Pemuda PKR Sarawak mempersoalkan mengapa Sarawak kini di tangga ketiga senarai negeri dengan bilangan penduduk paling miskin selama 33 tahun Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi ketua menteri.
Wakilnya, Iswardy Morni berkata ini berlaku walaupun mempunyai RM22 bilion dalam rizab negeri.
Merujuk data Jabatan Statistik, beliau berkata, walaupun Sarawak di tangga ketiga di belakang Sabah dan Kelantan, bilangan populasinya jauh lebih tinggi.
Ini kerana mengikut bilangan tiga peratus penduduk, bilangannya melebihi 66,000 berbanding Kelantan yang bilangan tiga peratus penduduk miskinnya hanya berjumlah 51,000.
"Rakyat Sarawak bangga Selangor ada simpanan rizab RM3 bilion tapi Sarawak ada RM22 bilion dan masih gagal membantu rakyatnya.
"Jadi saya meminta bakal ketua menteri, Datuk Seri Adenan Satem untuk menjadikan ini satu keutamaan dan tak beri alasan seperti Sarawak terlalu besar," kata Iswardy di ibu pejabat PKR semalam.
Iswardy turut mendesak Baitulmal mendedahkan akaun mereka mengenai negeri Sarawak kepada awam untuk menjelaskan mengapa rakyat miskin negeri itu tidak dibantu.
"Mereka dengan mudah mengutip zakat dari kami, tapi amat perlahan dalam menyampaikan bantuan. Saya nak ingatkan mereka bahawa ini tanggungjawab yang akan dinilai Allah di akhirat," katanya.
No comments:
Post a Comment