Saturday, April 16, 2011

'Saya tiada akaun Facebook'

Rosmah dedah penipuan pihak tertentu salah guna nama 
KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan beberapa akaun Facebook menggunakan namanya kerana beliau tidak pernah mendaftar di laman sosial berkenaan.



Malah, apa yang mengejutkannya, selepas diselidiki, akaun yang digambarkan seolah-olah dikendalikannya dan memaparkan laporan berserta gambarnya ketika menghadiri majlis rasmi yang dipercayai didaftarkan individu atau pihak di luar negara.
“Saya terkejut kerana sebelum ini, Datuk Seri S Samy Vellu memberitahu bahawa beliau sudah menjadi rakan saya di Facebook. 

“Sudah pasti saya hairan, bagaimana itu boleh berlaku sedangkan saya tidak pernah mendaftar pun di situ. Justeru, anda semua harus berhati-hati dan tidak tertipu. 

“Saya tidak akan berbuat begitu (mendaftar dan berkomunikasi menerusi Facebook)...saya sentiasa bertemu dan berinteraksi terus dengan rakyat, bukannya di Facebook,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pameran Smart Kids 2011 anjuran bersama Expomal International Sdn Bhd dan Mutiara Sigma (M) Sdn Bhd, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. Hadir sama, Pengerusi Expomal, Tan Sri Mustafa Mansur. 
Pada majlis sama, Rosmah turut menyampaikan anugerah Young Malaysian Outstanding Achievement 2011. 

Selain itu, Rosmah turut mengingatkan ibu bapa memantau aktiviti anak-anak mereka di internet bagi memastikan mereka memperoleh manfaat dan bukannya terpengaruh dengan gejala negatif dalam talian berkenaan. 

“Teknologi internet boleh menjadi alat pendidikan yang menguntungkan namun pada masa yang sama mampu memusnah, membahayakan atau mengancam kesejahteraan emosi serta fizikal anak-anak. 

“Sebagai ibu bapa kepada warga digital ini, kita harus membenarkan anak kita membabitkan diri dalam dunia siber dengan pencegahan tertentu. Saya amat percaya, perlindungan terbaik bagi aktiviti dalam talian anak adalah ibu bapa dan juga penjaga,” katanya. 

Rosmah berkata, bagi menjadi ‘guru siber’ yang efektif kepada anak-anak, ibu bapa perlu mahir dengan internet terlebih dulu bagi memahami bagaimana dunia siber berfungsi. - BHarian

No comments:

Post a Comment