Sunday, July 21, 2013

Tindakan Peguam Negara menganiaya Najib? Kenapa, Jom Terjah...+Video

Peguam Negara Jangan Aniaya Najib?
Berikutan tindakan yang sudah diambil oleh Peguam Negara terhadap pasangan blogger seks, Alvin Tan dan Vivian Lee yang didapati menghina Islam dan memuatkan perlakuan berunsur lucah mereka dalam internet, pihak kerajaan khususnya kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak sedang diasak untuk mengambil tindakan yang serupa terhadap pihak-pihak lain yang juga didapati menghina agama selain Islam.

Antara yang tersohor agar diambil tindakan oleh Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mahu membakar kitab Injil berbahasa Melayu yang menggunakan perkataan Allah dan Zulkifli Nordin yang didapati mempersenda penganut agama Hindu dengan mengejek tuhan agama itu tidak mempunyai kuasa walau untuk menghalang banjir sekali pun.

Sementara semua rakyat berbilang kaum dan agama mengalu-alukan tindakan tegas dan pantas yang diambil terhadap pasangan Alvin dan Vivian, rakyat juga sebenarnya mengharapkan tindakan yang serupa seharusnya diambil terhadap Ibrahim dan Zulkifli. Walaupun penghinaan yang dilakukan oleh Ibrahim dan Zulkifli mungkin tidak seserius dan seberat yang dilakukan oleh Alvin dan Vivian tetapi penghinaan walau dalam apa bentuk dan cara sekali pun, tetap merupakan penghinaan dan tidak boleh diterima sama-sekali.


Lebih-lebih lagi Ibrahim dan Zulkifli adalah "public figure" yang dikenali ramai dan mempunyai banyak pengikut, sudah tentu perbuatan mereka itu boleh mempengaruhi ramai orang.

Dalam hal ini, ketegasan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi semalam yang memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa saja dan yang menghina agama apa pun, seharusnya dibuktikan dengan perbuatan dan bukan sekadar amaran semata-mata.

Ini kerana mengambil tindakan yang menyeluruh dan sama rata bukan saja mencerminkan keadilan Islam yang menjadi agama rasmi negara tetapi juga mampu menyerlahkan cantiknya wajah Islam sendiri di mata rakyat pelbagai kaum. Dalam hal ini, Najib yang merupakan Perdana Menteri mempunyai tugas yang amat penting untuk memperlihatkan wajah Islam yang sebenar dan kepimpinannya yang adil itu kepada umum, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kegagalan mengambil tindakan yang tegas dan menyeluruh kepada semua kelompok yang didapati menghina agama akan memperlihatkan cacatnya Islam yang diamalkan di negara ini dan juga menampakkan kegagalan Najib sebagai pemimpin yang beragama Islam.

Desakan pelbagai pihak juga membuatkan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bersuara bahawa siasatan terhadap Zulkifli sudah dilakukan oleh pihak polis dan telah diserahkan kepada Peguam Negara tetapi diberi respon NFA atau "no further action" (tiada tindakan lanjut) manakala bagi kes Ibrahim juga siasatan sudah dibuat tetapi tiada jawapan diberikan oleh Peguam Negara sehingga kini.

Dalam hal ini, maknanya pihak polis sudah menjalankan tanggungjawabnya, cuma Peguam Negara yang tidak melaksanakannya.

Soalnya kenapa kes itu NFA dan senyap? Apakah penilaian Peguam Negara berdasarkan keadilan sejagat atau kerana faktor-faktor lain?

Jika Peguam Negara boleh bertindak begitu tegas terhadap pasangan Alvin dan Vivian sehingga mereka tidak dibenarkan ikat jamin dan terpaksa bermalam di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang, walaupun kesalahan hanyalah dibawah akta SKMM dan Akta Hasutan, tidak ada sebab sebenarnya sebarang tindakan, walaupun lebih ringan, tidak boleh diambil terhadap Ibrahim dan Zulkifli.

Penghinaan Zulkifli terhadap agama Hindu sudah dilakukan 10 tahun yang lalu dan baru didedahkan dua atau tiga tahun yang lalu, sementara kes Ibrahim mahu membakar kitab Injil pula berlaku setahun yang lalu. Sekiranya Peguam Negara dapat bertindak tegas lebih awal keatas kedua-dua kes ini, mungkin penghinaan Alvin dan Vivian kepada Islam tidak muncul.

Keberanian dan kebiadapan mereka melakukan penghinaan kepada agama lain ialah kerana mereka melihat orang lain juga bebas melakukan perkara yang sama sebelum ini dan tidak diambil apa-apa tindakan.

Dalam usaha menegakkan keadilan dan menunjukkan kemurnian Islam itu sendiri, Peguam Negara tidak seharusnya bertindak memilih bulu. Tindakan harus sama rata dan menyeluruh, barulah semua orang takut untuk melakukannya.

Sekiranya Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara, Ghani Patail asyik dengan NFA saja dalam banyak cara kerjanya, terutama dalam kes-kes seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin, tindakan beliau akan dilihat seperti menganiaya Perdana Menteri dan kepimpinan politik yang sentiasa cuba mewujudkan keharmonian kaum dan agama serta mahu melihat hubungan kaum kekal harmoni dan aman sepanjang masa.

Kepimpinan politik dan kerajaan sepanjang masa bercakap tentang keadilan Islam dan sikap kerajaan yang tidak memilih bulu walau melibatkan apa kaum dan agama sekali pun, namun banyak perkara tersekat apabila sampai ke Jabatan Peguam Negara.

Lainlah jika Peguam Negara memang mahu menyusahkan Perdana Menteri dan orang-orang politik. (SH 20/07/2013)




* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Demo LoNie

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment