Monday, August 15, 2016

Pemfitnah hidup aman, mangsa tanggung beban

Sudah menjadi kelaziman, fitnah bertebaran tanpa sempadan yang akhirnya mendatangkan beban yang tidak bertepian kepada mangsa sepanjang zaman.Fitnah, seperti strategi ‘tembak dan lari’ (hit and run). Pelurunya paling tidak mengena tepat, tempiasnya sudah cukup mendatangkan azab.

Terpalit imej, maruah dan lukanya juga calar kepada anak isteri, kumpulan ataupun organisasi.

Dalam banyak peristiwa atau kes, lazimnya pemfitnah terlepas dan mangsa terus ‘lemas’. Bukan setakat isu negara yang lebih besar, tetapi merebak kepada isu terpencil melibatkan hal-hal kaum kerabat dan rakan-rakan sepejabat.

Dikatakan yang membuat angkara, jiran terdekat atau yang kenal rapat atau dituduh pengampu atau bersilat untuk mendapatkan pangkat.

Semuanya, tanpa bukti namun yang terpaksa berdepan ialah mangsa. Terpaksa tepis sini sana.

Menjawab dan berhujah dengan pelbagai surah. Dan seandainya sudah diberi penjelasan dan wujud kebenaran berpihak kepada mangsa, penfitnah pula tidak dibawa ke muka pengadilan. Terus hidup secara aman dan mungkin bercita-cita mengulangi kesalahan yang melanggar amaran Tuhan.

Budaya fitnah ini lebih kejam, apabila mangsa pula kemungkinan boleh menggunakan semula fitnah ini untuk melakukan dosa besar yang lain dengan menyatakan bahawa ini juga adalah fitnah seperti yang pernah dituduh sebelumnya. Fitnah amat bahaya, buruk untuk pelakunya, hodoh untuk mangsanya.

Selain mengguna kayu ukur dalam menyebar berita atau menerima sesuatu berita serta cerita seperti disebut dalam surah Surah Al-Hujurat ayat 6. “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Penyebar berita seperti wartawan, pengarang, penulis atau pembaca, juga tidak terlepas dengan anjuran agama supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menimpa musibah di kemudian hari seperti petikan: “Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah mengajarkannya...” (Surah Baqarah ayat 282).

Janganlah menjadi pemfitnah yang akhirnya menempah diri ke neraka dan membuatkan mangsa teraniaya dan bukan sahaja perlu menghindari budaya fitnah tetapi perlu mengelakkan juga perlakuan yang ‘mengundang’ fitnah yang akhirnya menjadi penyebab murka Allah. Seperti berlegar-legar di depan kedai judi nombor ekor meskipun tidak membelinya.

Wallahualam, hanya Allah sahaja yang mengetahui kebenarannya. ~Editorial Harakah

No comments:

Post a Comment