Thursday, July 18, 2013

Pasangan persenda Islam didakwa di mahkamah esok, kata polis

Pasangan yang mempersenda umat Islam dan Ramadan melalui laman Facebook mereka, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta esok, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.

Ku berkata demikian ketika dihubungi Bernama tetapi beliau enggan menyatakan jenis dakwaan yang akan dikenakan terhadap mereka serta masa pasangan itu akan dihadapkan ke mahkamah.

Menurut sumber polis, pasangan itu sepatutnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 3 petang ini tetapi mereka tidak berbuat demikian.

"Melalui pesanan ringkas yang dikirim oleh peguam, pasangan itu akan serah diri di Bukit Aman dan kita juga panggil mereka untuk ke IPD Dang Wangi namun sehingga petang ini mereka tidak muncul," kata sumber itu.

Pasangan itu didakwa memuat naik gambar mereka makan Bak Kut Teh beserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini di laman sosial berkenaan, baru-baru ini.

Kelmarin, Tan dan Lee memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis Kuala Lumpur membuka kertas siasatan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan kesalahan atas alasan yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, kebencian sehingga memudaratkan perpaduan. - Bernama,

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment