Wednesday, May 25, 2011

BONGKAR: Keterlanjuran Pegawai SPRM Cungkil Keraguan Dalam Kes Kematian Sarbani


Kematian Ahmad Sarbani: "Keterlanjuran" pegawai penyiasat cungkil keraguan


"Keterlanjuran" seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mencungkil keraguan balu kepada Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, yang pada asalnya telah "redha" dengan kematian suaminya. Maziah Manap, terkejut dengan kenyataan "Bukan saya...Orang saya" dari bibir seorang pegawai penyiasat SPRM bernama Ghani, dalam satu perjumpaan pada 28 April 2011.

Maziah Manap membuat repot polis pada 2 Mei 2011 di Balai Polis Kelana Jaya, mengesyaki bahawa Ghani telah "terlepas cakap", semasa perjumpaan di pejabat Kastam dengan mendedahkan siapa yang bertanggungjawab di dalam kes kematian suaminya. Maziah berharap agar polis akan menyiasat maklumat tersebut.

Dalam perjumpaan pada 28 April, Maziah telah meluahkan perasaannya kepada pegawai penyiasat, termasuk Ghani. Di akhir luahannya, Maziah menyatakan bahawa dirinya redha dengan kematian suaminya, seterusnya bertanya soalan, "Apakah Encik Ghani akan buat sekiranya Encik Ghani berada di tempat saya?"

Apa yang mengejutkan Maziah adalah "jawapan yang perlahan daripada Ghani, yang menyatakan "BUKAN SAYA... ORANG SAYA". Maziah menyusul dengan pertanyaan "ORANG?", namun Ghani terus mendiamkan diri dan Jariyana bt Yusof terus mengajak Ghani keluar kerana ada operasi.

Demikianlah repot polis yang dibuat oleh Maziah pada 2 Mei 2011, didedahkan oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang dalam satu ceramah di Tualang Seka pada malam 20 Mei 2011.

Serah dokumen peribadi

Menurut repot polis tersebut, sepasukan anggota SPRM telah datang ke pejabat Maziah Manap di Shah Alam pada 27 April 2011. Bagaimanapun, Maziah tidak berada di pejabat ketika itu, dan anggota keselamatan syarikat itu diberitahu bahawa tujuan lawatan SPRM adalah untuk menyerah dokumen peribadi Allahyarham Ahmad Sarbani kepadanya.

Temujanji diaturkan pada 28 April, setelah Maziah menghubungi Tuan Hj Sarip, Penolong Kanan Pegawai Kastam di bahagian pengurusan. Pada 10.30 pagi 28 April, Maziah bersama dua orang anaknya Sabtiyah dan Syahirah sampai di pejabat Kastam Subang Jln LTS ASS Subang. 11 dokumen diserahkan oleh Jariyana bt Yusof dari SPRM, sambil disaksikan oleh Sarip, dan pegawai penyiasat kes suaminya, Ghani. Maziah pula ditemani dua orang anaknya dalam bilik di mana dokumen diserahkan.

Kejadian "terlepas cakap" berlaku selepas penyerahan dokumen, menurut repot polis. Malah, seorang lelaki Melayu yang memperkenalkan diri sebagai "Ghani dari SPRM" menelefon anak Maziah pada 29 April, untuk meminta nombor telefon Maziah.

Kejadian ini telah mencungkil keraguan Maziah Manap tentang punca kematian suaminya, Ahmad Sarbani. Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani, 56, dijumpai mati di gelanggang badminton selepas jatuh daripada tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April 2011.

Sarbani antara 62 pegawai kastam yang ditahan dalam "Operasi 3b" yang dijalankan SPRM pada 1 April lalu di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, penggubahan wang haram dan beberapa kesalahan lain. Kematian Ahmad Sarbani adalah kes kematian kedua dalam tahanan SPRM, selepas kes Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2009. 73 pertubuhan sivil mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes kematian ini.

Bagaimanapun, pada 21 April, Ketua Polis Kuala Lumpur Zulkifli Abdullah berkata penelitian penuh yang dijalankan beberapa pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan jabatan kimia merumuskan bahawa punca kematian Ahmad Sarbani adalah kerana kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dari tempat tinggi.

Zuklifli Abdullah menambah, laporan kematian mengejut (Sudden Death Report) Ahmad Sarbani akan dihantar kepada Peguam Negara dalam masa satu minggu. Dengan kata lain, laporan tersebut telah dihantar sebelum Maziah membuat laporan polis pada 2 Mei 2011.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Ghazali Ramli, iaitu peguam Maziah Manap berkata polis pernah menghubungi Maziah untuk mengambil keterangan. Namun demikian, sebagaimana yang diketahuinya, polis tidak berbuat demikian setakat ini.

"Laporan media seolah-olah suami saya kaki rasuah"

MerdekaReview juga menghubungi Maziah Manap, dan beliau meluahkan perasaannya bahawa laporan media arus perdana tidak adil untuk dirinya. Misalnya, media melaporkan bahawa dirinya memiliki empat buah kereta, tanpa menyatakan apa jenis kereta itu. "Saya pandu (kereta) kancil salah ke?" tanya Maziah Manap, yang bekerja sebagai seorang supervisor.

Jelas, Maziah kelihatan agak berhati-hati dengan media, sepanjang temuramah dijalankan. Beliau akan merenung sebelum berkata sesuatu kepada wartawan.

"Reaksi masyarakat terbahagi kepada dua, yang kenal I,percaya I, sebab mereka tahu cara hidup saya. Yang tak kenal I, kutuk I. Laporan media itu seolah-olah suami saya kaki rasuah. Saya pasti suami saya tidak makan rasuah dan tidak membunuh diri," kata Maziah Manap.

Pada 12 April, peguam Maziah Manap, Ghazali Ramli mengisytiharkan harta Ahmad Sarbani secara terperinci, iaitu tiga buah kereta (Kancil, Honda CRV second hand, Proton Persona); sebuah motorsikal Modenas Kriss; satu unit apartment di Klang bernilai RM65,872; satu unit apartment di Puncak Alam bernilai RM68,988; satu unit rumah semi-D di Saujana Impian, Sungai Buluh bernilai RM230,000 (dibeli dengan pinjaman kerajaan dan wang simpanan KWSP isterinya), dan simpanan Amanah Saham Bumiputera yang bernilai RM35,000. -MerdekaReview

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. 
Ambil tindakan ke atas penyiasat SPRM


SURAT FMT


Suaram menggesa pihak polis mengambil tindakan dan penyiasatan segera dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernama Ghani yang berbunyi “Bukan saya…Orang saya” dalam satu perjumpaan dengan keluarga allayarham Ahmad Sarbani pada April 28,2011 lalu.


Maziah Manap, isteri Allayarham Ahmad Sarbani telah melakukan perjumpaan dengan pegawai penyiasat SPRM, Ghani pada April 18, 2011 di Pejabat Kastam Subang Jaya sewaktu dalam proses menyerahkan 11 dokumen peribadi Allayarham kepada SPRM.


Dimaklumkan bahawa pegawai tersebut telah terlepas cakap tentang penglibatan orang lain dari kalangan SPRM (orang saya) dalam kes melibatkan kematian Allayarham Ahmad Sarbani.


Hal ini menimbulkan keraguan mengenai punca sebenar kematian Ahmad Sarbani di Bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada April 6, 2011, lalu. Sebagai sebuah badan hak asasi manusia, Suaram memandang serius terhadap kes kematian tersebut yang berlaku di bangunan pihak SPRM. Sehubungan itu, kami juga ingin menekankan di sini tentang perkembangan siasatan kes tersebut?



Pihak polis telah bertindak tegas dalam siasatan kes video seks membabitkan pemimpin politik dan kes kematian Sosilawati. Justeru, kami juga menuntut pihak polis untuk bertindak tegas dan menyiasat kes kematian Allayarham Ahmad Sarbani. Ini penting bagi keluarga Allayarham yang sehinga hari ini mencari-cari punca sebanar kematian Allayarham dan keadilan untuk keluarga.



Polis perlu mengembalikan reputasi dan kredibilitinya memandangkan 59 kes aduan awam terhadap penyalahgunaan kuasa oleh SPRM belum diselesaikan sehingga kini.



Kami menuntut kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menjalankan siasatan kes kematian Allayarham Ahmad Sarbani dan separuh daripada jumlah ahli suruhanjaya perlu dipilih oleh masyarakat sivil. Penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) perlu disegerakan untuk menghentikan segala kes penyalahgunaan kuasa dalam anggota polis dan juga badan-badan penguatkuasa. -Yap Heng Lung



Penulis adalah penyelaras Suaram
GB 

No comments:

Post a Comment