Sunday, May 22, 2011

Tidak Daftar Diri Sebagai Pengundi Disifatkan Melakukan “Dosa Politik”

GEORGE TOWN, 22 Mei – Ketua pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan pemimpin pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara supaya menggiatkan jentera pendaftaran pemilih di kalangan anggota parti ekoran masih terdapat kira-kira 120,000 anggotanya yang tidak berdaftar sebagai pemilih.
Katanya anggota parti yang tidak berdaftar sebagai pemilih adalah dianggap sebagai melakukan satu “dosa politik” dan gerakan untuk mendaftar mereka sebagai pemilih harus menjadi fokus utama sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata jika anggota parti itu dengan sengaja enggan mendaftar sebagai pemilih, maka satu tindakan susulan haruslah diambil kerana ia membawa kerugian kepada parti.
“Kami belum cadangkan sebarang bentuk hukuman atau tindakan disiplin terhadap mereka yang tidak berdaftar sebagai pengundi, namun hakikatnya ialah mereka yang belum mendaftar ini merupakan satu kerugian yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan serentak pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Tanjong di sini hari ini.
Jelas beliau setakat ini pergerakan Pemuda UMNO mempunyai 600,000 anggota dan 120,000 didapati tidak mendaftar sebagai pemilih.
Menurutnya setakat ini Pemuda UMNO negeri Perak berjaya mengurangkan sebanyak 50 peratus daripada jumlah mereka yang tidak berdaftar sebagai pemilih.
Beliau berkata semua anggota parti haruslah meletakkan kepentingan parti melebihi daripada kepentingan diri atau puak dalam parti kerana tidak ada maknanya seseorang itu berebut untuk memegang jawatan sebagai pemimpin dalam  parti sekiranya parti itu kalah dalam pilihan raya.- UMNO Online

No comments:

Post a Comment