Friday, August 12, 2016

DAP ber "UG" dgn MCA

DAP ber “UG” dengan MCA lawan RUU355

NIK MOHAMAD ABDUH | 12 Ogos 2016.

KELIHATAN MCA dan DAP bersatu hati menentang RUU355 yang bertujuan memperkasakan kedudukan mahkamah syariah dalam sistem perundangan negara. Secara mudah, kedua-dua parti dominasi non-Muslim itu mempunyai dua matlamat yang sama iaitu memastikan berkembangnya arus sekular yang menolak peranan ugama dalam politik negara dan keduanya, saling berebut undi non muslim.

Dengan membesarkan isu pelaksanaan hukum hudud melalui RUU355 ini, mereka cuba menggambarkan masa depan Malaysia yang gelap jika ia diluluskan.

Saya tidak fikir pula jika hak dan tuntutan golongan LGBT diterima dalam negara, kedua-dua parti ini akan bersatu hati menentangnya. Dalam erti, memperkasakan perundangan Islam dalam negara adalah lebih bahaya dan menggelapkan masa depan negara berbanding kehadiran LGBT yang sedang berkembang menghancurkan dunia barat kini.

Apapun, saya memilih untuk melihatnya sebagai kejahilan yang perlu dilunakkan dengan proses pemahaman yang menagih sedikit masa yang lebih.

Pemerkasaan sistem Islam yang menyeluruh dalam negara asalnya adalah perjuangan PAS yang tidak dikongsi oleh mana-mana parti politik sebelum ini. Dalam sistem perundangan Islam yang diimplimentasikan melalui mahkamah syariah, titik-titik kelemahan adalah amat ketara. PAS sentiasa menyeru kepada islah yang menyeluruh. RUU355 adalah sebahagian daripadanya.

Tujuan adalah jelas. Ia agar mahkamah syariah menjadi sebahagian daripada institusi dalam negara yang mendidik umat Islam agar hidup berguna sebagai hamba Allah dan menjadi warga negara yang baik. Hukuman agama nilainya adalah pada keberkesanan dan kejayaan mendidik dan mencegah kejahatan.

Kini, pada masa MCA dan DAP bersatu menentang, harapan adalah pada kelibat Umno yang dulunya menentang, tetapi kini turut bersama menyokong RUU355 ini. Ia adalah berita baik yang ditunggu-tunggu. Kalau DAP dan MCA boleh bersatu, apa salah PAS dan Umno bersatu juga dalam isu yang sama.

UG? Dedak?

Bahkan PAS dan ramai NGO Islam telah sepakat untuk menyeru seluruh ahli parlimen muslim agar menyokong RUU355 ini. Ia adalah hari besar untuk Islam di Malaysia.

Jika ada ahli parlimen bukan Islam turut menyokong, maka ia adalah bonus besar buat penyatuan dan kesejahteraan negara yang wajar dirayakan juga.

Seperti saya tekankan di atas, sebagaimana Umno memerlukan masa untuk memahami, MCA dan DAP lagi-lagilah memerlukan masa. PAS sentiasa mencadangkan dialog dan perbincangan yang sejahtera dan terbuka. Ia telah lama berlaku dan akan terus berlangsung insya-Allah.

Demokrasi dan kebenaran tidak memerlukan konsensus. Ia hanya perlukan suara majoriti yang benar dan bebas agar kebenaran terlaksana di mana-mana pun di dunia ini. PAS mengusahakannya secara sejahtera dan benar.

Semoga ALLAH menyatukan umat di jalan-Nya. –HARAKAHDAILY 12/8/2016

No comments:

Post a Comment