Monday, July 8, 2013

Ridhuan Tee, Lebih Umno daripada sebahagian pimpinan Umno.

Warkah untuk Ridhuan Tee
SANGAT menarik apabila membaca tulisan-tulisan Tuan dalam akhbar Utusan terutamanya dan juga Sinar Harian. Maaf jika saya membuat kesimpulan walaupun tuan tidak menzahirkan tuan seorang ahli Umno tapi jiwa tuan ada kalanya lebih Umno daripada sebahagian pimpinan Umno.

Tuan dilihat mempunyai pandangan yang sangat negatif kepada PAS. Apa saja daripada PAS dilihat salah. Berkawannya PAS dengan DAP dan PKR seolah-olah membekalkan peluru berpandu untuk tuan menyerang PAS.

Saya tidak tahu latar belakang tuan, tetapi saya merasa sangat hairan bagaimana seorang yang berbangsa Cina dilihat sangat memusuhi Cina yang lain. Tidak tahu saya rasa benci ini berdasarkan fakta atau sentimen emosi politik yang keterlaluan.

Oleh kerana PAS berkawan dengan DAP, PAS juga tidak terlepas daripada sindiran Tuan. Saya juga tidak terkejut jika Tuan mengisytiharkan Tuan ahli Umno, sesuai dengan tulisan Tuan tetapi Tuan berselindung di sebalik status seorang tokoh akademik.

Biasanya seorang tokoh akademik mesti menulis berdasarkan fakta.

Membuat perbandingan yang adil, jujur dan amanah dengan ilmunya.

Suka saya mengajak tuan berfikif sejenak. Membuat perbandingan yang adil antara PAS dan Umno.

Ada beberapa soalan yang perlu tuan jawab.

Pernahkan Tuan melihat perlembagaan PAS dan perlembagaan Umno?.

Kalau belum sila dapatkan. Cuma di sini ingin dijelaskan bahawa apa saja dasar yang diputuskan oleh PAS, ianya mesti mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama PAS termasuklah isu tahaluf dengan PKR dan DAP. Lainlah jika Tuan melihat TGNA, TGHH, TG Harun Din, TG Haron Taib, Ust Tuan Ibrahim dan lainnya tidak ada kemampuan untuk menghurai terjemah al- Quran dan Hadis.

Ataupun Tuan merasakan ustaz-ustaz dalam Umno lebih benar dan jujur dalam ilmu mereka. Ataupun Tuan merasakan ilmu mereka tidak sehebat ilmu yang ada pada Tuan. Tidakkah ijtihad itu jika salah dapat satu pahala dan kalau betul dapat dua pahala.

Dalam masa yang sama, saya ingin bertanya Tuan: Rujukan manakah yang Umno telah buat dalam membuat keputusan isu- isu besar dan kecil dalam parti dan negara?

Tidakkah Tuan membaca kenyataan Tan Seri Muhammad Taib mantan Menteri Besar Selangor. Beliau mengatakan Umno tidak pernah membuka al-Quran untuk mengurustadbir parti dan negara.

Sepanjang Umno berkawan dengan MCA, MIC, Gerakan dan partiparti lain, pernahkah imej Islam ditonjolkan?.

Ayat al-Quran mana yang telah Umno baca untuk mereka?

Hadis mana yang telah disyarahkan? Akhlak sahabat mana yang diamalkan? Tidakkah Tuan melihat hasil Umno berkawan dengan mereka sejak merdeka ?

Hasilnya tidakkah Tuan membaca kritikankritikan pedas pimpinan MCA tentang Islam: Pernahkah Tuan membaca kritikan Dr Chua Sio Lek, Presiden MCA?

Lihat apa beliau kata tentang PAS dan Umno: “Umno dan PAS masing-masing cuba membuktikan mereka lebih Islam. Persaingan antara kedua-dua parti Melayu Islam itu telah membawa Malaysia ke arah dasardasar yang mundur ke belakang.”

“Negara Islam adalah negara rasuah. Lihat negara negara Islam sekarang”. Lihat lagi: Larangan berjabat tangan lelaki dan perempuan adalah suatu yang hina dan tak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia.”

Ini ulasan beliau dalam Pilihan Raya Kecil di Dun Tenang apabila calon PAS, Cikgu Mala tidak bersalaman dengan pengundi lelaki. Siapakah pula yang berkata “ Adun Umno hilang akal” apabila Dato' Ayub Rahmat Adun Kemelah, Johor mencadangkan Johor menjadi negeri pertama menjalankan hudud.

Tidakkah Tuan melihat pula apa kata pimpinan DAP tentang Islam? “Orang Islam boleh menggunakan dan melaksanakan hukuman ini, manakala orang bukan Islam mempraktikkan hukuman yang ditetapkan kepada mereka mengikut undang-undang yang dipersetujui bersama.”

“Orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana hukuman berkenaan hanya dijatuhkan kepada pesalah yang beragama Islam setelah melakukan penyiasatan dengan teliti,” tulis Dr Tan Seng Giaw dari DAP.

Pernahkah atau apakah usaha Tuan untuk memahamkan bangsa Cina di Malaysia supaya memahami Islam yang sebenar? Apa pendekatan Tuan dengan MCA, Gerakan, MIC dan DAP?

Atau apakah cukup Cina yang bernama Ridhuan Tee Abdullah saja yang beriman? Cina lain dibiarkan terus dalam dunia mereka?

Kenapa Tuan tidak melihat usaha PAS berkawan dengan DAP merupakan salah satu usaha supaya Cina dan India dalam DAP melihat sendiri dari dekat secara teori dan praktikalnya Islam yang diamalkan oleh pimpinan dan ahli PAS?

Pernahkah Tuan mendengar ayat- ayat Allah dan hadis Nabi dibaca dalam majlismajlis bersama PAS dan PR?

Atau Tuan sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata. Atau Tuan telah disantau lintuk oleh Umno?

Dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti Malaysia, usaha PAS ini patut dipandang dengan positif. Jangan hanya memandang dari sudut politik kekuasaan semata-mata. Betul PAS parti politik, tetapi PAS tidak mengkesampingkan gerakan dakwah dan tarbiyahnya. Usaha PAS dan DAP usaha yang murni.

Tidak keterlaluan jika saya katakan sejak PAS bertahaluf dengan DAP hubungan harmoni antara kaum jelas tergambar. Rasa curiga mencurigai semakin berkurang. Persahabatan mereka nampak lebih ikhlas. Mereka bersama dalam misi menegakkan keadilan.

Banyak lagi persoalan yang ingin diajukan pada Tuan, Cuma cukup sekadar ini. Bagi PAS usaha untuk menegakkan kesempurnaan kehidupan beragama di bumi Malaysia yang tercinta ini tidak akan dihentikan. Bola tetap dikejar dan ditendang walaupun stokin dipenuhi kemuncup.


Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment