Sunday, May 22, 2011

Tanah Runtuh di Hulu Langat: Insyaallah Mereka Syahid

Assalamualaikum dan salam kasih sayang untuk semua.

Innalillahi wa inna ilaihi raajiun.

Al-Fatihah untuk semua anak-anak yatim yang telah terkorban dalam peristiwa tanah runtuh di Hulu Langat semalam. Takziah kepada keluarga semua yang terlibat dan juga pihak Rumah Anak Yatim Al-Taqwa yang telah mengalami kehilangan besar, nyawa dan harta-benda. Khabarnya beberapa orang yang dirawat kini dalam keadaan kritikal manakala masih ramai yang belum ditemui. Allahu Akbar.
An-Nisaa`:069  
Dan barangsiapa yang menta`ati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi ni`mat oleh Allah, yaitu : Nabi-nabi, para shiddiiqiin [314], orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.

Kakchik dari malam tadi terasa amat sayu dan sebak dengan kejadian ini. Lebih-lebih lagi Allah mentakdirkan ianya berlaku ke atas anak-anak yatim. Orang kata mereka mati syahid. Mashaallah. Moga-moga kematian mereka dan kejadian ini menjadi satu iktibar buat kita semua. Allah tidak pernah mentakdirkan sesuatu tanpa ada pengajaran di sebaliknya, hanya orang yang berfikir akan memikirkannya.

Di sini kakchik abadikan laporan muka depan 5 akhbar utama hari ini yang melaporkan peristiwa yang sama.










Allahu Allah. Nabi Muhammad saw sangat kasih kepada anak-anak yatim. Tambahan pula baginda juga adalah anak yatim piatu yang kehilangan ayah dan ibu di usia yang masih muda. Anak yatim ada disebut di dalam al-Quran dan Hadis. Mereka juga termasuk golongan asnaf yang boleh menerima zakat. Betapa besarnya pahala orang-orang yang membantu anak-anak yatim.

Semoga peristiwa ini menjadi peringatan kepada kita semua. Mungkin Allah mahu kita sebagai masyarakat lebih prihatin kepada maslahah kehidupan anak-anak yatim. Mungkin Allah mahu pimpinan negara ini lebih peka dan memandang berat segala urusan berkaitan dengan anak-anak yatim. Mungkin Allah mahu kita semua sentiasa ingat bahawa dalam setiap harta kekayaan yang dimiliki ada juga bahagian untuk anak-anak yatim. Mungkin... mungkin... dan mungkin. Hanya Allah yang lebih tahu segala matlamatNya, moga-moga kita mampu membacanya dengan mata hati yang insaf. - banihashim

No comments:

Post a Comment