(Kenyataan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi KEADILAN dan Ahli Parlimen Pandan)
Saya mengalu-alukan kesediaan Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menarik balik samannya terhadap saya berhubung satu kenyataan yang saya buat bertarikh 29 Disember 2012 mengenai urusniaga Boustead Holdings Berhad, Awan Megah Sdn Bhd (milik Raja Ropiaah Raja Abdullah, pimpinan Wanita Umno) dan Astacanggih Sdn Bhd (milik Deepak Jaikishen).
Keputusan itu dicapai setelah saya berpuas hati berdasarkan penjelasan beliau dan fakta-fakta terkini bahawa beliau tidak terbabit di dalam keputusan Boustead Holdings Berhad untuk membayar RM160 juta kepada Awan Megah Sdn Bhd dan Astacanggih Sdn Bhd. Oleh itu, saya bersedia menarik balik kenyataan saya sebelum ini mengenai beliau dan urusniaga tersebut.
Saya berharap bahawa kesediaan kami duduk berbincang dan saling menjelaskan kedudukan sesuatu perkara menjadi perkembangan sihat dalam arus politik negara.
Sebagai seorang ahli politik, adalah menjadi tugas saya mempersoalkan keputusan menteri dan penjawat awam yang saya fikirkan bertentangan dengan kepentingan awam, berdasarkan maklumat yang ada pada ketika itu.
Sehingga saya mempersoalkan peranan menteri dan penjawat awam lain dalam urusniaga itu melalui kenyataan media bertarikh 29 Disember 2012, tidak ada sebarang penjelasan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan atau mana-mana penjawat awam. Hanya setelah perkara itu dibangkitkan, barulah ada sedikit penerangan dan fakta-fakta lain mula didedahkan berdasarkan maklumat yang saya perolehi.
Setelah beberapa penjelasan diberikan oleh Datuk Seri Zahid Hamidi ekoran dari perkara yang saya timbulkan, saya pula berpuas hati bahawa beliau tidak terlibat di dalam keputusan itu.
Di dalam sebuah demokrasi, adalah menjadi tanggungjawab seorang ahli politik atau wakil rakyat untuk menimbulkan isu berkepentingan awam. Juga menjadi tanggungjawab menteri atau penjawat awam untuk memberi penjelasan sewajarnya.
Setelah penjelasan diberikan, sekiranya ada kenyataan yang tidak tepat dibuat sebelum itu kerana kekurangan maklumat atau tiadanya penjelasan kerajaan, maka adalah satu amalan kenyataan yang tidak tepat itu diperbetulkan atau ditarik setelah penjelasan sewajarnya diberikan.
Itu semangat yang sama-sama dihayati oleh saya dan Datuk Seri Zahid Hamidi yang mendorong kepada keputusan bersama yang dibuat pada hari ini.
Walau bagaimana pun, keputusan pada hari ini tidak membersihkan nama penjawat-penjawat awam yang lain yang perlu memikul amanah menjelaskan perkara-perkara ini:
1. Anugerah kontrak penswastaan Puspahanas oleh Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Najib Razak kepada Awan Megah Sdn Bhd apabila syarikat itu tidak layak sehingga ia terus bermasalah dan terbengkalai sehingga hari ini. Saya akan terus membawa isu ini supaya sekiranya ada sebarang penyelewengan, ia akan dipertanggungjawabkan sewajarnya.
2. Keputusan Lembaga Pengarah Boustead Holdings Berhad meluluskan urusniaga RM160 juta yang menguntungkan Awan Megah Sdn Bhd dan Astacanggih Sdn Bhd sedangkan penilaian urusniaga menunjukkan Awan Megah Sdn Bhd tidak ada hakmilik ke atas tanah seluas 223 ekar yang diurusniagakan.
Keputusan yang dicapai di mahkamah pada hari ini tidak ada prejudis kepada isu-isu ini dan saya akan terus membawa isu ini sehingga ada pertanggungjawaban yang sewajarnya.
Berikut adalah kenyataan yang ditandatangani bersama oleh saya dan Dato’ Seri Zahid Hamidi pada hari ini:
IN THE HIGH COURT OF MALAYA AT KUALA LUMPUR
That I, Mohd Rafizi bin Ramli, the defendant in this matter is satisfied with the explanation given by the plaintiff, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, that the plaintiff had not abused his powers in any matter whatsoever and had no role whatsoever in the decision of Boustead Holdings Berhad to enter into transactions to acquire Astacanggih Sdn Bhd’s shares and development lands from Awan Megah Sdn Bhd as stated in my article dated 29 December 2012.
Therefore I, Mohd Rafizi bin Ramli, hereby unequivocally and unconditionally withdraw the wrongful statements in my article dated 29 December 2012 with reference to the plaintiff.”
RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54987
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment