Saturday, August 13, 2016

Gempar!! Daging babi ada 'logo halal'

Paparan skrin rakaman berita yang disebarkan.

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan pihak berkuasa Korea Selatan telah mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat yang bertanggungjawab meletakkan label halal pada daging babi keluarannya.

Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal Jakim berkata, pihak Jakim telah mendapatkan penjelasan daripada rakan strategik di Korea susulan ia menjadi viral baru-baru ini.

“Berikutan rakaman berita berkaitan produk daging babi yang ditandakan sebagai halal di Korea menjadi viral, Jakim melalui Bahagian Hab Halal telah bertindak mendapatkan penjelasan mengenainya daripada rakan strategik Jakim di Korea,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini,

Rakaman berita yang telah diletakkan sari kata bahasa Indonesia dari sebuah stesen TV di Korea yang tersebar menyebut pengusaha daging mentah ditahan selepas menggunakan logo halal palsu pada daging keluarannya.

Melalui rakaman itu, pihak terbabit mendakwa tidak tahu tindakannya mencampurkan daging lembu halal dengan daging babi ketika memproses merupakan satu kesalahan.

Mengulas lanjut, Jakim berkata pihaknya diberitahu perkara itu berlaku susulan daripada sikap rakus pihak industri yang tidak memahami konsep halal.

“Untuk makluman pengguna, berdasarkan penelitian atau pemantauan pihak berautoriti di Korea, kejadian ini berpunca daripada sikap rakus pihak industri yang tidak memahami konsep halal dan beranggapan bahawa label halal adalah tanda perniagaan yang boleh membantu memasarkan produk mereka.

“Ekoran daripada kejadian itu, tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa Korea di atas sikap tidak bertanggungjawab syarikat terbabit dalam penyalahgunaan tanda halal tersebut,” katanya.
-sinarharian

Jalan menuju Westport ibarat 'laluan maut'

Laluan masuk ke Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang sememangnya menjadi satu kemudahan kepada pekerja pelabuhan untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari, namun laluan itu kini digelar 'laluan maut' berikutan banyak kes kemalangan dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

Rata-rata kesatuan sekerja mewakili pekerja pelabuhan dan pemandu kontena berpendapat jalan masuk sepanjang 18 kilometer ke pelabuhan yang mengendalikan pelbagai jenis kargo itu berada dalam keadaan daif dan kerap berlaku kemalangan, menyebabkan para pekerja pelabuhan sering bimbang untuk ke tempat kerja.

Setiausaha Persatuan Pemandu-Pemandu Kontena Selangor, Amat Safii Karian berkata pihaknya sudah lama mencadangkan kepada pihak berkuasa seperti kerajaan negeri Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina lorong khas bagi kegunaan penunggang motosikal di sepanjang laluan masuk ke Pelabuhan Barat, namun dakwanya tidak diendahkan sehingga ke hari ini.

"Kami juga berpendapat jalan menuju Westport ini perlu dilebarkan daripada dua lorong kepada empat lorong di kedua-dua hala bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing terutama pada waktu puncak.

"Jalan menuju Westport ini terlalu sempit sehingga lorong motosikal tiada dan kami pemandu kontena kadang-kala tidak dapat mengelak penunggang motosikal di hadapan kami yang seterusnya boleh mengundang risiko kepada keselamatan mereka," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di sini, baru-baru ini.

"Kami dalam persatuan sangat kesal sebab Westport ini pintu dunia untuk perniagaan Malaysia tetapi prasarana jalan tidak baik," katanya dan menambah pihaknya mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berhubung jalan berkenaan pada Oktober 2015 dan April tahun ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Industri Pemakanan, Matkar Siwang berkata kapasiti laluan masuk ke Pelabuhan Barat tidak boleh lagi menampung jumlah kenderaan yang banyak dan ia perlu dilebarkan disebabkan laluan itu kini menjadi tumpuan pekerja Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan Selangor Halal Hub, Pulau Indah.

Katanya, pihaknya telah pun mengutus surat kepada jurutera daerah mengenai kualiti jalan yang kurang baik dan untuk mempercepatkan pembinaan lorong motosikal di sepanjang laluan itu.

"Ini perlu memandangkan kebanyakan pekerja kami yang bernaung di bawah kesatuan ini menunggang motosikal ke tempat kerja yang kebanyakannya bekerja di syarikat multinasional dekat Selangor Halal Hub dan satu lorong motosikal perlu dibina untuk keselamatan mereka," katanya.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Westport, Mohd Jani Kamis pula berkata kemudahan infrastruktur seperti lampu jalan di sepanjang jalan itu perlu dinaik taraf kerana laluan itu kerap digunakan oleh pelancong dari dalam dan luar negara yang hendak menuju ke Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.

"Kadang-kala pekerja kami takut untuk menggunakan laluan Westport sebab keadaan gelap yang boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa samun," katanya.

Katanya, pada tahun lepas sahaja, dua pengawal keselamatan yang bekerja di kawasan Westport yang menunggang motosikal ke tempat kerja maut berhampiran laluan masuk ke Pelabuhan Barat berikutan kualiti jalan yang tidak diselenggara dengan baik.

Presiden Kesatuan Kakitangan Northport (M) Bhd, Mohd Zaidi Sanusi pula berkata sebuah tempat hentian kecemasan untuk membaiki lori yang rosak perlu dibina di laluan masuk ke Pelabuhan Barat di samping mempercepatkan pembinaan lorong khas bagi kegunaan penunggang motosikal.

Katanya, ini perlu disebabkan ramai pekerja yang bernaung di bawah kesatuan, bekerja mengikut giliran syif dan kerap menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerja dari rumah mereka di Pulau Indah.

Dalam pada itu, Setiausaha Kesatuan Pekerja-pekerja Pembekal Perkhidmatan Sampingan Pelabuhan (UNEPASS), A. Balasubramaniam berkata laluan masuk ke Pelabuhan Barat perlu dinaik taraf memandangkan industri pelabuhan juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kepada negeri Selangor.

Beliau berkata infrastruktur yang berada di dalam dan di luar Pelabuhan Barat perlu dibangunkan seiring dengan pembangunan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan kontena ke-12 terbesar di dunia dan keadaan jalan yang buruk ini boleh menjejaskan reputasi pelabuhan dan negara.

Sementara itu, LPK dalam satu kenyataan menjelaskan laluan masuk ke Pelabuhan Barat iaitu Lebuhraya Pulau Indah (FT 181) adalah di bawah kawal selia Kementerian Kerja Raya dan JKR adalah agensi pelaksana dan pemantau.

"Kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan pembinaan jalan baharu adalah di bawah tanggungjawab kementerian dan JKR," kata kenyataan itu.

- Bernama

Fitnah: PAS akan saman Sarawak Report

KUALA LUMPUR: PAS mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas laporan yang dikeluarkan oleh portal Sarawak Report yang mempunyai niat jahat dan mencemarkan nama baik parti dan dasar Islam yang menjadi teras kepada tunjang perjuangan PAS.

Pengumuman tersebut dibuat pada hari ini oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada sesi sidang media selepas mensyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang bertempat di Pejabat Agong PAS.

"Kita akan membuat keputusan untuk membawa kes ini ke mahkamah di England kerana difahamkan media ini adalah berpusat di England," kata Presiden PAS.

Perkembangan tindakan tersebut akan diumumkan dari semasa ke semasa dan dijangkakan ia akan difailkan dalam jangkamasa terdekat ini.

PAS akan guna khidmat Peguam Diraja di London

NUR HASMIRA MOHAMAD | 13 Ogos 2016.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agong PAS,  Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media Pengumuman Pengisytiharan Nama, Pendekatan dan Teras Perjuangan pada hari ini berkata PAS telah mengenalpasti badan Queen's Counsel (Q.C) atau lebih dikenali sebagai Peguam Diraja di London untuk membantu membawa kes laporan Sarawak Report ke mahkamah di England.

"Kita telah mengenal pasti Queen's Counsel (Q.C) iaitu Peguam Diraja di London yang pernah ada hubungan dengan kita (PAS) berhubung kes-kes sebelum ini dan kita jangka dalam waktu terdekat kita akan kaji dan failkan kes ini ke mahkamah, waktu terdekat itu ialah dalam tempoh satu bulan," kata beliau.

Q.C yang dimaksudkan adalah badan terkanan dari England yang suatu masa dulu pernah membantu PAS menyelesaikan kes berhubung dakwaan mengenai Tuan Guru Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang adalah seorang pengganas.

"Ya, badan tersebut adalah orang Britain kerana pusat media Sarawak Report adalah di England, jadi kita memerlukan khidmat dan bantuan mereka," kata Takiyuddin.

Dalam satu kenyataan lain Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad mengesahkan berita tersebut.

"Alhamdulillah. Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memaklumkan di dalam Mesyuarat PAS Pusat bersetuju untuk saman Sarawak Report. Insya-Allah, Tuan Guru akan berhubung dengan peguam di UK yang membantu kes saman TGHH satu ketika dahulu. Jangan lupa kita terus berdoa agar Allah menunjukkan kebenaran dan membalas kerja buat Sarawak Report dan sekutunya," kata Idris. –HARAKAHDAILY 13/8/2016


KENYATAAN AKHBAR :  PENGISYTIHARAN NAMA, PENDEKATAN DAN TERAS PERJUANGAN

Jawatankuasa Bersama antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) telah bersidang pada 2 Ogos 2016, di Pejabat Agung PAS telah dengan sebulat suara bersetuju bagi perkara-perkara berikut:

NAMA: Nama bagi Blok Persefahaman Politik ini adalah GAGASAN SEJAHTERA.

Persefahaman Politik (political understanding) ini menjadi satu gagasan baru kepada lanskap politik negara yang menawarkan suatu pilihan yang lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan kepada sebuah budaya berpolitik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.

Justeru rakyat tidak perlu lagi terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada yang mana satunya telah terbukti membawa budaya korup, kronisme, nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara iaitu Blok UMNO/BN; dan satu lagi jalur politik yang menekankan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat. Rakyat perlu menolak kedua-dua budaya politik yang merosakkan negara tersebut. 

Gagasan Sejahtera mengajak rakyat membuat pilihan dengan sebuah Gagasan Politik yang Sejahtera bersama-sama GAGASAN SEJAHTERA. 

PENDEKATAN GAGASAN SEJAHTERA

Pendekatan yang diambil oleh GAGASAN SEJAHTERA adalah pendekatan BUDAYA POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA (BPMS)

Pendekatan ini membawa budaya berpolitik yang menjadikan :

Agenda perjuangan serta kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok kepartian tertentu

Menyokong kebaikan semua pihak secara matang, serta menolak keburukan mana-mana pihak juga secara matang

Politik berasaskan kebenaran, bukan berasaskan pembinaan persepsi semata-mata

Politik Damai dan Diplomasi yang mana pertentangan idelogi perjuangan tidak boleh membawa kepada pertentangan fizikal, pergaduhan dan seumpamanya Politik berasaskan penyelesaian bukan politik berasaskan permasalahan di mana objektif GAGASAN SEJAHTERA adalah membawa penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat, bukan menyembunyikan masalah seperti dilakukan UMNO/BN; dan bukan sekadar menimbulkan isu dan mempermainkan sentimen rakyat seperti dilakukan PH.

Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera ini memberi pilihan kepada rakyat yang telah bosan dengan budaya politik melampau sedia ada yang membawa kepada permusuhan dan ketidak stabilan sosial dan ekonomi.

TERAS PERJUANGAN GAGASAN SEJAHTERA

GAGASAN SEJAHTERA menjadikan perkara berikut sebagaiTeras Perjuangan bersama:

Mempertahankan Perlembagaan Negara dan prinsip-prinsipnya;

Mempertahankan Islam sebagai Agama Rasmi Negara dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi, Bahasa Ilmu dan Bahasa Perpaduan Negara

Mempertahankan Prinsip Raja Berperlembagaan

Mempertahankan dan meningkatkan kedaulatan serta keselamatan negara dan rakyat 

Memperkasakan keberkesanan Sistem Pendidikan Negara yang menekankan pembangunan nilai bagi melahirkan insan yang bermotivasi, kompetitif, berilmu dan berkemahiran tinggi

Mempertahan dan memperkasakan prinsip Federalismayang adil dalam kesemua aspeknya

Meningkatkan toleransi dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama sambil memperkasakan jatidiri setiap kaum menjadikan kepelbagaian sebagai aset serta kekuatan rakyatMengangkat integriti, ketelusan, kecekapan dan mesra-rakyat dalam sistem pentadbiran negara, sekaligus menghapuskan unsur negatif seperti salahguna kuasa,kronism, nepotism dan rasuah

Memartabatkan negara sebagai sebuah kuasa ekonomi yang kompetetif dan disegani di peringkat tempatan dan dunia melalui prinsip keadilan sosial dan ekonomi berasaskan kepada pembangunan nilai insan, keupayaan sains, teknologi dan inovasi, serta pengupayaan sumber tempatan.

GAGASAN SEJAHTERA dengan ini mengajak seluruh rakyat bersama-sama membawa Budaya Politik Baru yang matang;seterusnya membentuk masyarakat dan negara yang lebih sejahtera serta menolak budaya politik yang menekankan budaya korup dan tidak berintegriti, mahupun budaya politik berasaskan mainan sentimen, persepsi palsu dan permusuhan.

Marilah bersama-sama GAGASAN SEJAHTERA.
 
DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI HAJI AWANG
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA ABDUL KADIR HAJI SHEIKH FADZIR
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN)

Bertarikh pada: 13 Ogos 2016
Bertempat di Kuala Lumpur.

RUU355 beri hikmah penyatuan umat Islam

KOTA BHARU – Tidak mustahil isu sokongan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) memberi hikmah penyatuan kepada seluruh umat Islam, kata Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi.

Menurutnya, sebelum ini sukar untuk dilihat pimpinan Pas dan Umno duduk semeja membincangkan isu Melayu-Islam, tambah-tambah lagi jika berada dalam suasana pilihan raya.

“Sebagai umat Islam, untuk bersatu tidak menjadi masalah kerana persamaan atau titik temu itu lebih banyak berbanding dengan perbezaannya. Antara titik temu yang paling dominan ialah agama.

“Jika RUU 355 ini sama-sama dipersetujui oleh Pas dan Umno, itu tidak pelik kerana atas dasar mempertahankan Melayu-Islam. Yang peliknya apabila ada orang Islam sendiri yang tidak menerima pindaan RUU355 ini untuk menambah baik proses perundangan syariah agamanya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mempersoalkan apa salahnya jika Pas dan Umno bersatu dalam isu sokongan RUU 355 tersebut.

Menurutnya, jika parti Melayu-Islam bersatu, maka ia akan menjadi kebimbangan yang serius oleh parti politik bukan Islam kerana kekuatan Melayu-Islam akan dapat dikembalikan di Malaysia.

Beliau berkata, hanya agama menjadi titik temu yang paling besar antara Pas dan Umno dan mereka dibentuk oleh orang Melayu yang memiliki agama dan beramal dengan suruhan  yang sama.

“Kita lihat antara pandangan yang menolak RUU355 ialah parti bukan Melayu-Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu-Islam. MCA bimbang jika hudud tidak hanya di Kelantan, tetapi akan mempengaruhi negeri lain.

“Secara politiknya, tuduhan tersebut seolah-olah kesilapan yang telah disedari. Mungkin untuk kukuhkan parti dengan sokongan undi bukan Melayu-Islam. Hal ini terbukti di PRN Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Isu RUU355 ini terus menjadi modal politik mereka.

“Dalam pada itu juga, Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang agak sama dengan Lim Kit Siang bahawa RUU355 bukan hudud Islam tetapi hudud Abdul Hadi. Di sini jelas, bukan Muslim ambil peluang apabila umat Islam sendiri mempersoalkan undang-undangnya sendiri,”katanya.

Mohd Syakir juga turut berpendapat, jika kita masih memikirkan pandangan bukan Islam kepada RUU355 ini, maka sampai bila pun umat Islam sukar untuk bersatu. SH

HARI INI DALAM SEJARAH PAS PAS MAHU ANJURKAN PERSIDANGAN PERTUBUHAN MELAYU UNTUK PERTAHAN BAHASA (13 OGOS 1955)

PADA hari ini dalam tahun 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil satu ketetapan terhadap tuntutan golongan ultra Cina dengan cadangan menganjurkan satu persidangan pertubuhan-pertubuhan Melayu bagi mempertahankan kedudukan bahasa Melayu. Persidangan ini bertujuan untuk membincangkan isu tuntutan persatuan-persatuan Cina dan merangka memorandum kepada kerajaan untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu. PAS melihat tindakan yang dibuat oleh golongan ultra Cina ini telah mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa peribumi, sedangkan orang-orang Melayu sedang berusaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perjuangan PAS terhadap hak orang Melayu telah tergambar daripada tuntutan PAS dalam National Convention pada 11 Oktober 1953, di mana PAS menuntut supaya bahasa Melayu menjadi bahasa pertama dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, PAS telah mengambil keputusan supaya Melayu dijadikan bahasa pertama dalam pentadbiran kerajaan, sedangkan Kongres Pemuda Melayu yang turut disertai pimpinan PAS pada 10 April 1955 telah mengambil ikrar "Satu Bahasa, Satu Negara dan Satu Kebangsaan Melayu." Sumbangan PAS terhadap perjuangan memartabatkan bahasa Melayu ini turut diperakui oleh Dr Burhanuddin al-Helmy sebelum beliau menyertai PAS. Dalam Kongres Parti Rakyat pada 24 Disember 1955, Dr Burhanuddin menyifatkan "PAS pun bekerja keras" untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Isu bahasa Melayu ini timbul kerana tindakan 144 buah persatuan orang Cina di Perak yang mengemukakan satu tuntutan kepada kerajaan supaya bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi dan ia digunakan di Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Desakan orang Cina ini mempunyai kaitan dengan peranan mereka dalam memenangkan calon-calon Umno dalam Pilihan Raya Umum 1955. Pertama, orang Cina telah memberi bantuan kewangan kepada Umno menerusi MCA untuk membiayai jentera pilihan raya mereka, dan kedua, orang Cina telah mengundi Perikatan dalam pilihan raya tersebut. Atas asas ini orang Cina mahu mereka diberikan hak sama rata termasuk soal kerakyatan dan bahasa Cina. Selain 144 buah persatuan Cina di Perak yang membuat tuntutan, Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Seluruh Malaya pada 14 Ogos 1955 juga bertindak menuntut supaya bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi di samping bahasa Melayu dan Inggeris.

Tindakan golongan ultra Cina ini telah mendapat respon negatif daripada PAS Kelantan pada 9 Ogos 1955, yang memaksa Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang bersidang pada 12-13 Ogos 1955 memutuskan untuk menganjurkan persidangan pertubuhan Melayu. Persidangan yang turut dihadiri oleh parti politik, NGO dan badan persuratan Melayu telah dianjurkan oleh PAS pada 28 Ogos 1955. Persidangan ini dihadiri oleh 16 buah pertubuhan dan 500 pemerhati di mana Ahli Majlis Undangan Persekutuan, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah memberikan taklimat tentang isu kedaulatan bahasa Melayu serta kepentingan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Beliau turut menyentuh soal tuntutan orang Cina supaya bahasa Cina dan Tamil turut digunakan di Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Persidangan pada 28 Ogos 1955 yang dianjurkan oleh PAS telah menerima cadangan Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS) iaitu:

I. Melantik sebuah Jawatankuasa Bebas untuk menyusun memorandum kepada Raja-raja Melayu, Ketua Menteri, Menteri Pelajaran dan Pesuruhjaya Tinggi British; dan
II. Bertemu dengan Ketua Menteri dan Menteri Pelajaran dalam soal ini.

Jawatankuasa Bebas ini terdiri daripada Cikgu Mohd Nor Ahmad (KPGMS) sebagai Pengerusi, Basir Udoh sebagai Setiausaha, Cikgu Ahmad Awang (PAS) sebagai Bendahari, Cikgu Harun Mohd Amin (Kongres Pemuda Melayu), Mohd Asri Haji Muda (PAS), Haji Azmir (Lembaga Pembangunan Sastera - LEPAS), Abdul Ghani Ishak (Lembaga Pelajaran Kebangsaan Malaya) dan Amin ar-Rahim (Asas Utama) sebagai ahli-ahli. Mereka telah mengemukakan memorandum kepada kerajaan. Satu badan yang sependapat dengan PAS dalam soal ini ialah Kongres Pelajaran Melayu Malaya pimpinan Aminuddin Baki yang bersidang pada 15 Ogos 1956.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Ogos 2016

Orang sekarang pandai lesap duit parti, kata Akhbar Satar

PETALING JAYA: Dana parti terdedah kepada penyelewengan kerana di negara ini kebanyakan derma politik dimasukkan ke akaun persendirian, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M).

Malah sistem pengurusan derma politik jika diperbaiki atau diubah tidak membantu sekiranya ia dikendalikan orang yang tidak berintegriti, tegas Datuk Akhbar Satar.

“Orang sekarang ini kreatif. Pandai tipu sana, bohong sini, dia ada cara dia,” kata Akhbar ketika dihubungi FMT. “Apa pun cara Umno dahulu atau import sistem dari Eropah kalau orang yang mengendali itu tak berintegriti tak berguna juga.”

Beliau mengulas nukilan Tun Musa Hitam dalam bukunya ‘Frankly Speaking’ yang menceritakan amalan urus derma politik pada zamannya. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu bersara daripada Umno pada 1987.

“Zaman itu, ketirisan dan salah guna dapat dielakkan,” tulis Musa. “Malangnya, prosedur sedemikian tidak lagi menjadi amalan biasa pada hari ini.”

Menurut Musa, bekas TPM Tun Dr Ismail Abdul Rahman ketika menguruskan wang parti menetapkan setiap sumbangan kepada Umno mesti diisytiharkan, direkodkan dan tidak boleh diterima secara peribadi.

“Tak ada orang di Malaysia yang nak bagi dana politik tak berharap sesuatu,” kata Akhbar mengulas syarat ketat yang dinyatakan Musa itu.

“Di luar negara apa yang parti politik buat adalah isytihar sumbangan secara dalam talian. Yang pertama, mereka lebih telus. Yang kedua, dana tak diseleweng. Itu yang terbaik,” tegasnya.

Menurut Akhbar, menangani penyelewengan derma untuk parti tidak semestinya perlu sistem pengurusan dana yang kompleks.

“Kita nak orang yang mengendali ada integriti. Selesai banyak masalah,” ujarnya.

Artikel Terdahulu

Bagaimana Umno urus derma politik era 70-an? Ini cerita Musa

PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata Umno satu ketika dulu amat teliti dalam penerimaan derma politik sehinggakan penderma berasa tidak selesa ketika diberitahu tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Menulis dalam buku Frankly Speaking yang mengisahkan pengalaman sepanjang karier politiknya, Musa yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno pada awal 1970-an kerap berjumpa timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang terkenal dengan ketegasan menguruskan wang.

Katanya, sebaik sahaja tarikh pilihan raya diumumkan, Umno akan mengumumkan parti itu bersedia menerima sumbangan kewangan bagi membiayai kempennya.

“Peraturan asas Tun Ismail ialah setiap sumbangan, termasuk dari sektor swasta, mesti diisytiharkan dan tidak boleh diterima secara peribadi,” kata Musa, yang menganggap dirinya seorang jahil dalam soal mendapatkan dana bagi parti, walaupun ketika itu menjawat timbalan menteri perdagangan dan industri di bawah pentadbiran perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya amalan itu diteruskan pada era pentadbiran Tun Hussein Onn, perdana menteri ketiga menggantikan Razak.

“Malah, Tun Hussein Onn mungkin lebih teliti,” tulis Musa.

“Zaman itu, ketirisan dan salah guna dapat dielakkan.

“Malangnya, prosedur sedemikian tidak lagi menjadi amalan biasa pada hari ini.”

Musa pernah dibuang parti sebelum kembali semula ke dalam Umno di bawah pentadbiran Razak, yang dibantu timbalannya Ismail.

Ismail memegang jawatan nombor dua itu selama tiga tahun sebelum meninggal dunia pada 1973.

Menceritakan lanjut, Musa berkata setiap sumbangan diterima Umno mesti ada saksi yang mengesahkan jumlah yang diterima, sebagaimana dituntut Ismail yang amat teliti dengan setiap sen diterima parti.

“Selalunya saya yang menjadi saksi tersebut, dan kerap kali membawa masuk orang lain termasuk setiausaha politik saya, Shahrir,” kata beliau merujuk Ahli Parlimen Johor Bahru Datuk Seri Shahrir Abdul Samad.

Musa menceritakan bagaimana penderma yang berjumpa Ismail merasa tidak selesa dengan sikap lantangnya.

“Beliau akan bertanyakan mereka tujuan mereka berkunjung,” tulis Musa.

Apabila diberitahu mereka ingin membantu Umno, Ismail akan menyoal lagi, “Dan mengapa kamu mahu memberikan sumbangan ini?”

“Semua ini berlaku di depan mata saya. Banyak kali saya terperanjat. Tanpa berlapik, Tun Dr Ismail memberitahu penderma yang mereka tidak boleh mengharapkan sesuatu balasan daripada kerajaan walaupun membuat sumbangan.

“Kata beliau, ‘Jangan harap mendapat pertolongan, lesen atau kontrak. Kamu memberi sumbangan kerana mahukan kerajaan stabil, dan ini kami boleh berikan, supaya membantu perniagaan kamu dan pembangunan ekonomi negara’,” tulis Musa memetik Ismail.

Begitu juga, setiap aliran wang masuk untuk parti direkodkan, kata Musa.

“Kami mengeluarkan resit dengan jumlah dinyatakan secara jelas,” katanya, dan menambah ketilitian pengurusan sumbangan parti itu diteruskan oleh Tun Dr Hussein Onn.

Buku “Frankly Speaking” setebal 443 muka surat itu dilancarkan Sultan Nazrin Shah, Rabu lalu.

Musa menamatkan karier politiknya pada 1986, selepas meletak jawatan sebagai timbalan kepada perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

FMT

Gambar 2 Lelaki dlm kejadian letupan bom di Puchong

Letupan bom di Puchong: Dua lelaki yang diburu berjaya ditahan - KPN https://t.co/uLQ3aLYOMd


Ingat Isu Royalti, Ingat Pengkhianatan Umno Kepada Rakyat Terengganu

KUALA NERUS – Ketua Penerangan PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah menyeru seluruh rakyat, agar mengetahui dan mengingati tentang isu royalti petroleum, yang menjadi ‘ibu’ segala permasalahan dalam negeri ini.

Menurutnya, ia bermula apabila kerajaan pusat tidak melunaskan janji membayar lima peratus royalti minyak dan gas, terus kepada akaun kerajaan negeri Terengganu.

“isu ini (dapat) dilihat daripada perjanjian royalti itu sendiri (dimana pembayaran) royalti ditukar kepada ‘Wang Ehsan’ atau pun kepada ‘Dana Khas’,

“yang akhirnya rakyat Terengganu hilang nilai bayaran wajib lima peratus (sedangkan negeri) Sarawak (terus) meminta tambahan (royalti kepada) 20%,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Bengkel Isu yang diadakan di sini, semalam Khamis 11hb Ogos.

ADUN Bukit Payong itu berkata, isu terbabit berkait dengan Akta Wilayah Laut, yang diluluskan pada tahun 2012 yang telah memberikan hak hasil petroleum kepada kerajaan persekutuan.

“Hasil daripada keputusan (kelulusan) parlimen (itu sempadan) negeri Terengganu ini ruang dia sampai (hingga) 3 batu nautika (iaitu) sekitar 7 kilometer daripada pantai.

“Dan Akta ini sendiri diluluskan untuk tidak lain (dan) tidak bukan berniat jahat………. untuk menguasai petroleum Terengganu,”jelasnya.

Selain itu, menurut beliau, isu hak mendapat royalti juga adalah melebar kepada persoalan berkait medan minyak yang baru ditemui, Bertam 307 diluar pantai Kemaman.

“Perdana Menteri berjanji dengan Pahang untuk bagi RM100 juta. Kemudian, Ahmad Said mempertahankan (hak Terengganu) dalam keadaan syarikat Lundin Petroleum telah mencari gali minyak daripada Bertam ini,

“Ahmad Said mendakwa bahawa Razif telah menandatangani (menyerahkan) Bertam kepada Pahang,”katanya.

Dalam isu yang sama, menurut Ustaz Mohd Nor, perbelanjaan ‘Dana Khas’ iaitu hasil dari royalti minyak Terengganu yang diuruskan kerajaan pusat telah dibelanjakan secara ‘tidak amanah’.

“(duit) daripada Dana Khas ini, penggunaanya tidak amanah. Diguna untuk membina Lebuh Raya (Pantai Timur 2), digunakan untuk (membina) Lapangan Terbang (Sultan Mahmud),

“dan banyak lagi projek (yang sepatutnya dibawah tanggungjawab kerajaan pusat) sebagaimana diputuskan (dimaklumkan) dalam Sidang (Dewan Undangan Negeri) baru ni,”jelas beliau lagi.

Menurut beliau, wang Dana Khas yang menjadi hak rakyat Terengganu turut dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan membiayai projek-projek yang tidak ada kaitan dengan kepentingan rakyat negeri ini.

“Termasuk (belanja) buat perumahan di negeri lain …………..guna dana khas Terengganu. Selain itu, ketidaktelusan adalah dalam menyerahkan duit kepada kerajaan negeri.

“Masa harga minyak jatuh, (bayar) ikut nilai harga minyak jatuh (tapi) semasa harga minyak 150 dollar, tidak berikan melalui ikut harga (semasa). Masa mahal, dia tak bagi (dengan harga) mahal…………. (masa harga) murah dia bagi murah,”dakwa beliau.

Isu royalti minyak, tambah beliau, juga ada kaitan dengan petroleum negeri Terengganu yang cuba hendak dicagarkan oleh pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

BuletinOnline.net

POKEMON GO DARI KACAMATA SEORANG GAMERS

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, saya juga adalah peminat permainan digital. Sejak kecil hinggalah besar panjang, amat sukar untuk berpisah dengan game. Tanya sahajalah isteri saya betapa kali dia bermasam muka gara-gara cemburu kepada game.

Mustahil orang seperti saya tidak ghairah tatkala Pokemon Go diisytihar masuk ke Malaysia. Walaupun saya bukanlah peminat rancangan kartunnya, tapi kerana ia adalah sebuah game, tetap menggugat iman di dada. Namun setelah mendapat beberapa khabaran tidak enak berhubung Pokemon Go, saya mula selidik dan mengkaji permainan ini.

Oleh itu izinkan saya berkongsi beberapa pandangan berhubung permainan ini. Diharap gamers-gamers di luar sana tidak tersentap dan membaca dengan hati yang terbuka, akal yang waras dan iman yang sedar.

1. MELALAIKAN?

Saya tidak menafikan bermacam-macam lagi permainan di luar sana yang melalaikan. Sebelum Pokemon Go keluar, sudah berapa banyak berita yang dilaporkan tentang bahana ketagihan game. Remaja di China mati akibat serangan jantung ketika bermain game Stargate. Di negara sama juga seorang remaja membunuh rakannya akibat salah faham yang berlaku melibatkan pedang virtual sabrenya. Ada yang bunuh diri kerana gagal dalam misi Everquest dan ada yang bunuh diri kerana percaya dapat bertemu dengan karektor game yang diminatinya di alam lain. Bahkan seorang pemuda Amerika telah mencuri kereta polis dan membunuh tiga orang polis disyaki kerana terpengaruh dengan permainan GTA.

Namun Pokemon Go tidaklah lebih baik dari kes-kes di atas. Di Amerika Syarikat sahaja beberapa kes telah dilaporkan. Antaranya seorang pemuda memberhentikan keretanya di tengah-tengah lebuh raya untuk keluar mencari Pokemon yang berada di sekitar kawasan tersebut. Ini mengakibatkan kemalangan ngeri melibatkan beberapa buah lori treler dan kenderaan ringan lain. Antaranya juga kisah seorang pemuda yang jatuh ke dalam laut di jeti kerana terlalu asyik mencari pokemon. Lebih mengharukan, apabila beliau diselamatkan, beliau terus membuka telefon pintarnya dan meneruskan misi mencari pokemon. BBC turut melaporkan seorang warga US ditemui mati akibat terjatuh ke dalam gaung akibat pokemon. Buktinya game tersebut terpasang di dalam telefon bimbitnya yang berada di bawah mayat ditemui.

Game ini memiliki keburukan yang tersendiri. Apa yang membimbangkan ialah ia menjadi viral dan kegilaan hampir semua anak muda kini. Dalam masa yang pantas, rasanya semua handphone anak muda memiliki perisian permainan ini. Suatu fenomena yang tidak berlaku kepada kebanyakan game lain.

2. MENGHINA AGAMA?

Pengeluar game Pokemon Go, Niantic Inc bertindak kurang ajar apabila meletakkan haiwan-haiwan Pokemon di kawasan-kawasan ibadat seperti masjid, gereja, tokong, biara dan kuil. Ia juga diletakkan di kawasan perkuburan semua agama. Ini menyebabkan ramai yang ke tempat ibadat bukan lagi untuk mengadap tuhan, tetapi untuk mencari Pokemon! Sehingga sesetengah masjid terpaksa meletakkan tanda larangan keras bermain Pokemon di kawasan masjid.

Lebih menyedihkan apabila haiwan Pokemon turut dijumpai di atas Kaabah, tempat yang paling mulia di sisi umat Islam. Selepas ini jangan pelik jika ramai anak muda berduyun-duyun memohon visa umrah termasuk no-muslim!

Walaupun ada yang beralasan kita orang Islam tak perlulah cari sampai ke masjid tapi masih boleh maij di tempat lain, ketahuilah bahawa kita mewujudkan demand yang tinggi terhadap permainan ini menjadikannya mampu beroperasi dan terus menghina institusi semua agama. Samalah juga seperti orang yang beralasan untuk memboikot Starbuck, McDonald dengan alasan halal dimakan.

3. MENGGANGGU PRIVASI?

Menurut laporan Berita Harian, seorang wanita di Californoa telah menyaman Niantic Inc kerana game tersebut telah mengganggu hak peribadi beliau. Menurutnya, sejak permainan ini dikeluarkan kawasan rumahnya dibanjiri orang ramai yang memburu dan berlawan Pokemon. Situasi sama juga dilaporkan berlaku terhadap seorang lelaki di Massachusetts. Beliau melihat orang memanjat masuk ke perkarangan rumahnya. Beberapa orang pemuda berada di hadapan rumahnya siang dan malam.

Ada yang beralasan game ini berbeza dengan game lain kerana ia membuatkan pemainnya keluar rumah dan hidup aktif di luar. Namun apa yang berlaku hanyalah gangguan terhadap privacy individu. Bahkan mereka langsung tidal berinteraksi dengan alam sekeliling. Kewujudan mereka di dalam atau luar bangunan sama sahaja.

4. MEMBAHAYAKAN DIRI?

Anda patut merasa bimbang jika anak anda ketagihan permainan ini. Kes-kes penculikan akan berleluasa sekiranya ramai kanak-kanak keluar rumah sendirian mencari Pokemon. Apa yang berlaku di Thailand, mereka menggodam sistem Pokemon dengan memberikan arahan-arahan palsu kepada anak-anak sehingga sampai ke tempat yang sunyi untuk mereka culik.

5. MEMBAHAYAKAN NEGARA?

Perkara ini sangat komplikated untuk diterang kepada mereka yang capaian akalnya terlalu singkat untuk memahami teori konspirasi. Walaupun bukan semuanya teori konspirasi di luar sana  benar belaka, tapi konspirasi tidak boleh ditolak mutlak, lebih-lebih lagi apabila al-Quran dan hadis sendiri banyak mendedahkan tentang konspirasi.

Pokemon Go dicipta oleh Niantic Inc, syarikat yang diasaskan John Hanke yang juga pemilik syarikat Keyhole Inc. Keyhole ini adalah syarikat yang terlibat secara langsung dalam pembangunan teknologi pemetaan Geospatial. Keyhole juga didanai oleh berbagai agensi termasuk yang berkaitan dengan CIA iaitu NGO In-Q-tel.

Geospatial merupakan teknik pemetaan terbaru yang merakam akitiviti manusia di setiap tempat secara lebih tepat dan jelas. Amerika Syarikat telah menjadikan Geospatial Intelligence (GEOINT) sebagai sumber risikan dalam mengumpul maklumat-maklumat rahsia dan tabiat seharian setiap negara. Ia kemudian digunakan oleh Amerika dalam berbagai operasi ejen CIA di mana-mana negara.

"In the United States, Geospatial intelligence, GEOINT (GEOspatial INTelligence) is intelligence about the human activity on earth derived from the exploitation and analysis of imagery and geospatial information that describes, assesses, and visually depicts physical features and geographically referenced activities on the Earth. GEOINT consists of imagery, imagery intelligence (IMINT) and geospatial information."

Sebelum ini, bentuk risikan terkenal adalah melalui remote sensing  yang merakam imej melalui satelit. Namun begitu, ia tidak begitu jelas dan terhad atas berbagai halangan. Lagipun sudah banyak negara-negara lain berjaya mencipta alat umpama iron dome yang melindungi ruang negara dari dirakam satelit.

Pokemon Go membantu risikan GEOINT melalui kamera dan GPS yang mereka aktifkan ketika misi memburu haiwan Pokemon. Dengan mematuhi arahan permainan terbabit, pemain secara tidak sedar membantu perisikan Amerika Syarikat sehingga di dalam bangunan. 

Sebelum ini,  US menggunakan teknik geospatial melalui Google Streetview sebagai maklumat risikan sebagaimana yang didedahkan bekas ejen CIA, Edward Snowden. Namun ia tidak sehebat Pokemon Go kerana tidak dapat merakam setiap perubahan terkini serta terhad di luar bangunan sahaja.

Negara pertama yang mengharamkan kemasukan Pokemon Go ialah Iran. Namun hasil maklumat mendapati Israel terlebih dahulu menghalang permainan ini dari memasuki negaranya. Kebanyakan negara-negara lain pula melarang permainan ini di tempat-tempat tertentu. Kini Rusia pula sedang berkira-kira untuk mengharamkan permainan ini.

6. HEDONISME?

Barat mengimport berbagai bentuk pemikiran yang memesongkan manusia dari pemikiran Islam yang sebenar. Khusus untuk anak muda, mereka menghidupkan budaya hedonisme. Hedonisme adalah pemahaman bahawa hidup adalah untuk berhibur dan berseronok. Setiap yang seronok adalah betul dan kebenaran diukur melalui tahap keseronokan sesuatu. 

Lahir slogan-slogan hidup hanya sekali, nikmati sebelum mati, jangan sia-siakan zaman muda dan berbagai lagi ajakan supaya terjun dalam hiburan sehingga lemas.

Budaya hiburan semakin berleluasa kini sehingga yang tidak mampu bercakap soal hiburan tidak layak hidup di zaman ini.

Walaupun negara kita adalah majoriti muslim, negara kita menduduki antara tempat tertinggi kegilaan terhadap pelbagai bentuk hiburan. Bahkan melampau-lampau sehingga jika ditegur, melentingnya lebih daripada orang tidak beragama.

Dalam isu Selena Gomez, pemuda PAS mendapat kritikan hebat kerana melakukan bantahan. Para mufti juga dihina dengan begitu teruk oleh anak-anak hingisan kerana memfatwakan pengharaman Pokemon Go.

Hedonisme bukan sahaja menyebabkan rakyat jauh dari agama, bahkan hilang moraliti dan nilai manusiawi. Di samping itu ia boleh mengganggu operasi pentadbiran negara. Mengikut laporan akhbar baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk menyekat akses Pokemon Go pada waktu bekerja akibat ramai kakitangan yang bermain di dalam pejabat. Bahkan di Iraq, seorang tentera Amerika leka bermain Pokemon walaupun sedang berada di dalam operasi petempuran di Mosul.

5. SADD ZARAI'

Mungkin langkah pengharaman yang diambil Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Kedah atas alasan Sadd Zarai'. Mereka tidak menyatakan hiburan haram dalam Islam. Buktinya mereka tidak mengharamkan pelbagai permainan yang lain. Namun kerana fakta-fakta yang dikemukakan di atas, mereka mengambil berjaga-jaga untuk mengekang mafsadah yang lebih besar.

Sadd Zarai' bermaksud menutup lubang kerosakan dengan mengambil langkah mengharamkan perkara-perkara yang harus pada dasarnya. Contohnya penjualan parang adalah halal, tetapi menjual parang di kawasan perang saudara bakal menyebabkan parang itu diguna untuk membunuh maka ia boleh diharamkan.

Ada yang beralasan mufti bersikap selektif kerana berfatwa tentang perkara-perkara tertentu sahaja dan mendiamkan diri dalam perkara lain, ini mungkin ada benarnya. Namun ia tidak boleh menjadi hujah menafikan fatwa yang mereka keluarkan. Jika mahu mengharuskan Pokemon, pendokong permainan ini perlu mengemukakan hujah-hujah bahawa manfaatnya jauh lebih besar dari mudarat-mudarat di atas. Jika ada, fatwa boleh berubah bukan sahaja menjadi harus, bahkan sunat atau wajib pun! Islam itu ada fleksibelitinya.

Kesimpulannya, tepuk dada tanya iman. Kalau yakin bermain Pokemon Go tidak memberi kesan langsung kepada keburukan yang disebut, maka teruskanlah. Namun jika suatu hari anda tergelincir, tidak ada alasan lagi untuk menyalahkan mereka-mereka yang tidak menegur.

Bagi saya, berlambak lagi permainan lain yang boleh dimainkan. Tidaklah sampai mati kalau tidak ada Pokemon Go. Umat Islam perlu ada jatidiri yang lebih teguh untuk bertahan di akhir zaman ini. Jangan terlalu mudah dibawa arus semasa hingga hanyut bersama kemodenan yang tidak berpedoman.

Tidak mengapalah kalau nampak kolot sikit dengan pegangan Islam. Itulah yang selama ini disebut Nabi SAW:

"بَدَأَ الإِسْلامُ غَرِيبًا ، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ "
"Islam datang dalam keadaan yang asing, akan kembali pula dalam keadaan asing. Sungguh beruntungnlah orang yang asing” 
[HR. Muslim]

Hakikatnya, bukan kita yang asing, tetapi yang hidup mengikut arus itulah yang asing. Kita terkenal dan disanjung di sisi makhluk penduduk langit yang jauh lebih ramai dari bilangan manusia, sedang manusia lain asing tidak langsung dikenali oleh makhluk lain.

(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook: 
https://m.facebook.com/alangshukrimun/

Friday, August 12, 2016

DAP ber "UG" dgn MCA

DAP ber “UG” dengan MCA lawan RUU355

NIK MOHAMAD ABDUH | 12 Ogos 2016.

KELIHATAN MCA dan DAP bersatu hati menentang RUU355 yang bertujuan memperkasakan kedudukan mahkamah syariah dalam sistem perundangan negara. Secara mudah, kedua-dua parti dominasi non-Muslim itu mempunyai dua matlamat yang sama iaitu memastikan berkembangnya arus sekular yang menolak peranan ugama dalam politik negara dan keduanya, saling berebut undi non muslim.

Dengan membesarkan isu pelaksanaan hukum hudud melalui RUU355 ini, mereka cuba menggambarkan masa depan Malaysia yang gelap jika ia diluluskan.

Saya tidak fikir pula jika hak dan tuntutan golongan LGBT diterima dalam negara, kedua-dua parti ini akan bersatu hati menentangnya. Dalam erti, memperkasakan perundangan Islam dalam negara adalah lebih bahaya dan menggelapkan masa depan negara berbanding kehadiran LGBT yang sedang berkembang menghancurkan dunia barat kini.

Apapun, saya memilih untuk melihatnya sebagai kejahilan yang perlu dilunakkan dengan proses pemahaman yang menagih sedikit masa yang lebih.

Pemerkasaan sistem Islam yang menyeluruh dalam negara asalnya adalah perjuangan PAS yang tidak dikongsi oleh mana-mana parti politik sebelum ini. Dalam sistem perundangan Islam yang diimplimentasikan melalui mahkamah syariah, titik-titik kelemahan adalah amat ketara. PAS sentiasa menyeru kepada islah yang menyeluruh. RUU355 adalah sebahagian daripadanya.

Tujuan adalah jelas. Ia agar mahkamah syariah menjadi sebahagian daripada institusi dalam negara yang mendidik umat Islam agar hidup berguna sebagai hamba Allah dan menjadi warga negara yang baik. Hukuman agama nilainya adalah pada keberkesanan dan kejayaan mendidik dan mencegah kejahatan.

Kini, pada masa MCA dan DAP bersatu menentang, harapan adalah pada kelibat Umno yang dulunya menentang, tetapi kini turut bersama menyokong RUU355 ini. Ia adalah berita baik yang ditunggu-tunggu. Kalau DAP dan MCA boleh bersatu, apa salah PAS dan Umno bersatu juga dalam isu yang sama.

UG? Dedak?

Bahkan PAS dan ramai NGO Islam telah sepakat untuk menyeru seluruh ahli parlimen muslim agar menyokong RUU355 ini. Ia adalah hari besar untuk Islam di Malaysia.

Jika ada ahli parlimen bukan Islam turut menyokong, maka ia adalah bonus besar buat penyatuan dan kesejahteraan negara yang wajar dirayakan juga.

Seperti saya tekankan di atas, sebagaimana Umno memerlukan masa untuk memahami, MCA dan DAP lagi-lagilah memerlukan masa. PAS sentiasa mencadangkan dialog dan perbincangan yang sejahtera dan terbuka. Ia telah lama berlaku dan akan terus berlangsung insya-Allah.

Demokrasi dan kebenaran tidak memerlukan konsensus. Ia hanya perlukan suara majoriti yang benar dan bebas agar kebenaran terlaksana di mana-mana pun di dunia ini. PAS mengusahakannya secara sejahtera dan benar.

Semoga ALLAH menyatukan umat di jalan-Nya. –HARAKAHDAILY 12/8/2016

Adakah PAS bersekongkol dengan UMNO demi kepentingan politik?

Kenapa PAS tak tegur Kerajaan UMNO macam salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya?

Kami tak melihat PAS bersungguh2 dalam bab ini. Adakah PAS bersekongkol dengan UMNO demi kepentingan politik?

Ini adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh sebilangan orang Melayu terhadap PAS. Aku sentuh orang Melayu dulu. Orang bukan Melayu, aku tak nak masuk campur. Sebab bangsa aku pun banyak lagi yang perlu diperbetulkan sebelum aku nak perbetulkan bangsa asing.

Berbalik kepada kenyataan tersebut. Apabila kenyataan tersebut dibuat, itu menunjukkan mereka sebenarnya ada masalah hati. Hati mereka sentiasa mencari KELEMAHAN bangsa mereka sendiri sedangkan terdapat banyak KEKUATAN dalam bangsa mereka sendiri.

Cuba kita terbalikkan pula kenyataan tersebut.

Apasal UMNO, PKR, PAN tidak tegur bila ada kemungkaran yang berlaku di Malaysia?

Kami melihat UMNO, PKR, PAN tidak bersungguh2 dalam bab ini. Adakah UMNO, PKR dan PAN bersekongkol dengan KUFFAR demi kepentingan politik?

Sekiranya kenyataan itu dikeluarkan, dah tentu UMNO, PKR, PAN akan marah. Begitu juga dengan kenyataan terhadap PAS itu tadi.

Di sini sebenarnya kita boleh melihat, kedua2 blok parti ini ada KEKUATAN masing2. Tetapi kenapa masing2 menyerang masing2?

Sebilangan orang Melayu yang kuat ajarannya kepada Allah, mereka akan menegur mana2 yang silap. Itu PAS.

Sebilangan orang Melayu yang mahir dalam bidang ekonomi, pentadbiran, akan menegur mana2 yang silap. Itu UMNO, PKR dan PAN.

Sekiranya perkara ini difahami, maka bangsa kita akan bergerak atas platform yang betul.

Malangnya, sebahagian besar pemimpin2 Melayu Islam pada hari ini melahirkan bibit2 kebencian terhadap satu sama lain. Mereka tidak menjadikan AlQuran dan Sunnah sebagai pegangan mereka.

Mereka lebih cenderung kepada nasihat2 dari US dan sekutunya. Sedangkan kita tahu, Allah dah berfirman, Yahudi dan Nasara tidak sesekali akan ikut kamu.

Tetapi kenapa mereka tetap begitu? Nanti aku sambung.

Diplomatik Bebas.

Kenapa PAS berkecuali dalam pemilihan yang dipertua Dewan Rakyat DUN Perak?

1. Lihat isu, siapa yang bertanding jawatan yang Dipertua DUN PERAK berkenaan? PAS? BN? DAP atau PAN? 

2. Komen pemuda DAP berkaitan 4 Adun PAS bersikap berkecuali dalam menyokong calun Tuan Yang Dipertua DUN perak amatlah pelik. Sedia maklum PAS tidak menyokong sama ada calon BN atau Dap dlm pemilihan berkenan,  harus di ingat PAS bukan komponent BN apatah lagi PH. Maka ketetapan adun bersikap berkecuali adalah releven.