Thursday, June 2, 2011

Fatwa Tegah Bina Tugu 1Malaysia


Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat tindakan kerajaan membina tugu “1Malaysia” adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan, yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab (berhala).



Menurut fatwa itu, tegahan itu dibuat berdasarkan ayat 90 dalam surah al-Maidah yang menyebut bahawa arak, judi dan menyembah berhala adalah amalan syaitan dan mestilah ditegah.


Tegahan ini juga berdasarkan kaedah Sadd al-Zara'i (menutup pintu kemudharatan) bagi memelihara kemurnian akidah, sebagaimana larangan Nabi Muhammad terhadap tindakan sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul.

"Selain daripada itu kewajaran tegahan ini juga dilihat dari sudut pembaziran yang diharamkan oleh Islam," kata Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, keputusan itu dibuat setelah jawatankuasa yang dipengerusikannya itu bermuzarakah pada 18 dan 19 April lalu.

Keputusan itu, tambahnya, telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIP) dan disembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis sehari selepas itu.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, fatwa itu tidak diwartakan dan hanya berperanan sebagai nasihat kepada umat Islam.

Ekoran keputusan itu, fatwa tersebut dihebahkan di pelbagai penerbitan kerajaan negeri, termasuk majalah bulanannya Irsyad Hukum, jelas Dr Juanda.

Selepas Najib memperkenalkan gagasan itu, tugu sedemikian yang kebanyakannya dibina daripada batu dan kayu dilihat diletakkan di pelbagai tempat di seluruh Malaysia. -mk


No comments:

Post a Comment