Wednesday, June 29, 2011

Isu Pengharaman Baju T BERSIH : Menteri, polis jangan atasi parlimen – Aziz Bari


KUALA LUMPUR: Menteri dan pasukan polis tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kesalahan yang tidak disebut oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari kepada Keadilandaily ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Dato Seri Hishamuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini.


Hishamuddin memberi amaran sesiapa yang memakai baju T kuning Bersih adalah melakukan kesalahan dan boleh ditangkap.

Sementara Ismail pula menambah, sesiapa yang memakai kasut, menaiki kereta dan bas untuk mempromosikan perhimpunan itu  juga akan ditahan kerana  melakukan kegiatan menghasut.
Aziz berkata, kuasa untuk membuat undang-undang telah diletakkan di tangan parlimen.

Menteri dan kakitangan awam seperti polis tidak mempunyai kuasa berbuat demikian. Jika ada pun kuasa itu ia mesti disebut secara jelas dalam akta yang berkenaan,”.

“Apa yang dilakukan oleh menteri dan polis ialah membuat kesalahan atau jenayah baru yang di luar bidang kuasa mereka”, kata pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  itu.

Kata Aziz lagi, tidak ada undang-undang yang meletakkan perkara itu sebagai perbuatan jenayah, seperti yang disebut oleh Hishamuddin dan Ismail.

Dengan itu, katanya, orang ramai bebas melakukan apa yang dilarang oleh mereka berdua.


Menjelang Perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini, pihak polis bertindak sewenang-wenang menahan orang ramai yang mereka dakwa ada kaitan dengan perhimpunan tersebut.

Sehingga kini seramai 95 orang ditahan polis atas dakwaan mempromosikan himpunan itu, termasuk kesalahan memakai baju T Bersih. - KD

No comments:

Post a Comment