Thursday, May 26, 2011

Skandal cetak mata wang berganda untuk biaya dana Umno?


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengumumkan siasatan mengenai skandal mencetak mata wang berganda yang pernah ditimbulkan sejak beberapa tahun lalu.
Ia berikutan pengumuman Bank Negara Malaysia untuk mengeluarkan siri baru wang kertas dan syiling Malaysia yang dikatakan akan diedarkan di pasaran pada awal 2012.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, isu percetakan mata wang berganda itu telah beberapa kali dibangkitkan di parlimen, namun sehingga kini kerajaan dan agensi undang-undang yang terlibat gagal mengumumkan sebarang hasil siasatan mengenainya.
“Sehingga kini siasatan ini didiamkan. Dulu dikatakan kerajaan akan dedahkan hasil siasatan di parlimen, tapi sehingga kini tidak ada langsung penemuan dan hasil siasatan yang diberikan kepada kita,” kata Azan ketika dihubungi keadilandaily.com.
Azan merujuk skandal komisyen bernilai RM11.4 juta yang diterima individu tempatan daripada syarikat membekal bahan polimer untuk mencetak wang kertas, Securency International dan Note Printing Australia.
Dua anak syarikat Reserve Bank Australia itu didakwa merasuah pegawai tinggi kerajaan selaku orang tengah bagi mendapat kontrak mencetak dan membekalkan mata wang negara antara 1990 hingga 2005.
Individu yang juga dikatakan ahli perniagaan itu dikatakan rapat dengan Umno dan kerajaan.
Menurut Azan, mata wang berganda yang memiliki nombor siri yang sama itu dipercayai digunakan Umno-BN untuk merasuah pengundi setiap kali pilihan raya umum dan negeri, seperti mana dikesan berlaku di Sabah.
Azan menyifatkan aktiviti percetakan mata wang berganda itu sebagai pengkhianatan kepada institusi kewangan negara dan lebih teruk berbanding spekulasi nilai mata wang.
Ini kerana lambakan mata wang berganda itu juga akan menyebabkan nilai mata wang jatuh dan mengheret negara ke arah inflasi.
“Apabila ini berlaku, nilai mata wang malaysia akan jatuh dan tak boleh diperdagangkan di peringkat antarabangasa. Ia hanya laku dalam negara menyebabkan kejatuhan nilai. Ia menyebabkan inflasi dan juga terdedah kepada spekulasi.
“Di sesetengah negara, mereka yang didapati bersalah melakukan perkara ini akan dihukum mati,” tambah beliau.
“Sebab itu, jika menyentuh soal mata wang berganda ini, saya merasa curiga kerana isu yang ditimbulkan sejak 2009 iaitu selepas pilihan raya pada Mac 2008 masih belum berjawab,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama Azan turut mempersoalkan mengapa kontrak percetakan mata wang negara perlu dilakukan melalui pihak ketiga.
“Seingat saya tiga kali perkara ini diberi perhatian di parlimen termasuk dalam belanjawan negara. Tetapi tidak ada jawapan munasabah mengapakah kita melantik agen sedangkan banyak negara seperti Thailand mengendalikan percetakan mata wang sendiri supaya mudah untuk diawasi,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14100


No comments:

Post a Comment