Saturday, April 9, 2011

pontianak sundal

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


DrMAZA.comNegara kita dikejutkan dengan kes kematian ‘jatuh bangunan’ Ahmad Sarbani, Penolong Pengarah Kastam Selangor. Beliau merupakan saksi bagi kes penyelewengan dalam Kastam. Di mana baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan penyelewengan Kastam bernilai 108 billion. Satu jumlah wang rakyat yang begitu banyak. Jika wang itu diperuntukkan untuk subsidi atau pembangunan secara adil, tentu keseluruhan rakyat dapat menikmati.

Peliknya lagi beliau mati kerana jatuh dari bangunan SPRM. Lebih aneh, sebelum ini Beng Hock yang cuba mendedahkan bukti rasuah juga mengalami nasib yang sama. Apakah kerana bangunan itu terlalu licin, atau tiada penghadang? Jika begitu bagaimana ia boleh diluluskan? Atau, ada hantu ‘tolak orang’ dari bangunan spesis ‘pontianak sundal rasuah’.
Peliknya, entah berapa ribu bangunan lain yang puluhan tingkat dalam negara ini, tidak pula sering kita dengar orang tergelincir. Mengapa asyik tergelincir di bangunan SPRM sahaja? Tambahan lagi yang tergelincir itu ada pula kaitan dengan saksi kes-kes penyelewengan dan rasuah yang besar-besar. Apakah ada Mafia atau al Capone yang sedang beroperasi dalam negara kita? Persoalan-persoalan ini memeningkan rakyat. Maka bisikan timbul di sana-sini. ketidakpuasan hati kedengaran secara terang dan nyata. Di kedai kopi ataupun di facebook. Bak kata Hajjaj yang zalim:
“Fitnah (kekacauan) itu dicetuskan dengan bisikan, ia dihasilkan dengan aduan” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201)
sprm.jpg
Bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur 
Zalimi Orang Lain
Perbuatan seperti zina, minum arak, berjudi dan yang sewaktu dengannya memang besar dosanya. Ia adalah dosa antara hamba dengan Allah. Hamba itu menzalimi dirinya sendiri. Ia juga perlu dibenteras. Namun, dosa membunuh, rasuah, mencuri harta rakyat, menyeleweng harta negara adalah dosa yang jauh lebih besar kerana membabitkan kezaliman atau penganiayaan terhadap hamba-hamba Allah yang lain. Merosakkan imbangan dan keharmonian masyarakat secara menyeluruh. Dosa yang seperti ini patut dipandang lebih serius.
Biasanya, maksiat peribadi memusnah pelakunya sahaja, tetapi kezaliman akan memusnah dan merosakkan semua termasuk mereka yang tidak bersalah. Ia akan mengenai anggota masyakat; yang baik ataupun yang jahat, mukmin ataupun kafir. Allah dengan itu memberi amaran: (maksudnya):
“Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25). Dalam menafsirkan ayat ini Ibn ‘Abbas berkata: “Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku dalam kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya”.( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam).
Musnah Masyarakat
Ketidak sungguhan sesuatu masyarakat untuk menentang kefasadan dan kezaliman yang berlaku akan menyebabkan masyarakat itu dipinggirkan dari rahmat Allah lantas tercetuslah ketidak tenteraman dalam kehidupan. Justeru itu dilaknat kaum yang tidak menghalang pencerobohan hak dan mencegah kemungkaran. Firman Allah (maksudnya):
“Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah: 78-79).
Apabila kezaliman melata di setiap penjuru, ia bagai kandungan yang menunggu saat untuk pecah. Jika ia tidak dikawal, kemusnahan seperti yang berlaku dalam Dunia Arab hari ini akan terjadi. Si zalim mendapat musibah, rakyat turut mendapat susah. Persis kata Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a:
“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201).
Muawiyah bin Abi Sufyan r.a juga memberikan nasihat yang berfaedah kepada gabenornya:
“Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang” ((Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).
Ya, insan sekali mana pun baik, tidak mungkin dapat terus bersabar ditindas dan dizalimi. Sementara orang jahat yang kekenyangan hasil dari kelincahan mereka, akan meluaskan kezaliman dan kefasadan yang pelbagai. Ketika itu, yang baik akan memberontak, sementara yang jahat akan merosak.
Keadilan Untuk Semua
Walaupun seseorang itu mungkin tidak baik dari segi agamanya, namun ia bukan lesen untuk membolehkan dia dizalimi. Perbezaan agama, atau kumpulan atau amalan, tidak membolehkan masyarakat menindasnya dalam perkara yang dia tidak bersalah. Sebab itu Nabi s.a.w mengingatkan:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (Riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah).
Dalam riwayat Ahmad juga, Nabi s.a.w bersabda:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (Dinilai hasan oleh al-Albani dalam al-Sahihah).
Pemerintah dan Rakyat
Menghapuskan kezaliman adalah tugasan penting sesebuah pemerintahan. Menegakkan keadilan adalah tanggungjawab utama pemimpin. Inilah yang termaktub dalam pelbagai nas al-Quran dan al-Sunnah. Nabi s.a.w mengingatkan para pemerintah tentang hal ini, sabda baginda:
“Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Sementara rakyat wajib menyokong segala usaha pemerintah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman. Begitu juga sebaliknya, pemerintah membantu rakyat menghapuskan kezaliman. Jika berlaku keadaan yang terbalik, sama ada di pihak rakyat ataupun pemerintah, maka tindakan anti-zalim mesti dilakukan sekalipun terpaksa bertembung. Ertinya, jika rakyat berlaku zalim, pemerintah wajib menegakkan keadilan dan menghapus kezaliman tersebut. Begitu juga jika pemerintah berlaku zalim, rakyat wajib menentang kezaliman dan meminta agar ditegakkan keadilan dan hak.
Maka, Nabi s.a.w telah mengingatkan:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. (Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi, dinilai oleh al-Albani)
Slogan inilah yang diterapkan oleh Saidina Abu Bakr al-Siddiq kepada rakyatnya ketika dilantik menjadi khalifah. Dalam ucapan dasarnya, dia menyebut:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Kita mesti hidup sebagai sebuah masyarakat yang anti-zalim. Berganding bahu setiap pihak dalam negara ini untuk menegakkan tanggungjawab yang besar ini.

No comments:

Post a Comment