Saturday, April 16, 2011

Solat Sunat Dhuha: Dekatkan Rezeki, Jauhkan Kepapaan

Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas” (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : "Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Hadis-hadis diatas jelas menunjukkan tentang kelebihan solat sunat dhuha dan betapa besar ganjarannya apabila kita menunaikan solat sunat dhuha dan sentiasa beristiqamah dengan solat sunat ini. Tambahan pula Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaan mengenai solat sunat ini, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktu solat Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan iaitu dilewatkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat, lapan rakaat dan dua belas rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu.

Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud : ”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Lafaz niat : 
"Usolli Sunnatal Dhuhaa Rak'ataini Lilaahi Ta'ala, Allahu Akhbar "  Sahaja aku solat sunat duha dua rakaat kerana Allah Ta'ala"

Selepas membaca Al- Fatihah pada rakaat pertama digalakkan membaca surah As-Syams. Manakala Pada rakaat kedua selepas Al-Fatihah digalakkan juga membaca surah Ad-Duha. Semasa sujud akhir bacalah surah Ad-Duha 1 kali. Selepas memberi salam digalakkan membaca Doa Nabi Besar Kesayangan Kita s.a.w ini



"Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan ituperlindunganmu ".

" Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah,jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh ."

Jom sahabat2 kita lakukan solat sunat ini dengan penuh keazaman dan istiqamah. Semua orang boleh cakap untuk berazam kan? Semua orang boleh cakap istiqamah kan? Senarailah sebanyak mana sekalipun azam kita. Satu hakikat yang pasti, semuanya bergantung kepada kekuatan diri kita untuk terus istiqamah dan berazam dalam melaksanakan sesuatu perkara. 

Mana mungkin kita dapat ganjaran yang ditawarkan oleh ALLAH tanpa usaha,azam dan istiqamah?Orang yang beristiqamah bermaksud seorang yang gigih tekun dan komited dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan sehingga tercapai matlamatnya. 

Dalam konteks kehidupan sekarang, apapun yang kita lakukan ia menuntut kita agar beristiqamah untuk terus berjaya. Oleh itu haruslah kita aplikasikan konsep istiqamah ini dalam mengerjakan solat sunat dhuha agar kita mendapat ganjaran dan kelebihan yang ditawarkan oleh ALLAH SWT. Amin



Sumber 

No comments:

Post a Comment