruhnya taat pada suaminya, sehinggalah akhirnya ayah si isteri itu meninggal dunia, lalu Rasulullah mengkhabarkan bahawa ayahnya itu telah diampunkan dosa-dosanya, kerana taatnya wanita itu pada suaminya. 

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam Mu’jam al-Wasit, tetapi perawinya tidak dikenali (majhul) bahkan ada yang mungkar. Statusnya, semua ulama hadis sama ada yang lama seperti al-Haithami, atau yang baru seperti Albani, mengatakan sangat daif. Bahkan ramai juga sarjana hadis mengatakan cerita ini adalah palsu kerana beberapa sebab, antaranya;

Pertama; Bercanggah dengan dalil al-Quran yang menyuruh berbuat baik kepada ibu bapa


Keduanya: Hadis ini lafaznya bercanggah antara satu sama lain, yang menyebabkan al-Dhahabi mengatakan ada cacat pada lafaznya. 


Contohnya, jika dilihat lafaznya, wanita itu dilarang keluar daripada rumahnya, tetapi pada masa yang sama, dia tetap keluar bertanya nabi tentang keadaannya. 


Ketiga; Paling tinggi hadis ini adalah daif, tidak boleh dijadikan hukum, apatah lagi bercanggah dengan ayat al-Quran yang menyuruh berbuat baik kepada ibu bapa secara mutlak, sebelum atau selepas berkahwin.

Inilah bahananya, berpegang pada hadis daif, sehingga mengabaikan prinsip al-Quran dan prinsip utama Islam. Islam akan nampak cacat. Lebih malang bila para penceramah agama pun masih juga menceritakan cerita di atas walaupun jelas sangat daifnya. 

Jadi Bagaimana Kedudukan Ibu Bapa?

Inilah uniknya peraturan Islam, ia bukanlah meletakkan kedudukan ibu ayah atau suami mengikut ranking, tetapi meletakkan Allah dan Rasul sebagai kedudukan utama. Namun Allah telah menjelaskan dalam banyak ayat di dalam al-Quran, betapa perlu berbuat baik kepada ibu dan bapa secara mutlak, sama ada selepas berkahwin atau sebelum berkahwin. 

Saya berpendapat, kedudukan ibu dan ayah, sebagai orang yang wajar dihormati dan ditaati, tidak berubah walau seseorang itu bergelar isteri. Ibaratnya, dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, dengan adanya sistem raja berperlembagaan, seorang suami seperti perdana menteri, manakala ibu dan ayah seperti Yang dipertuan Agong. Perdana Menteri adalah pemerintah yang sah yang wajar ditaati perintahnya, selagi mana tidak bercanggah dengan perlembagaan, begitu juga Raja yang wajar dihormati kedudukannya yang tinggi. 

Carilah di dalam al-Quran satu ayat yang jelas, terang, tentang perlunya taat isteri kepada suami, lebih terang, atau sekurang-kurangnya sama jelas, dengan arahan Allah supaya taat kepada ibu bapa. Bahkan dalam banyak ayat, Allah meletakkan taat kepada kedua ibu bapa, kedua, selepas larangan mensyirikkan Allah. Begitulah hebatnya kedudukan ibu bapa. 

Namun, ada sebuah hadis yang dijadikan dalil bahawa isteri wajib mengutamakan suaminya melebihi ibunya. Hadis ini diriwayatkan oleh Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: “Siapakah manusia yang perlu diagungkan haknya oleh seorang wanita? Jawab Rasululah, “Suaminya”. Aku bertanya lagi, “Bagi seorang lelaki?”, Jawab Nabi, “Ibunya” [Riwayat al-Hakim]

Hadis ini ada diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Mustadrak, yang dikatakan sahih berasaskan syarat Bukhari dan Muslim. Kerana kurangnya ilmu hadis dan hukum, maka hadis ini dipakai dan dijadikan hujah, sedangkan semua ulama’ hadis tahu bahawa hadis dalam Mustadrak oleh al-Hakim itu belum tentu boleh dipakai, walaupun dikatakan sahih, kecuali hadis-hadis yang disahkan oleh al-Dhahabi. 



Dalam kes cerita tadi, majori ulama seperti Albani, al-Dhahabi dan lain-lain mengatakan hadis ini sangat lemah, kerana terdapat perawi yang tidak diketahui, dan ada juga yang bertaraf ‘munkar’. Selain itu, cerita ini juga ada dalam riwayat al-Bazzar, tetapi sanadnya tetap daif.

Tegasnya, mana mungkin hadis yang sedaif ini untuk dijadikan dalil bagi mengatasi ayat al-Quran



Hadis sahih pun, kalau mengikut mazhab Hanafi, tidak boleh mengkhususkan al-Quran jika bercanggah. 


Justeru, tidak ada satu pun hadis yang sahih, yang menunjukkan keutamaan suami, lebih daripada keutamaan ibu bapa. Suami, ikatannya adalah perkahwinan, jika bercerai, terpaksa balik kepada ibu dan bapa juga yang tidak pernah putus. 

Dengan kata lain, tidak boleh seseorang itu mengutamakan suami, sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada ibu dan bapanya, dan tidak boleh suami menghalang isteri daripada melakukan tanggungjawabnya sebagai anak terhadap ibu bapanya. 



Tidak juga menafikan tempat isteri adalah disisi suaminya. Contohnya jika ibu bapa melarang ikut suami berpindah ke satu tempat yang lain, ini juga bercanggah dengan sunnah Rasulullah dan para sahabat. Bahkan menyalahi syariah kerana meruntuhkan rumah tangga.


Dalam bab ini, mungkin wujud situasi ‘grey area’, sebenarnya tidak ‘grey’ pun jika difahami betul-betul arahan Syariah. Taat kepada suami, atau taat kepada kedua-dua ibu bapa adalah kedua-duanya kehendak Syariah. Maka jika ada ibu bapa yang menghalang anaknya taat pada suami, maka ibu bapa itu telah melanggar Syariah, begitu juga suami yang menghalang isterinya taat pada ibu bapanya, juga telah melanggar Syariah kerana cuba memutuskan silaturrahim. Mana-mana arahan yang melanggar Syariah, tidak wajar diikuti oleh mana-mana pihak pun. 

Itulah uniknya Islam, perlembagaan asasnya adalah Allah dan Rasul, al-Quran dan hadis. Tetapi hadisnya mestilah sahih. Jika hadis itu tidak sahih, pasti akan canggunglah hubungan antara manusia. 


Amalan bergilir-gilir balik kampung di hari raya yang dibuat oleh masyarakat kita adalah sangat tepat dah sebenarnya. 


Tidak salah di sisi Syariah. Ibu bapa sama ada mertua atau ibu bapa sendiri, tarafnya sama sahaja. Sebab itu suami boleh berlihat aurat mertuanya berbeza dengan iparnya, kerana tarafnya sama dengan ibu bapa nya sendiri juga dari sudut ketaatan dan hormatnya. 


Itulah secara teorinya dan secara praktiknya mungkin ada sedikit kerumitannya jika ada percanggahan, namun perlulah dihadapi dengan kewarasan dan kepintaran dengan panduan al-Quran dan hadis yang sahih. Nak berumah tangga.. pandai2lah uruskan...


Ustaz Hashim al-Maranji

No comments:

Post a Comment