Friday, August 19, 2016

Menjadikan maqasid syariat alat untuk tinggalkan syariat

FIRMAN Allah SWT:
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi,’ mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan’. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya." [Al-Baqarah: 11&12]

Ayat ini memberitahu tentang ciri-ciri orang munafik. Mereka adalah golongan yang berpura-pura percaya kepada Islam tetapi hatinya tidak. 

Sifat yang dinyatakan adalah menganggap kerosakan yang dilakukan di bumi sebenarnya satu kebaikan. Mereka tidak sedar, apa yang mereka fikir baik itu sebenarnya menuju kerosakan. Ini akibat tidak percaya dengan ajaran Islam.

Ditafsirkan di dalam ayat yang lain, Antara kerosakan yang mereka lakukan adalah menjadikan orang-orang kafir sebagai penolong. Mereka menganggap tanpa bantuan orang kafir, kebaikan tidak akan dapat dicapai. Berwala' kepada orang bukan Islam pula boleh menyebabkan kemajuan.

Firman Allah SWT:
"Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar." [Al-Anfal:73]

Tidak salah meminta tolong dengan orang kafir. Tetapi mestilah dengan niat untuk menunjukkan Islam kepada mereka. Jika kita tidak berhubungan dengan mereka, bagaimana mereka mahu melihat Islam?

Nabi sendiri berurusan dengan orang kafir. Nabi pernah meminjam baju besi dengan seorang Yahudi walaupun boleh saja Nabi meminjam dengan orang Islam. Nabi juga berurus niaga dengan golongan ahli kitab. Tujuannya adalah untuk menunjukkan akhlak Islam yang sebenar kepada mereka.

Walau bagaimanapun, hubungan ini mesti ada batas. Jika mereka meminta kita mengikut undang-undang mereka, sedangkan Islam sudah mempunyai undang-undang sendiri, maka ini tidak boleh. Adapun golongan yang disebutkan di dalam al-Quran ini memberikan wala' sepenuhnya kepada orang bukan Islam.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?” [Al-Nisa:144]

Mereka menganggap cara mereka itu boleh membawa kebaikan. Mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan itulah membawa kerosakan. Sesetengah mereka pula menggunakan hujah Maqasid Syariah. Apa dia maqasid syariah ini? Ia sebenarnya bermaksud tujuan-tujuan hukum syarak. Tujuan segala syariat Allah adalah untuk mencapai maslahah iaitu kebaikan di dunia dan akhirat.

Maslahah pula dibahagikan kepada tiga iaitu maslahah muktabarah, maslahah mulghah dan maslahah mursalah. Maslahah muktabar adalah maslahah yang ditetapkan syarak. Contohnya Islam mengsyariatkan puasa untuk memberi kebaikan kepada manusia. Firman Allah SWT:

وأن تصوموا خير لكم

“Dan kamu berpuasa maka itu adalah yang lebih baik bagi kamu.” [Al-Baqarah:184]

Maka tidak boleh menghapuskan puasa dengan alasan menjaga maslahah ekonomi, bimbangkan produktiviti terjejas akibat umat Islam berpuasa seperti yang ditetapkan oleh pemerintah Tunisia, Habib Borguiba satu ketika dahulu.

Kedua maslahah mulghah iaitu maslahah yang dibatalkan oleh syarak. Walaupun mencuri itu memberi kebaikan iaitu mendatangkan harta kepada si pencuri, tetapi ia dihapuskan oleh syarak kerana keburukannya yang lebih besar terhadap umat.

Ketiga maslahah mursalah. Maslahah yang tidak ditetapkan oleh syarak dan tidak dibatalkannya. Di sini sahajalah ruang yang boleh dibincangkan berdasarkan maqasid syariah selagi tidak bertentangan dengan syarak. – HARAKAHDAILY 19/8/2016

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila, Marang pada 16 Zulkaedah 1437/19 Ogos 2016

ALANG IBN SHUKRIMUN | 19 Ogos 2016.

2 comments:

  1. Cuba tunjuk di mana kita mengikut undang2 kapir ni sedangkan yg memerintah ialah Umno dgn sekutu2 kapirnya. Lebai hadi selayaknya bukan pemimpin tapi sekadar tukang terjermah

    ReplyDelete
  2. Ada lagi ke yang masih membaca Harakah? Hik hik hik hik....
    Bila bercakap tu indah bunyinya. Masalahnya Hadi Mereng ni cakap lain praktikalnya lain. Cuba lihat pada Amanat yang sudah mula basi, apakah pada masa sekarang Hj Hadi bikin serupa cakap?
    Tidak!!!!! Sekarang siap dengan memfitnah dan menghalalkan penyamun rakyat. Mengamalkan politik Assobiyah, sesuka hati mengkafirkan orang lain, menganggap Parti itu Islam dan Islam itu Melayu. Bangang punya manusia, penjual agama.

    ReplyDelete