Tuesday, August 13, 2013

“Father Augustus Chen” adalah makhluk khayalan juru propaganda dan cybertrooper skuad DDD Umno/BN

“Father Augustus Chen” tidak wujud dan risalah yang ditulisnya tentang DAP adalah satu pembohongan
Kenyataan Media oleh Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang di Kuala Lumpur, Selasa, 13 Ogos 2013:

Terbukti – “Father Augustus Chen” tidak wujud dan risalah yang ditulisnya tentang DAP, berjudul “The Equity Report (CEC Election Fraud)” adalah satu pembohongan.

Pembohongan tentang “Father Augustus Chen” amat melampau sehingga beliau digambarkan sebagai bekas sekutu saya dan saya malah telah dicabar untuk menyatakan sama ada saya masih berkawan dengannya.

Masa tujuh hari yang telah diberikan kepada “Father Augustus Chen” untuk menampilkan diri dan membuktikan yang ia benar-benar wujud telah tamat. Masih tiada tanda menunjukkan ada manusia di Malaysia atau di bumi ini yang mempunyai nama sedemikian.

“Father Augustus Chen” adalah makhluk khayalan juru propaganda dan cybertrooper skuad DDD Umno/BN yang dicipta untuk menulis sekitar seratus pembohongan dalam risalah setebal 12 muka surat sebagai kemuncak serangan DDD ke atas pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung bulan Disember lalu.

Rakyat Malaysia berhak untuk tahu bagaimana Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan pimpinan Umno/BN (termasuk menteri kabinet) boleh terpedaya dengan pembohongan yang direka oleh satu watak khayalan sehingga mereka merasa yakin untuk menganggap pemilihan CEC DAP tahun lalu sebagai tidak sah dan mengarahkan agar pemilihan semula dibuat.

Kini juru propaganda dan cybertrooper DDD Umno/BN mula mengubah nada mereka memandangkan mereka tidak boleh lagi berselindung di sebalik nama “Father Augustus Chen”, kerana tempoh tujuh hari yang saya berikan untuk pemilik nama tersebut tampil membuktikan dirinya benar-benar wujud telah tamat.

Kini mereka mengatakan tidak penting sama ada “Father Augustus Chen” wujud atau tidak, sebaliknya yang penting ialah sama ada tuduhan-tuduhan yang dilemparkannya dalam risalah itu benar.

Perubahan nada mereka ini sungguh mengaibkan, kerana jelas bahawa jika pengarang risalah itu sendiri direka-reka, maka tuduhannya lebih-lebih lagi tidak sepatutnya diberi perhatian kerana hampir pasti semua yang ditulisnya juga adalah rekaan dan pembohongan.

Bagaimanapun, DAP tetap bersedia untuk memberi respons terhadap setiap pembohongan yang dikemukakan “Father Augustus Chen” dalam tanya siasat awam jka Ketua Pengarah RoS sanggup untuk turut memberikan penjelasan dalam tanya siasat awam tentang bukti yang beliau gunakan untuk mengambil tindakan terhadap DAP.

Dua tuduhan utama oleh “Father Augustus Chen” untuk mengatakan pemilihan CEC tidak sah, iaitu kerana “753 perwakilan tidak hadir (kebanyakannya berketurunan India)” kerana tidak diberikan notis untuk hadir dan mengundi di Kongres DAR dan kerana “547 perwakilan hantu (kebanyakan dari Pulau Pinang)” ternyata adalah bohong.

Kami mahu Ketua Pengarah RoS menyatakan secara jelas sama ada beliau bertindak ke atas DAP berasaskan salah satu atau kedua-dua pembohongan ini.

Sesuatu yang menghairankan kerana tuduhan tentang “547 pengundi hantu” itu baru saja muncul bulan lalu dan tidak pernah dibangkitkan oleh RoS kepada DAP sejak tujuh bulan lalu.

Memandangkan “Father Augustus Chen” terbukti adalah satu makhluk rekaan dan risalahnya adalah pembohongan, apakah alasan untuk Ketua Pengarah RoS menganggap pemilihan CEC DAP yang lalu tidak sah dan mengarahkan DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC?

DAP dan rakyat Malaysia berhak tahu sebab-sebabnya memandangkan DAP telah memberi penjelasan tentang gangguan komputer sewaktu pemilihan CEC DAP di Pulau Pinang Disember lalu di mana gangguan itu adalah kesilapan kecil yang tidak disengajakan dalam sebuah proses pemilihan yang demokratik dan telus – memandangkan kesilapan hanya berlaku sewaktu pemindahan keputusan yang membawa kepada kesilapan dalam pengumuman pemenang dan bukannya kesilapan dalam pengiraan atau penjumlahan undi.- Lim Kit Siang

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Post a Comment