Sunday, May 29, 2011

Kalau ada 'fulus' apa pun boleh lulus.

Ramai juga yang tidak selesa dengan komen saya dalam banyak isu yang berkaitan dengan ‘intution’ saya yang tidak begitu sedap dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang. Kadangkala saya berfikir juga kenapa saya perlu sibuk untuk menulis tentang isu-isu itu kerana ianya hanya memungkinkan saya di rembat dengan hebatnya oleh pihak yang tidak gemar dengan pandangan saya.


Kadangkala ada juga penyesalan kerana saya terlibat mengambil tahu tentang politik ini. Walaupun tidak bergiat secara fisikal lagi benak saya tetap berfikir tentang politik ini.. Saya tetap juga memberikan pandangan secara terbuka kerana saya tidak pernah berusaha untuk menaiki tangga kejayaan politik dan saya tidak pernah menyesal dengan keadaan itu.


Oleh itu saya tetap dengan pendirian untuk bercakap dan menulis ketika ada ruang untuk berbuat demikian kerana saya tidak dapat mengelak dari melihat dan mendengar apa yang berlaku di sekeliling saya. Saya bukan seorang ‘social climber’ dan apa yang saya perkatakan itu adalah pemikiran yang sejati tanpa dikotori oleh kepentingan peribadi. Justru saya tidak ada perasaan gentar dan takut untuk memberikan buah fikiran dan pandangan saya secara terbuka. 

Mungkin apa yang saya perkatakan tidak keseluruhannya benar, tetapi terpulang kepada sesiapa yang terbaca untuk menilainya dan membuat komen yang berpatutan tanpa menggunakan bahasa yang kesat dan mengkritik saya secara peribadi. Saya mengalu-alukan jika pandangan serta komen yang di berikan itu hanya dalam ‘parameter’ isu dan tajuk yang saya perkatakan sahaja dan tidak menyimpang darinya.

Yang terbaik sekali komen itu biarlah menggunakan bahasa yang baik dan tidak menggunakan bahasa yang kotor kerana bahasa itu melambangkan bangsa. Menggunakan bahasa yang baik juga akan membawa maksud yang sama untuk menyatakan perbezaan dengan pandangan saya. Tetapi ianya memberikan perbezaan yang amat ketara untuk memberikan penilaian dan membezakan tahap budi dan keperibadian seseorang pengomen itu. 

Saya tidak segan dan silu untuk menzahirkan perasaan kurang keyakinan terhadap ‘jargon-jargon’ besar yang diwar-warkan kerana masa yang begitu lama terlibat dan bergiat secara kecilan dalam politik memberikan persepsi yang segala-galanya adalah retorik politik kosong yang akhirnya akan kita sama-sama melihat kegagalannya.

Bermula dengan retorik slogan bersih, cekap dan amanah dahulu. Akhirnya bersihnya berkurangan , cekapnya tiada dan jauh sekali beramanah. Zaman slogan ini lah pelacuran terhadap semua institusi demokrasi berleluasa dan di zaman ini jugalah korupsi dan sifat tidak amanah itu mula hidup subur. Akhirnya zaman slogan ini berkumandang inilah segala budaya negatif dalam politik dan kerajaan menjadi masalah kepada negara dan kita sekarang sedang berperang mulut di atas isu-isu ini.

Sejak dari saat itu semuanya telah hilang dari kawalan seolah-olah kereta dipandu hilang kawalan sehinggakan terjunam ke dalam gaung yang dalam dan tidak tahu bila boleh keluar dari kejatuhan yang begitu dalam itu.

Apabila seorang lagi pemimpin datang dia minta pula semua orang bekerja bersama beliau dan jangan bekerja untuk beliau. Akhirnya kerja pun tak ada untuk kita bekerja dengannya sampailah beliau meletakan jawatan.

Datang pula seorang pemimpin yang lain dengan slogan 1Malaysia. Entah mana letaknya 1Malaysia itu kita pun tak tahu. Satu Malaysia tak faham sehinggakan Dr Mahathir sendiri mengaku tidak faham. Slogan hanya tinggal slogan. Masih lagi sekolah Cina naik macam cendawan tumbuh. Setahu saya jika benar untuk menjayakan 1Malaysia ianya mesti bermula dari sekolah dengan hanya mengadakan satu jenis sekolah sahaja seperti di Indonesia dan Thailand misalnya. Saya tidak menerima slogan ini kerana saya bersetuju dengan adanya sekolah yang berbagai di dalam negara ini.

Lain yang dislogankan lain pula yang dibuatnya. Ini semua membuatkan orang tertanya-tanya, mana dia 1Malaysia itu. Maka ini satu slogan yang lain. Kita akan menyanyikan slogan yang berlainan mengikut siapa yang memimpin. Tidak ada dasar yang kekal untuk rakyat melaksanakannya. Dulu tidak ada slogan-slogan canggih tetapi tidak pula ada banyak masalah yang membebankan rakyat. Seingat saya hanya satu slogan yang amat berjaya di dalam sejarah negara, iaitu slogan Muhibbah. Tetapi slogan itu telah dibiarkan begitu sahaja kerana tidak secucuk dengan pimpinan Dr Mahathir itu.

Lepas pimpinan Najib ini tidak tahu slogan apa pula yang akan dinyanyikan media letronik kerajaan. Akhirnya kita kenyang dengan slogan. Dalam pada itu sahajalah rakyat dikelirukan semata-mata kerana hendak meletakan jenama kepada kepimpinan yang memimpin waktu itu. Sekarang kita boleh mengagak mana pemimpin yang akan berjaya atau mana pemimpin yang akan gagal semasa awal-awal pemerintahannya. Jika pemimpin itu bermula dengan slogan yang canggih-canggih, kita boleh membuat penialaian awal yang 'conclusive'. Pemimpin itu akan gagal dan dia akan terus-terusan beretorik kosong.

Slogan-slogan sekarang ini ibarat lagu pop yang hanya popular sementara sahaja. 1Malaysia kata orang 1Malaysia kata kita. Hasilnya entah di mana. Yang sesuai dengan kehendak negara masih lagi slogan Muhibbah sebenarnya. Slogan ini amat penting kerana rakyat tidak lagi hidup dalam muhibbah samada intra kaum mahu pun inter kaum.

Dalam perpecahan rakyat yang mendapat keuntungan dan labanya ialah pemimpin yang lemah yang disaluti dengan imej rasuah dan imej-imej yang tidak keruan. Ramai orang yang menyampah kerana saya tidak berhenti bercakap tentang rasuah. Mereka kata mereka sudah jemu dengan isu itu.

Kepada mereka yang memberikan pendapat itu, saya ada jawapannya. Perasaan jemu saudara itu merupakan perasaan yang ‘mutual’ dengan perasaan saya sendiri. Mereka jemu kerana saya tidak berhenti menulis tentang isu rasuah, saya pula jemu kerana ramai pemimpin yang tidak berhenti melakukan rasuah itu.

Isu yang terkini, iaitu isu tanah lapangan terbang tentera udara Sg Besi merupakan satu lagi yang akan menimbulkan kemarahan rakyat ramai. Semua orang tahu apa yang sedang berlaku di dalam kes ini dan siapa yang mendapat laba besar dengan pemindahan lapangan terbang ini ke Sendayan Negri Sembilan. Segala khabar angin tentangnya dahulu sudah menjadi kenyataan.

Satu lagi khabar angin yang akan menjadi kenyataan ialah tentang harga tanah yang bakal dibayar oleh 1Malaysia Development kepada kerajaan. Blog ini tidak payah bersusah payah memberitahu apa-apa lagi. Semuanya akan terbongkar dan menjadi pengetahuan umum.

Apa pula alasan yang akan diberikan oleh penyokong membuta tuli terhadap pimpinan yang hangat dipersoalkan rakyat ini. Yang rakyat persoalkan ialah moral yang menyelubungi projek pembangunan yang akan dilakukan oleh 1Malaysia Development ini.

Kita diminta menyokong segala kerja yang tidak mempunyai moral ini. Kita tidak faham kenapa ada setengah orang yang tidak boleh nampak tanah rakyat yang kosong. Apabila nampak sahaja tanah kosong mereka akan menjadi seperti anjing nampak tulang..air liornya melelih tidak dapat dikawal.

Nasib baik mereka ini tidak jadi pemimpin Saudi Arabia. Kalau mereka menjadi pemimpin Saudi Arabia tidak terkejut kalau Ka’abah pun dialihnya. Kerana apa? Kerana ‘fulus’. Ada ‘fulus’ semua boleh lulus.

Terima Kasih.


No comments:

Post a Comment