Saturday, April 30, 2011

Badrul Hisham didapati tidak bersalah hina DUN

NONEJawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini mendapati ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah tidak bersalah atas dakwaan menghina dewan itu. 


Jawatankuasa itu bagaimanapun mendapati peguam kepada Badrul Hisham, Datuk Mohd Hafarizam Harun bersalah kerana gagal menghadiri pendengaran jawatankuasa hari ini meskipun diberikan notis sebelum ini dan memerintahkan beliau membayar denda RM20,000.


NONE
Pengerusi jawatankuasa tiga anggota yang dipengerusikan ADUN Kota Alam Shah M Manoharan memutuskan keputusan terhadap Mohd Hafarizam dipanjangkan kepada DUN Selangor untuk pertimbangan selanjutnya. 

Manoharan juga berkata panel itu sebulat suara mendapati Badrul Hisham tidak bersalah setelah berpuas hati dengan penjelasan diberikan Badrul Hisham. 

"Selepas mendengar penjelasan YB Badrul dan seorang saksi terlibat, maka jawatankuasa mendapati beliau tidak bersalah dan bersetuju melepas dan membebaskannya daripada saman yang diterimanya untuk menghadiri pendengaran jawatankuasa hari ini," katanya kepada pemberita selepas selesai mesyuarat jawantankuasa itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam. 

Dua lagi anggota panel JKHK ialah Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan ADUN Bangi Dr Shafie Abu Bakar. 

Pada 1 April lepas, Badrul Hisham dan Mohd Hafarizam dirujuk ke JKHK atas tuduhan, mereka secara berasingan atau bersama, melakukan kesalahan menghina Dewan dengan menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac lepas kepada Speaker Dewan Datuk Teng Chang Khim yang didakwa mengandungi bahasa yang amat tidak 'senonoh, biadap dan mengugut'. 

Surat itu ada kaitan dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof pada 18 Februari lepas yang memerintahkan Teng untuk menjelaskan kos sebanyak RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham kosong. 

Teng mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Januari lalu dengan alasan Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah. 

Mohd Hafarizam juga berkata pada 21 April lepas, firma guamannya telah menerima bayaran kos sebanyak RM40,000 seperti yang diperintahkan oleh mahkamah daripada Tetuan Tommy Thomas. 

Ditanya sama ada pendengaran JKHK hari ini sah memandangkan Mohd Hafarizam telah mendapat injunksi dari Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini untuk menghalang pendengaran berkenaan diadakan, Manoharan berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara itu selepas selesai pendengaran itu. 

Sementara itu, Teng yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu mendakwa Mohd Hafarizam tidak memberitahu pihaknya sebelum ini bahawa beliau akan memohon satu perintah injunksi bagi menghalang JKHK mengadakan pendengarannya. 

Katanya, beliau akan berbincang bersama peguamnya sebelum mengambil tindakan selanjutnya mengenai perkara itu. 


No comments:

Post a Comment