Tuesday, July 30, 2013

SELESAIKAN KRISIS BEKALAN DIESEL SEGERA

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan menyelesaikan segera krisis bekalan minyak diesel di beberapa negeri berikutan banyak aduan daripada pengguna jalan raya bahawa bekalan minyak diesel habis di stesen-stesen minyak. Keadaan ini sudah berlarutan beberapa hari lamanya dan ia menimbulkan kekalutan bagi pengguna jalan raya, khususnya pemandu-pemandu lori.

2. Lebih dari itu, krisis bekalan minyak diesel bukan hanya berlaku di Semenanjung, malah ia juga berlaku di Sabah dan Sarawak. Jika ini berlarutan, ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi ketika negara berada di ambang sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi. Apa yang dibimbangkan adalah harga-harga barang terutama makanan akan meningkat mendadak atas faktor tersebut.

3. DPPM merasa kesal kerana kerajaan khususnya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak menyelesaikan permasalahan ini dengan segera. Sehingga hari ini, tiada kenyataan rasmi dibuat ataupun tindakan diambil bagi memastikan masalah ini diselesaikan. Apakah kerajaan tidak prihatin dengan penderitaan dan kesusahan rakyat berhadapan dengan kemelut ini? Di mana slogan “rakyat didahulukan” apabila kerajaan masih diam membisu membiarkan kekalutan ini berlaku di banyak tempat?

4. Apa yang diketahui krisis diesel tidak meruncing di peringkat antarabangsa, justeru sepatutnya ia tidak menjadi suatu masalah kepada negara membekalkannya mengikut keperluan pasaran semasa. Apakah krisis ini dicipta dengan usaha terancang bagi memberi laluan agar harga diesel dinaikkan terutama di musim-musim perayaan seperti ini? Mungkinkah harga diesel akan dinaikkan dalam masa terdekat?

5. Justeru, DPPM mendesak suatu penjelasan diberikan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhubung isu ini. Kerajaan perlu proaktif dengan melihat senario yang berlaku, dan sebelum krisis ini menjadi parah, seharusnya kerajaan bertindak cepat bagi menyelesaikannya.

6. Dengan mandat baharu melalui PRU ke 13 daripada rakyat, inilah masanya kerajaan berkorban dan berbakti kepada rakyat sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang diberikan. Hanya kerajaan yang amanah, prihatin, cekap mampu menyelesaikan permasalahan rakyat dengan tangkas. Rakyat juga tidak mahu menerima alasan harga diesel dinaikkan walau apa keadaan sekalipun.

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Post a Comment