Saturday, August 17, 2013

TOLAK TPPA, TOLAK AMERIKA, TOLAK OBAMA!

“Kerajaan memberi jaminan kepentingan Perusahaan Milik Negeri (SOE) serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan dilindungi dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)...kerajaan juga beri jaminan bahawa kepentingan rakyat dan kedaulatan negara adalah keutamaan kami (dalam rundingan TPPA)” [BH 14/08/13]. 

Inilah janji Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada rakyat Malaysia di dalam isu TPPA yang dijangka ditandatangani sebelum akhir tahun ini yang membabitkan 12 negara iaitu Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Jepun, Singapura, Vietnam dan Amerika Syarikat. Setakat ini sudah banyak bantahan yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, NGO-NGO dan rakyat secara umumnya terhadap perjanjian ini, namun nampaknya kerajaan masih tetap meneruskan proses rundingan ke arah memuktamadkan perjanjian tersebut. Di antara perkara awal yang dibantah adalah berhubung isi perjanjian itu sendiri yang merupakan satu rahsia dan segala laporan mengenai rundingan yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

Kita sememangnya mengetahui bahawa jika Amerika Syarikat (AS) terlibat di dalam satu perkara, apatah lagi dalam perjanjian antarabangsa sepenting ini, Amerika tidak akan melakukannya jika ia tidak bermanfaat untuknya atau jika ia tidak mendapat apa-apa kepentingan darinya. Kita juga tahu bahawa Amerika memusuhi Islam dan cuba untuk mendominasi umat Islam dan negeri-negeri kaum Muslimin, baik dari segi fizikal mahupun ekonomi. Justeru, dengan akal yang sederhana sahaja kita sudah boleh mengagak bahawa TPPA ini sudah pasti tidak akan dimasuki oleh AS jika ia bukan untuk mengukuhkan lagi hegemoni AS ke atas umat Islam dan negeri kaum Muslimin.

Tahap kepedulian yang ditunjukkan oleh sesetengah umat Islam dalam hal ini amatlah baik, namun malangnya setakat ini semua bantahan yang diketengahkan hanyalah terfokus pada aspek ekonomi atau lebih tepatnya hanya berkisar soal “manfaat” yang bakal diperolehi atau bakal terjejas hasil dari memasuki perjanjian ini. Tolok ukur “manfaat” dalam menilai sesuatu perkara bukanlah salah, tetapi ia menjadi salah apabila hanya aspek tersebut sahaja yang dijadikan tolok ukur tanpa terlebih dahulu melihat aspek yang lebih penting dan utama yakni aspek “halal dan haram”nya sesuatu perkara itu. Meletakkan asas ukuran kepada “manfaat” sesungguhnya merupakan “cara berfikir” Kapitalisme. Ideologi ini mengajar penganutnya untuk mengambil apa sahaja yang boleh mendatangkan manfaat tanpa mengira aspek halal dan haram. Sedangkan ideologi Islam mengajar penganutnya bahawa tolok ukur kepada sesuatu (sama ada boleh diambil atau ditinggalkan) adalah halal dan haram, bukannya manfaat. Walau sebesar mana manfaat yang dapat diperolehi daripada sesuatu perkara/perbuatan, sekiranya perkara/perbuatan itu adalah haram, maka ia wajib ditinggalkan. Inilah “cara berfikir” Islam.

Justeru, di dalam menilai sama ada TPPA ini boleh dimasuki oleh Malaysia atau tidak, ia hendaklah dinilai dari aspek hukum syarak (halal atau haram) terlebih dahulu, sebelum membincangkan aspek manfaatnya dari sudut ekonomi, teknologi, kemanusiaan dan seumpamanya. Sebagai Muslim, inilah aspek pertama dan utama yang perlu dibincangkan dan bukannya mendahului aspek manfaat atau mudarat dari segi ekonomi dan sebagainya. SautunNahdhah siri ke-069 telah membincangkan panjang lebar mengenai hukum sesebuah Negara Islam menandatangani perjanjian antarabangsa dengan negara kufur, maka kali ini kami akan membincangkannya sekali lagi dengan secara ringkas.

Hukum Perjanjian Antarabangsa Dengan Negara Kufur

Sesungguhnya negara umat Islam itu adalah negara yang satu, jadi tidak seharusnya ada perjanjian sesamanya. Perjanjian antarabangsa hanya boleh wujud di antara negara Islam dan negara kafir sahaja. Jika negara Islam (Khilafah) mengadakan perjanjian dengan sebuah negara kafir (negara yang tidak diterapkan syariat Islam), maka warganegara kafir tersebut disebut sebagai kaum mu’ahidin, manakala negaranya disebut sebagai ad-DaulahMu’ahidah (negara yang mempunyai perjanjian dengan Khilafah). Hubungan yang wujud di antara kedua negara ini adalah mengikut apa yang termaktub dalam teks perjanjian, selama mana selaras dengan hukum syarak. Bagi negara kafir yang sedang berperang secara nyata dengan umat Islam, ia disebut sebagai ad-Daulah al-Kafirah al-Harbiah al-Muharibah bi al-Fi’li (negara kafir harbi yang benar-benar sedang memerangi umat Islam secara nyata). Manakala bagi negara kafir yang tidak terlibat perang secara nyata dengan umat Islam, maka ia dikategorikan sebagai ad-Daulah al-Kafirah al-HarbiahGhairu al-Muharibah bi al-Fi’li (negara kafir harbi yang tidak terlibat perang secara nyata dengan umat Islam).

Jika sesebuah negara itu termasuk dalam kategori pertama, maka ‘hubungan’ yang wujud di antara negara Islam dengan negara mereka hanyalah hubungan ‘jihad fi sabilillah’. Daulah Islam (Khilafah) tidak boleh (haram) mengadakan sebarang perjanjian atau transaksi dengan negara ini baik perjanjian politik (seperti hubungan diplomatik), perjanjian ekonomi (seperti import-eksport) dan sebagainya. Perjanjian (jika ingin dilakukan) hanya boleh dilakukan setelah ada perdamaian (as-sulh). Satu-satunya perjanjian yang dibenarkan dengan negara kafir yang sedang memerangi umat Islam ini ialah hudnah (perjanjian gencatan senjata), itu pun dilakukan hanya untuk tempoh yang tertentu sahaja. Warganegaranya tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam negara Khilafah, kecuali jika ia datang untuk mendengar kalamullah (mempelajari Islam) atau untuk menjadi ahlu az-zimmi dalam negara Khilafah.

Jika sesebuah negara itu termasuk dalam kategori kedua iaitu tidak berada dalam keadaan perang dengan kaum Muslimin, maka negara tersebut boleh melakukan perjanjian atau transaksi apa pun (yang tidak bercanggah dengan syarak) dengan Daulah Khilafah dan hubungan kedua-dua negara akan menjadi terikat sebagaimana syarat-syarat perjanjian yang telah disepakati. Warganegara mereka boleh memasuki Daulah Khilafah tetapi tidak dibolehkan tinggal lebih dari satu tahun [sila rujuk SN317 untuk pembacaan lanjut].

Wahai kaum Muslimin! Amerika adalah negara kafir yang sedang memerangi umat Islam secara nyata. Ketika ini mereka sedang memerangi umat Islam di Afghanistan, Pakistan dan membantu Israel memerangi umat Islam di Palestin. Amerika juga mendukung para pemerintah diktator yang sedang memerangi kaum Muslimin seperti yang dapat kita saksikan di Syria dan Mesir saat ini. Justeru, mengadakan apa jua perjanjian dengan AS adalah haram, bukan hanya TPPA semata-mata. Kedatangan Obama sendiri adalah haram untuk diterima, apatah lagi perjanjian dengan negara kafir harbi tersebut yang akan mengikat dan menjerat umat Islam dengannya. Maka, atas dasar akidah Islam dan pegangan kita kepada hukum Allah, marilah kita bersama-sama menolak TPPA, menolak Amerika dan menolak kehadiran Obama ke tanah kaum Muslimin! - SUMBER

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Post a Comment