Tuesday, June 14, 2011

Berita Harian mengesahkan "Perjanjian IPP" berat sebelah

IPP perlu sedar tanggungjawab sosial korporat
Ambil kira kebajikan rakyat, balas budi kerajaan dengan tidak terlalu utama keuntungan
 
MELIHAT kepada sifat berat sebelah perjanjian yang dimeterai, baik dalam konsesi lebuh raya atau isu hangat baru-baru ini iaitu perjanjian dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), tidak hairanlah jika orang ramai pantas mempertikaikan kebijaksanaan pihak berwajib ketika menandatanganinya.



Seperti berlaku kepada berapa konsesi lebuh raya, perjanjian IPP yang mula ditandatangani pada awal 90-an akan tamat secara berperingkat pada akhir 2014 atau 2015. Antaranya termasuk YTL Power Generation Sdn Bhd, Genting Sanyen Power Sdn Bhd, Segari Energy Ventures Sdn Bhd, Powertek Bhd dan Port Dickson Power Sdn Bhd.


Walaupun perjanjian pembelian tenaga (PPA) berat sebelah ini sering menjadi rungutan pelbagai pihak, pada hakikatnya IPP terbabit sudah mengaut keuntungan berbilion ringgit dengan risiko amat kecil atau tiada risiko sama sekali. 

Secara keseluruhan, IPP sedia ada berupaya menjana tenaga sekitar 4,100 megawatt (MW) untuk dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas dasar ‘ambil atau baya’. 

Dalam erti kata lain, ini bermakna TNB selaku pembekal tenaga nasional, yang turut menjana tenaga elektriknya sendiri, terpaksa membayar walaupun bagi tenaga yang tidak digunakan. 

Justeru, memanglah wajar bagi IPP ini memikirkan mengenai tanggungjawab sosial korporat mereka dan mengambil kira kebajikan rakyat dalam keghairahan mengejar kekayaan dan tidak kurang juga yang berpendapat mereka harus membalas budi kerajaan selepas sekian lama mendapat keuntungan besar tanpa risiko. 


Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang kadar baru tarif elektrik sudah diluluskan kerajaan, IPP harus mengambil inisiatif untuk duduk semeja dengan kerajaan bagi menyemak semula perjanjian PPA yang dimeterai sebelum ini. 

Tatkala rakyat dibebani peningkatan kos sara hidup semasa berikutan pengurangan subsidi bagi barangan keperluan seperti gula dan minyak, tindakan mengaut keuntungan keterlaluan daripada pembekalan bahan keperluan asas rakyat, umpama tenaga elektrik, tidak wajar berterusan. 

Menyedari keadaan ekonomi semasa, syarikat seperti PETRONAS sudah menunaikan tanggungjawab korporat dengan menawarkan subsidi gas, TNB sebelum ini menyerap semua kenaikan kos, malah rakyat juga berkorban dengan pengurangan subsidi minyak atau gula yang diumum kerajaan tempoh hari. 

Jadi, apa rasional IPP untuk terus menangguk di air keruh, sedangkan peningkatan kos pembekalan elektrik memberi tekanan kepada syarikat lain dalam sektor ini. Sepatutnya, IPP yang sudah mengaut keuntungan berlipat ganda tidak lagi membebankan rakyat menerusi peningkatan tarif elektrik. 

Jika disingkap sejarah kewujudan IPP ini, perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan dikritik hebat oleh pelbagai pihak kerana memberi perlindungan yang keterlaluan kepada IPP, baik pada peringkat pembinaan, operasi atau pembiayaannya. 

Kontrak kejuruteraan, pengambilan tanah dan pembinaan dilindungi daripada peningkatan kos semasa, kelewatan pembinaan dan pertukaran wang asing, manakala penalti, umpamanya bagi kegagalan mematuhi tarikh siap projek dan kemerosotan prestasi, diselitkan bersama perjanjian operasi dan penyenggaraan (O&M) dengan pengeluar asal peralatan. Tambahan pula, hampir semua pinjaman IPP adalah dalam ringgit. 

Sehubungan itu, TNB menghadapi tekanan kewangan kerana terpaksa membuat bayaran tinggi kepada IPP berdasarkan perjanjian terbabit selain menanggung sebahagian besar risiko membabitkan projek IPP, terutama kelebihan bekalan tenaga dan kenaikan harga bahan api. 

Atas kesedaran itu, lesen IPP bagi generasi kedua (antara 1998-2001) dan generasi ketiga (2002 dan selepasnya) dilihat sebagai lebih adil kerana wujud perkongsian risiko dan beberapa elemen lain yang tidak terkandung dalam PPA asal. 

Berdasarkan laporan kewangan TNB, pembayaran keseluruhan TNB kepada IPP antara 2001 hingga 2010 berjumlah RM78.3 bilion. Tahun lalu saja, pembayaran dianggarkan sekitar RM19 bilion atau 65 peratus daripada pendapatan keseluruhannya. 

Malah, Presiden merangkap Ketua Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khaleb Mohamad Noh, pernah dipetik berkata, bahawa rundingan semula PPA adalah antara kaedah bagi mengurangkan kadar tarif yang dikenakan terhadap pengguna. TNB kini tiada pilihan melainkan membeli semua bekalan elektrik yang dijana IPP walaupun 40 peratus daripada 19,000MW yang dijana sekarang melebihi keperluan sebenar dalam negara. 

Dalam erti kata lain, TNB, yang hanya memerlukan rizab tenaga 15 atau 20 peratus, terpaksa membeli lebihan tenaga elektrik yang tidak diperlukan dan kosnya disalurkan kepada pengguna. 

TNB boleh diibaratkan bagai menang jadi arang, kalah jadi abu kerana tersepit di tengah sedangkan kepada IPP, kerajaan bagaikan menambak gunung dan menggarami laut. 

Difahamkan, kementerian dan agensi kerajaan berkaitan sudah memulakan rundingan baru dengan IPP bagi meyakinkan mereka untuk bertolak ansur. 

Diharapkan rundingan semula PPA ini dapat memastikan terma perjanjian yang lebih saksama pada masa depan dan IPP pula harus sedar mengenai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk membantu rakyat, yang juga pelanggan utama mereka ketika mengharungi keadaan ekonomi tidak menentu. - Berita Harian



Artikel Berkaitan :
1. Isu TNB dengan IPP, Dr Mahathir wajar menjawabnya kepada rakyat 
2. Punca Tan Sri Ani Arope Letak Jawatan

No comments:

Post a Comment