Friday, June 3, 2011

Bumiputera masih kukuh bersama UMNO/BN?


MENGHAIRANKAN! Pilihanraya umum ke 13 (PRU 13) sudah semakin hampir dan boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang, tetapi Kerajaan Barisan Nasional mengambil sikap tidak popular sejak kebelakangan sehingga mengguris hati rakyat jelata.

Contohnya, kenaikan harga Petrol Ron 95, kenaikan harga gula, kenaikan tariff elektrik dan pelbagai lagi tindakan menambah garam ke luka di hati rakyat yang belum sembuh selepas pilihanraya umum ke 12.

Bagi orang kaya, kenaikan sedemikian tidak membebankan, tetapi bagi majoriti rakyat Sabah yang berpendapatan ‘ala kadar’ atau RM1,600 sebulan, bagaikan rumput di jalanan yang hidup segan, mati tidak mahu; sudah pasti tidak mampu membiayai ansuran bulan rumah, kereta, bil utiliti serta belanja persekolahan anak-anak.

Sekarang rakyat Sabah semakin marah, tetapi memendamkan kemarahan. Tidak guna meluahkan kepada media kerana sudah pasti tidak disiarkan, melainkan media baru seperti Sabahkini.net; tetapi jika tersiar, maka mungkin berakhirlah riwayat jawatan mereka yang membuat kenyataan.

Pemimpin BN yang semakin buta hati akan membalas dendam kepada pembawa berita dan bukannya tahu berterima kasih kepada Pengerusi JKKK atau Ketua Kampung atau Ahli UMNO yang membuat kenyataan media.

Dalam tinjauan Sabahkini.Net ke beberapa lokasi, senario kini bukan seperti senario 1960-an kerana majoriti rakyat akar umbi termasuk Ketua Kampung, Pengerusi JKKK dan Ketua Cawangan tidak segan silu membuat kenyataan atau mengkritik pemimpin mereka secara terbuka.

“Kenapa mau ambil tindakan pemecatan ke atas kami jika yang ajar kami bersuara ialah Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin. Beliau bukan sahaja menentang Ketua Menteri Sabah, bahkan Perdana Menteri secara terbuka, tetapi diberi projek dan dilantik sebagai Senator. Jadi kenapa mahu balas dendam kepada kami jika hanya menyuarakan keluhan rakyat?,” tanya seorang Ketua Cawangan UMNO, Tampi-Tampi Darat, Azizul Sanarul.

Menurut Azizul, rakyat bukan ingin mengajar pemimpin politik tetapi hanya menyuarakan hak mereka yang dinafikan kerajaan selama ini kerana tidak mendapat apa yang dijanjikan sejak pilihanraya umum 1994 lagi.

Ternyata kenyataan Azizul ada asasnya kerana ke mana-mana sahaja lawatan Sabahkini.net, majoriti responden memaki hamun pemimpin BN yang sudah lupa diri, namun masyarakat Cina pandai menyimpan kemarahan mereka, bagaikan harimau menyimpan kuku, sekalipun hampir 80 peratus daripada mereka tidak menyukai BN.

Namun bumiputera masih kukuh bersama UMNO/BN sekalipun dilayan seperti ‘anak buangan’ kerana masih dapat mencari makan dan mencuri peluang, terutama Ketua Cawangan UMNO dan AJK Bahagian yang dijaga oleh pemimpin mereka, sekalipun ahli UMNO/BN tetap marah kerana semua habuan ditelan Ketua Cawangan mereka.

No comments:

Post a Comment