Monday, August 15, 2016

Tubuhlah lebih banyak parti baharu'

PADANG RENGAS - Penubuhan parti politik baharu di negara ini dilihat memberi peluang lebih besar kepada Umno untuk menang pada PRU14.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pihaknya menggalakkan lebih banyak parti baharu ditubuhkan, malah berharap Datuk Seri Shafie Apdal akan menubuhkan parti baharu seperti dilakukan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, penubuhan parti baharu tidak akan memecahkan Melayu, sebaliknya ia hanya akan memecahkan pembangkang kerana pastinya mereka akan berebut kerusi dalam pilihan raya.

“Saya mempunyai pandangan berbeza kerana saya menggalakkan lebih banyak parti ditubuhkan. Lebih banyak parti, mereka akan termasuk dalam golongan pembangkang.

“Lebih banyak parti ditubuhkan oleh penderhaka-penderhaka adalah lebih baik kerana sudah tentu mereka akan berebut antara satu sama lain dalam isu kerusi yang ingin mereka bertanding,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas di MRSM KUala Kangsar, semalam.

Mohamed Nazri berkata, sejarah menunjukkan mereka yang derhaka kepada sesuatu institusi akhirnya akan kecundang seperti yang pernah berlaku kepada pemimpin-pemimpin besar terdahulu.

Katanya, meskipun menyesal dengan perbuatan mereka dan kembali kepada parti, namun mereka tidak lagi boleh menjawat kedudukan tertinggi kerana tindakan sebegitu dikeji masyarakat Melayu.

“Sebab itu kesetiaan itu amat penting. Saya rasa majoriti ahli Umno setia pada parti dan kesetiaan dari peringkat akar umbi memang sudah cukup mantap.

“Perkara ini (kesetiaan kepada Umno) harus diingatkan kepada pemimpin kerana yang banyak menderhaka kepada parti adalah pemimpin seperti (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad), Muhyiddin, Shafie Apdal, (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) dan (bekas menteri Tan Sri) Rafidah Aziz.

“Pada saya, saranan untuk berlaku setia mesti dibuat kepada pemimpin. Ahli-ahli biasa tetap setia. Itu sebab (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kekal kerana adanya ahli yang setia dengan parti,” katanya. SH

No comments:

Post a Comment