Monday, August 26, 2013

Awakening: Jawapan Mahathir di luar jangkaan

Setelah menangguh beberapa lama untuk memberi respon terhadap dakwaan Pak Lah terhadapnya dalam buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia, Mahathir akhirnya menulis dalam blognya untuk menjawab sebahagian daripada isu-isu yang ditujukan kepadanya.

Namun tidak sebagaimana biasanya, Mahathir yang sering melawan apabila dicabar dan bertindak lebih keras terhadap orang yang mengkritiknya, kali ini beliau memilih untuk menjawab dengan cara sinis dan sindiran saja.

Dalam blognya hari ini, Mahathir menjawab bahawa walaupun kerajaan yang dipimpin oleh Pak Lah untuk menghadapi pilihanraya 2008 adalah kerajaan yang kaya dan mampu menyimpan berbilion ringgit wang kerajaan tetapi lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan telah jatuh ke tangan pembangkang serta menyebabkan BN hilang majoriti dua pertiga.

Kerajaan yang menghadapi pilihanraya 2008 adalah kerajaan yang kaya tetapi malangnya rakyat tidak menghargainya, sindir Mahathir lagi.

Dengan nada yang lebih sinis, Mahathir juga berkata, cuba bayangkan berapa billion ringgit akan dapat diselamatkan jika beliau bersara lebih awal daripada itu dan kita akan duduk di atas gunung-ganang yang dipenuhi wang ringgit.

Sebaik buku itu diterbitkan dan terkandung didalamnya wawancara dengan Pak Lah yang antara lain memuatkan dakwaannya bahawa negara akan muflis jika beliau terus berbelanja sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2003 lalu serta meneruskan projek-projek besar yang dimulai oleh Mahathir, jawapan balas daripada bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu sentiasa ditunggu-tunggu.

Antara projek yang dibatalkan oleh Pak Lah sebaik mengambil alih jawatan Perdana Menteri, walaupun sudah diluluskan dan dipersetujui kabinet ialah pembinaan rel berkembar dari selatan ke utara tanahair dan Jambatan Bengkok menggantikan Tambak Johor.

Pembatalan itu bagaimanapun membuatkan kerajaan membayar pampasan yang agak besar kepada syarikat-syarikat terbabit manakala pembinaan rel berkembar pula diteruskan beberapa tahun kemudian dengan kos yang lebih tinggi.

Ketika kali pertama diminta responnya mengenai dakwaan Pak Lah itu, Mahathir mengelak untuk menjawabnya dengan alasan belum membaca dan mahu mengkaji kandungannya terlebih dahulu. Kali kedua, tidak lama kemudian, beliau juga tidak mahu memberi jawapan balas mengenai dakwaan yang dibangkitkan Pak Lah itu.

Namun jawapan Mahathir yang penuh sindiran dan sinis mengenai dakwaan Pak Lah ini turut mengundang persoalan. Ini kerana ia bukan kebiasaan bagi Mahathir. Biasanya apabila dakwaan langsung yang ditujukan kepadanya atau berkaitan kepimpinannya, Mahathir akan membalasnya dengan lebih keras serta dengan fakta dan angkanya sekali.

Lebih-lebih lagi jika dakwaan itu dibangkitkan oleh musuh-musuh politik yang didendaminya, tambahan pula Pak Lah adalah pengganti yang dipercayainya tetapi kemudian bertukar menjadi musuh dengan beliau akhirnya berkempen menjatuhkan Pak Lah serta menyebabkan BN menerima keputusan buruk pada 2008.

Dalam sejarahnya, Mahathir jarang memberi ruang kepada sesiapa mencabar atau memperlekehnya. Beliau akan bingkas menjawab, mempertahan dan menyerangnya kembali sehingga ramai orang merasakan berbaik-baik dan melayan kehendaknya adalah lebih berbaloi berbanding bermusuh dengannya.

Apakah jawapan penuh sindiran ini bermakna Mahathir sudah berubah watak? Atau barangkali beliau merasakan Pak Lah bukan lagi musuh politik yang perlu dilawannya dengan bersungguh-sungguh seperti dulu?

Meskipun menyindir Pak Lah, Mahathir dalam tulisannya ini bagaimanapun mengingatkan bahawa sebagai sebuah kerajaan, tindakan berbelanja untuk menghidupkan ekonomi dan seterusnya mendapatkan penghargaan daripada rakyat adalah juga penting kerana rakyat akan mengadili kerajaan setiap lima tahun sekali.

Peringatan ini, barangkali ini juga ditujukannya kepada Najib yang turut terjebak antara defisit dan berbelanja sehingga rungutan mengenai kelembapan ekonomi dan suasana ekonomi yang suram turut kedengaran di kalangan usahawan dan ahli-ahli perniagaan ssjak akhir-akhir ini. - Shahbudin Husin

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Post a Comment