Thursday, May 26, 2011

Hajat Lelaki ini menjadi ALEESHA tertangguh Serta Hukumnya


MOHD. ASHRAF meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam.

[kosmo] KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini semalam menjadi tumpuan gara-gara kemunculan seorang lelaki berpakaian wanita yang hadir untuk mendengar keputusan berhubung permohonannya mendapatkan kebenaran menukar nama kepada nama wanita.

Bagaimanapun, hajat Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, itu tertangguh apabila Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 18 Julai depan sebagai tarikh keputusan kes.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dan meneliti petisyen yang dikemukakan pemohon melalui peguamnya, Horley Isaacs.

Ashraf yang berbaju kurung merah putih dan bertudung merah jambu hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonannya untuk mendapat kebenaran menukar nama kepada Aleesha Farhana Abd. Aziz.

Mohd. Yazid dalam penghakimannya berkata, walaupun pemohon telah melakukan pembedahan jantina, mahkamah tetap berdepan kesukaran untuk membuat keputusan.

Hukum Menukar Jantina di Sisi Islam 

Dari sudut hukum dalam Islam, cukup jelas perbuatan itu haram. Tidak kiralah sama ada lelaki mahu menukar jantina kepada perempuan atau sebaliknya. Ulama bersepakat mengatakan haram juga bagi lelaki menyerupai perempuan melalui cara berpakaian, gaya dan tingkah laku.

Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa (maksudnya): "Rasulullah melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau berlagak seperti wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau berlagak seperti lelaki." (Riwayat al-Bukhari).

Hadis lain, daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata (maksudnya): "Rasulullah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki". (Riwayat Abu Daud dengan sanad sahih).

Sudah jelas hukum haram terbabit yang mana melarang lelaki menyerupai wanita atau sebaliknya. Apabila sesuatu larangan dalam nas itu disertai dengan laknat, maka hukumnya berdosa besar dan fasik sehinggalah seseorang itu bertaubat nasuha.

Perbuatan menyerupai pun dikira berdosa besar apatah lagi perbuatan mengubah anggota lelaki menjadi anggota wanita, bermakna dosanya amat berat sekali. Menukar jantina termasuk dalam kategori dosa besar iaitu cuba mengubah ciptaan Allah atas dasar tidak puas hati dengan takdir Allah.

Perbuatan mengubahsuai ciptaan Allah datangnya daripada syaitan yang sentiasa menghasut manusia. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya aku akan sesatkan mereka dan ku perdayakan mereka dengan angan-angannya serta ku suruh mereka memotong telinga ternak (untuk berhala) dan ku suruh mereka supaya mengubah makhluk Allah. Dan barang siapa mengambil syaitan menjadi wali, selain Allah sesungguhnya dia telah rugi dengan kerugian yang nyata". (Surah an-Nisaa' ayat 119).

Allah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian berbanding dengan makhluk yang lain. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk". (Surah at-Tiin ayat 4). 

Implikasi Sosial

Alasan naluri mahu jadi perempuan tidak boleh diterima bagi mengharuskan perbuatan terkutuk itu. Jika naluri yang kononnya dijadikan hujah kuat untuk mereka melakukan semua itu bagaimana pula perkara mungkar lain seperti merogol, mencuri atau mengambil dadah?

Malah, dosa kian bertambah apabila dalam masa sama mereka mengambil kesempatan menjadikan lelaki sebagai teman sosial atau merelakan hubungan seks berlaku. Itu belum lagi hal yang lain seperti masalah perkahwinan, mengerjakan haji atau umrah, bersembahyang serta pengebumian. Selain itu, mereka berdepan kemungkinan mendapat penyakit tertentu kesan daripada pembedahan. Jadi, keseronokan mereka itu sebenarnya hanya sementara.

Pokok pangkalnya, setiap perbuatan yang ditegah dan dilarang Allah pasti ada sebabnya dan tetap dikira berdosa. Tiada satu alasan pun boleh diterima untuk mengharuskan atau membenarkan ia berlaku.

Menyesali rupa bentuk atau keadaan sedia ada adalah perkara yang tidak patut kita semaikan dalam diri. Tujuan kita hidup adalah untuk mengambil hikmah dari setiap kejadian yang alami. Sebagai Muslim yang beriman, menjadi kewajipan mereka menjaga tubuh badan dengan sempurna selain dilarang sama sekali mengubah suai serta menghiasinya dengan tujuan yang diharamkan syarak.

Pengecualian

Walau bagaimanapun, pembedahan untuk mengembalikan atau memulihkan semula kecacatan anggota badan yang tidak berfungsi adalah harus.

Contohnya, pemindahan organ atau anggota badan yang diambil daripada orang yang hidup atau mati seperti jantung, buah pinggang dan mata kepada mereka yang memerlukannya.

Berdasarkan fatwa bekas Mufti Mesir, Sheikh Al-Hasanin Makhluf, bagi menghadiahkan anggota atau organ, ia perlu memenuhi beberapa syarat termasuk memastikan kejayaan pemindahan terbabit yang bukannya berdasarkan sangkaan, berada dalam keadaan darurat, pembedahan dan pemindahan perlu dilaksanakan dengan cermat, teliti, dan berhati-hati serta meminta keizinan terlebih dahulu daripada waris.

Pembedahan plastik bagi tujuan kecantikan juga dilarang kerana ia bertujuan untuk bermegah-megah selain melanggar fitrah dan merosakkan anggota badan.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata golongan yang menukar jantina tidak dapat menerima qada dan qadar Allah.

"Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Naluri ingin menukar jantina ini adalah antara bisikan syaitan dan iblis yang ingin merosakkan mereka.

"Kita perlu bijak memilih mana satu perkara baik dan buruk. Justeru, dalam hal ini mereka perlu membantu diri mereka melawan nafsu serta naluri buruk," katanya.

Beliau berkata, pelbagai masalah akan menimpa terutama berkaitan perkahwinan, ibadah serta pengebumian apabila meninggal dunia kelak.

"Akibat melawan takdir Allah, setiap kebajikan dan amalan mereka lakukan tidak diterima Allah. Contohnya sembahyang, akibat penukaran jantina ini mereka perlu melakukannya mengikut cara wanita.

"Ia bukan saja merosakkan ibadah diri sendiri malah turut merosakkan ibadah orang lain. Begitu juga apabila meninggal dunia, jenazah mereka perlu disemadikan mengikut cara lelaki. Tambah menyeksakan, jenazah terpaksa dibedah semula bagi membuang alat kelamin wanita," katanya.

Katanya, walaupun ada yang mendakwa mereka hidup bahagia, hakikatnya gagal menyembunyikan perasaan bersalah.

"Ketika usia muda, memang semuanya ingin tampil cantik tetapi apabila meningkat tua, naluri hendak cantik itu tiada lagi. "Ditambah pula pelbagai berpenyakit, pasti mereka akan menyesal," katanya.- harian metro

No comments:

Post a Comment