Sunday, May 29, 2011

Sape Malcolm X ?


Apabila kamu menjadi seorang muslim sejati, kamu tidak akan melihat seseorang itu berkulit hitam, coklat, merah atau kuning. Tapi kamu akan memandangnya sebagai seorang manusia" Malcolm X


Mungkin ramai yang mengenalinya dan mungkin lebih ramai yang tidak mengetahui siapakah lelaki ini. Malcolm X merupakan seorang tokoh yang pernah mengegarkan Amerika Syarikat sekitar tahun 1952 hingga 1965. Malcolm X (El-Hajj Malik El-Shabazz) merupakan seorang pejuang. Bermula dengan perjuangan untuk hidup dan kemudiannya berubah kepada perjuangan untuk memaknakan hidup. Dia tidak sekadar pembela kulit hitam. Juga, tidak hanya pejuang hak asasi manusia. Tapi, lebih dari itu. Ini semua dapat kita selami apabila kita menyelongkari kembara rohaninya yang begitu indah. Kembara yang menemukannya dengan Tuhan dan sekali gus memberikannya kekuatan untuk melakukan U-TURN KE JALAN LURUS.


Pada tahun 1992, hidup dan kehidupannya telah diabadikan di dalam sebuah filem yang berjudul Malcolm X. Filem ini di arahkan oleh Spike Lee dan watak Malcolm X pula dilakonkan oleh Denzel Washington. Di sini, saya tidak ingin berbicara panjang perihal Malcom X atau filem tersebut. Sebenarnya, bukanlah motif saya untuk memerihalkan riwayat lelaki berjiwa pejuang ini secara lengkap dan menyeluruh . Cuma, saya ingin berbicara dan sekali gus mengajak para sahabat mengambil iktibar dari kisah hidupnya.

(Wajah Sebenar Malcolm X)

Percayalah, ketika nadinya berdenyut hinggalah jantungnya berhenti berdegup, ada seribu pengajaran yang mampu kita pungut. Percaya jualah, pada setiap langkah yang pernah diatur dan jejak yang disusun olehnya ketika ‘mencari’ Tuhan, amat perlu untuk kita renungi . Renung dengan teliti dengan menggunakan mata hati yang suci.

KERJA TUHAN TAK SIAPA YANG TAHU, inilah kesimpulan terpenting yang dapat kita simpulkan apabila kita menghayati kisah Malcolm X . Apa tidaknya, Malcolm X asalnya seorang penjenayah yang dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan. Beliau adalah seorang pengedar dadah, penyeludup dan bapa ayam yang terkenal dengan gelaran Detroit Red. Lihatlah bagaimana Tuhan mengatur persitwa ini, maksud saya peristiwa Malcolm X ditangkap oleh polis dan kemudiannya dipenjarakan. Dipenjaralah hidayah datang menyapa dirinya. Di penjaralah dia diperkenalkan dengan islam yang dibawa oleh tokoh-tokoh Nation of Islam(NoI). Benar sekali, Allah adalah PENCIPTA dan PERANCANG YANG MAHA SEMPURNA.


(Malcolm X bersolat di sebuah masjid-Dari filem Malcolm X)

Dalam melayari hidup, kita tidak seharusnya sekadar memungut pengalaman, lebih penting dari itu kita hendaklah bersedia untuk mengutip pengajaran. Paling penting, biarlah pengajaran dari sesuatu peristiwa itu mampu menerbitkan pengajaran yang bermakna buat kita. Namun, harus diakui, sebagai manusia yang memiliki usia dan keupayaan yang terhad, kita juga memiliki pengalaman yang amat terbatas. Jadi, kita perlukan pengalaman pinjaman. Dalam hal ini, kita boleh meminjam pengalaman Malcolm X untuk mematangkan diri dalam mengenali makna hidup dan kehidupan.

Sejarah hidup Malcolm X mengajar kita, sesungguhnya HANYA DIA YANG TAHU CERITA KITA SAMPAI HABIS. Ya, hanya DIA, iaitu Allah. Sesungguhhnya dalam hidup ini kerap kali kita dihidangkan dengan realiti di luar duga. Kekadang permulaan yang baik, tapi pengakhiran pula tidak baik. Begitu juga sebaliknya, permulaan yang tidak baik, tapi pengakhirannya pula baik. Kadang-kadang hidup ini persis perlawanan bola sepak, separuh masa pertama teruk ketinggalan, tapi separuh masa kedua pula, mampu bangkit dan memenangi perlawanan. Walau apa jua situasi, penilaian ataupun hukuman yang diberi adalah berdasarkan titik noktah atau pengakhiran sesebuah kehidupan atau perjuangan. Titik noktah inilah yang menatijahkan penilaian, sama ada berbentuk pujian mahupun kejian.

Berbalik kepada kisah Malcolm X, siapa sangka seorang samseng jalanan yang kemudiannya menjadi penjenayah yang digeruni, akhirnya disapa hidayah Allah. SUDAH KEHENDAK- NYA, itulah ungkapan yang paling sesuai untuk orang yang menyakini kekuasaan Allah. Berbicara tentang Kembara rohani Malcolm X, kita perlu bahagikan kepada dua tahap atau peringkat. Pertama, setelah beliau memeluk islam hasil perkenalan dengan aktivis NoI. Pada peringkat ini, kefahamannya terhadap islam amat kabur dan dibayangi sentimen anti kulit putih. Ini disebabkan NoI yang di ketuai oleh Elijah Muhammad bukanlah memperjuangkan islam yang berpaksikan yang Al-Quran dan Sunnah, tetapi islam yang dicemari oleh sentimen perkauman yang menebal dan juga dipenuhi dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng dari ajaran islam yang sebenar. Malah, Elijah Muhammad sendiri secara terang-terangan mengaku dirinya sebagai Utusan Tuhan dan seorang penzina. Maaf, saya tidak tahu status NoI hari ini, adakah masih menyeleweng seperti dahulu. Untuk pengetahuan semua,Jermaine Jackson( abang kepada Michael Jackson) merupakan salah seorang ahli NoI. Malah, pemimpin-pemimpin NoI seperti Louis Farrakhan dan Leonard Muhammad, dikatakan mempunyai hubungan yang akrab dengan Michael Jackson semasa hayatnya.


(Jenazah Malcolm X)

Kembali kepada kisah Malcolm X, kembara rohani keduanya berlaku setelah beliau menunaikan fardhu Haji di Mekah. Di Mekah, beliau telah menemui ketulenan islam sebagaimana diajar oleh Rasulullah SAW. Di Mekah jualah sentimen perkaumannya mulai terhakis dan terkikis. Di Mekah jualah salah fahamnya tentang islam mulai lebur dan berkubur. Semuanya, gara-gara ukhwah islamiyah yang dipamerkan oleh para jemaah haji dari pelbagai bangsa dan negara. Di Mekah,beliau menyaksikan umat islam tanpa mengira warna kulit( termasuklah dari kalangan kulit hitam dan kulit putih) berhimpun bersama-sama untuk bertawaf dan makan setalam bersama-sama sebagai hamba Allah. Mekah mempamerkan persaudaraan islam yang melangkaui sempadan bangsa dan negara.

Perubahan pandangan dan perjuangannya ini dapat kita lihat menerusi kata-katanya “ Tidak pernah aku menyaksikan layanan mesra yang ikhlas dan semangat persaudaraan sebenar oleh orang-orang di sini (Mekah) yang berasal dari pelbagai warna dan bangsa. Ziarah haji ini telah memaksa aku menyusun semula pemikiran aku dan membuang jauh-jauh kesimpulan yang pernah aku simpulkan”. Dia benar-benar terhantuk di pintu sedar, lihat juga kata-katanya ini "Perjalanan haji telah membuka pemikiran saya dengan menganugerahkan pandangan baru selama dua pekan di tanah suci saya melihat hal yang tidak pernah saya lihat selama 39 tahun hidup di Amerika Syarikat. Saya melihat semua ras dan warna kulit bersaudara dan beribadah kepada satu Tuhan tanpa menyekutukannya. Benar pada masa lalu saya bersikap benci pada semua orang kulit putih namun saya tidak merasa bersalah dengan sikap itu lagi karena sekarang saya tahu bahawa ada orang kulit putih yang ikhlas dan mahu bersaudara dengan orang negro. Kebenaran Islam telah menunjukkan kepada saya bahwa kebencian membabi buta kepada semua orang putih adalah sikap yang salah seperti halnya jika sikap yang sama dilakukan orang kulit putih terhadap orang negro".

Setelah pulang dari menunaikan ibadat haji, Malcolm X telah memurnikan perjuangan dengan menubuhkan Muslim Mosque Inc(MMI) dan menentang keras ajaran NoI. Di samping itu, Malcolm X juga mula menukar nama kepada El-Hajj Malik El-Shabazz ( Sedikit info dari saya =Mungkin, kerana faktor inilah, sesetengah penulis mendakwa Malcolm X hanya memeluk islam setelah pulang dari menunaikan ibadat haji di Mekah, namun saya lebih cenderung dengan pandangan yang mengatakan, dia telah menganut islam sejak akrab dan mesra dengan kepimpinan NoI, cuma islam yang dia anuti ketika itu penuh kecelaruan dan kekeliruan lantaran ajaran NoI yang menyeleweng. Namun, yang paling penting ialah titik noktah sebagaimana saya nyatakan tadi). Tidak cukup dengan itu, Malcolm X juga telah menceritakan kesesatan Elijah Muhammad menerusi sepucuk surat kepada seorang sahabatnya di New York. Antara kandungan surat tersebut ialah “Selama 12 tahun aku hidup dalam batasan pemikiran yang sempit yang mengimani Elijah Muhammad sebagai seorang Utusan Dari Tuhan.”

Perubahan pandangan dan perjuangannya itu merupakan satu hijrah yang besar dalam hidup Malcolm X. Hijrah yang bermula dari Malcolm Litle kepada Malcolm X. Berhijrah lagi daripada Malcolm X kepada Malik El-Shabazz. Hijrahnya terakhir ini telah mengundang bahaya kepada diri dan kelurganya. Kemuncaknya, dia berhijrah buat selama-lamanya setelah mai ditembak oleh beberapa orang ahli-ahli NoI ketika ingin memulakan ucapannya di Audubon Ballroom, Manhattan.

INFO TAMBAHAN.
Babak Malcolm X menunaikan ibadat Haji ( tonton dengan mata hati yang suci), sedutan dari filem Malcolm X , lihat Video 1

Babak Malcolm X ditembak hingga mati, sedutan dari filem Malcolm X, lihat Video 2

Untuk melihat suasana sebenar sekitar pengebumian Malcolm X. lihat Video 3

Video 1




Video 2


Video 3

SUMBER

No comments:

Post a Comment