Tuesday, July 23, 2013

Surat "PANAS" untuk Mat Said +Video

Datuk Seri Ahmad Said,
Sejurus selepas tamatnya Pilihan Raya Umum ke-13, sebuah akhbar arus perdana melaporkan Kerajaan Negeri Terengganu yang diperintah Barisan Nasional (BN) tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang tidak dimenangi BN. 

Saudara turut dipetik berkata tidak akan membina rumah mampu milik di kawasan DUN yang BN kalah. Sebaliknya rumah mampu milik itu hanya akan dibina di kawasan yang dimenangi parti saudara saja.
 
Tindakan itu menampakkan tanda-tanda membalas dendam terhadap rakyat yang memilih untuk tidak menyokong BN. 

Sedangkan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan telah menjamin hak seorang warganegara Malaysia untuk memilih wakil mereka, sesiapa saja yang rakyat rasakan cocok. 

Terbaru, muncul video ucapan saudara menghuraikan maksud “adil” dengan pengertian yang sangat dangkal. Sekaligus menggambarkan pendirian politik saudara dan mungkin juga keseluruhan parti saudara.

Di dalam video itu saudara menyatakan, “Adil ertinya memberi dan menerima. Tuan-tuan beri undi (pada) kita, kita beri bantuan pada tuan-tuan. Tuan-tuan tak undi kita, kita tak berilah. Betul tak? Inilah politik. Politik mendahulukan pengikut dia.”

Pendirian politik sedemikian bukan saja bercanggah dengan semangat perlembagaan dan demokrasi. Tetapi juga mencerminkan pemahaman politik yang bejat. Nampaknya saudara tidak faham prinsip demokrasi yang menjadi tapak asas negara ini dan peranan sesebuah kerajaan di dalam negara demokrasi. Maka saya terpanggil menulis warkah ini untuk menjelaskan kepada saudara, moga-moga hilangnya gelap pembodohan dengan cahaya pencerahan.

Demokrasi dan Kuasa Rakyat
Enam tahun selepas Kemerdekaan tanah air kita, Tunku Abdul Rahman menegaskan di dalam Pemasyhuran Malaysia pada 16 September 1963 dengan ikrar bahawa Malaysia “akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat…” Di dalam sistem demokrasi yang ideal kuasa dan pembabitan politik tidak berpusat kepada mana-mana individu atau kumpulan kecil sebaliknya dikongsi bersama semua rakyat. Sekiranya saudara hendak memahami dengan mudah bentuk kekuasaan rakyat ini, mungkin saudara boleh rujuk kartun politik dari akhbar Majlis pada Februari 1948 yang melakarkan slogan dilaungkan parti UMNO lama (bukan UMNO Baru yang saudara sertai sekarang) iaitu, “Rakyat itu raja!”

Sekalipun kuasa itu di tangan semua, leluhur kita telah memilih sistem yang dirasakan lebih menjamin semak dan imbang untuk melancarkan urusan pentadbiran. Maka dibahagikan kuasa kepada tiga badan; badan penggubal undang-undang, pelaksana undang-undang dan badan yang menjalankan urusan pentadbiran mengikut undang-undang. Beralasankan praktikal bahawa mustahil setiap seorang rakyat boleh terbabit dalam membuat keputusan atau mungkin mahu meniru saja sistem Westminster, maka leluhur kita telah memilih sistem demokrasi perwakilan dan berparlimen. Tiap seorang rakyat yang dikatakan ‘raja’ itu perlu memilih wakil mereka untuk urusan penggubalan undang-undang dan orang yang akan menguruskan negara bagi pihak mereka dalam hal pentadbiran. Sebab itulah saudara digelar wakil rakyat dan bukannya wakil UMNO atau wakil juak-juak Mat Said.

Rakyat perlu memilih seseorang atau sekumpulan manusia untuk mewakili mereka. Ketepikan dulu soal adil atau tidak, pemilihan dibuat berdasarkan undi dan siapa yang memiliki lebih banyak undi daripada pesaingnya akan menang. Namun ini pemilihan, bukan pertandingan kalah mati yang mana pemenang hidup dan yang kalah mati. Ibaratkan satu keluarga dengan tujuh orang anggota dan cuma satu kenderaan. Pening memikirkan mahu balik ke kampung sebelah ayah atau sebelah ibu pada Hari Raya pertama. Akhirnya mereka bersetuju memutuskan dengan undian ala first past the post. Tiga undi memihak kepada kampung si ayah dan empat undi memihak kampung si ibu. Maka berapakah bilangan ahli keluarga yang akan pulang ke kampung sebelah ibu?

Tentulah semua tujuh ahli keluarga kerana pengundian itu hanya bertujuan memudahkan pilihan, bukan mengetepikan sesiapa. Cuma kalau mengikut rumus keadilan saudara yang bermasalah, empat ahli keluarga akan pulang ke kampung sebelah ibu dan tiga lagi tinggal di rumah, terhukum!

Hak Rakyat
Kembali kepada apa yang dikatakan “rakyat itu raja”. Saudara hendaklah sedar bahawa apabila disebut rakyat, ia merujuk kepada warga sesuatu negara atau negeri, yang terdiri daripada mereka yang menyokong saudara dan tidak menyokong saudara. Apabila dikatakan “rakyat itu raja” maka ia juga membawa makna negara ini milik setiap rakyatnya, tidak kira apa pandangan politik mereka. Bukan seperti zaman dahulu kala apabila negara dan segala hasilnya adalah milik mutlak individu tertentu baik dengan gelaran Maharaja, Raja, Pembesar dan sebagainya. Sekiranya saudara boleh faham ini, maka saudara akan tahu bahawa setiap hasil negara mahu pun negeri adalah hak rakyat dan bukan hak saudara serta juak-juak saudara.

Kuasa dan harta rakyat telah diamanahkan kepada saudara untuk diurus dan ditadbir, dengan harapan kebaikannya akan dirasai semua tidak kira siapa. Maka bolehlah dikatakan perbuatan menyalahgunakan amanah itu untuk kepentingan politik sendiri, UMNO dan penyokong saudara semata adalah pengkhianatan terhadap hak rakyat. Tidak kira parti mana yang melakukannya, yang salah tetap salah. Kecurangan seperti ini sedikit demi sedikit mencabut nyawa demokrasi yang sememangnya sudah nyawa-nyawa ikan serta membiakkan feudalisme.

Barangkali kegagalan saudara untuk memahami sistem negara ini membuatkan pengertian “adil” saudara herot. Atau mungkin kacau-bilau pandangan saudara berpunca daripada pemahaman politik saudara, yang melihat politik tidak lebih daripada sekadar perebutan kuasa demi terus berkuasa dan membolot segala kepentingan diri. Sekiranya saudara seorang yang budiman dan memiliki pemahaman politik yang jernih, tentu saudara akan berjiwa besar mewakili seluruh rakyat -sesuai dengan gelaran wakil rakyat- dan tidak hanya memikirkan puak-puak sendiri dan survival politik sendiri. Saya menyeru saudara Ahmad Said supaya saudara dan parti saudara meninggalkan amalan korup sebegitu dan jadilah ahli politik berjiwa besar dan demokrat. - Edry Faizal Eddy Yusof

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Demo LoNie

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment