Tuesday, July 9, 2013

Menteri patut perangi jenayah, bukan bodohkan rakyat

BUKIT MERTAJAM, 8 JUL: Cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mewujudkan semula undang-undang baru bagi menggantikan Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan adalah bukti kegagalan kerajaan untuk menangani peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Usaha beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan sebuah akta yang zalim dilihat sebagai kerja yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Daripada memberi tumpuan kepada isu jenayah, kini Menteri ingin menghidupkan kembali satu akta zalim yang sering diperalatkan untuk menindas rakyat terutamanya ahli politik dan penyokong pembangkang,” demikian kata Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim dalam kenyataan medianya hari ini.

“Yang peliknya, Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengatakan bahawa kejadian jenayah yang tinggi hanya persepsi semata-mata.

“Ini sekali lagi menunjukkan bagaimana kerajaan BN terus memperbodohkan rakyat dengan pelbagai maklumat yang mengelirukan,” ujar beliau sambil menambah bahawa kerajaan sepatutnya memerangi jenayah secara serius dan bukan berangan untuk menghidupkan kembali undang-undang zalim.

Steven turut mencadangkan supaya undang-undang sedia ada diperbaiki prestasi penguatkuasaannya di samping meningkatkan kecekapan polis dalam menangani jenayah dan bukan membuat kerja intipan politik.

“Apabila kerajaan hanya memperuntukkan 9% sumber manusia PDRM untuk kerja Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan selebihnya untuk operasi lain, maka bukan sahaja kecekapan polis merundum malah kerajaan membahayakan anggota polis yang melawan jenayah dengan menyusutkan sumber untuk operasi yang penting itu,” ujarnya.

Steven menekankan kepentingan membanteras rasuah melalui pelaksanaan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang katanya bukan sahaja akan bertindak ke atas anggota yang menyalahguna kuasa tetapi juga bertanggungjawab dalam kenaikan pangkat pasukan polis tanpa campur tangan politik.

Menurutnya lagi, akar kepada gejala sosial termasuk jenayah yang kian meningkat adalah kebajikan masyarakat serta pembangunan ekonomi yang memperkayakan sesetengah pihak sahaja.

“Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengambil ikhtibar daripada manifesto Pakatan Rakyat dan melaksanakan dasar keadilan ekonomi seperti caruman sosial wanita RM600 setahun, penurunan harga kereta dan harga minyak, memperbaiki sistem pengangkutan awam, penghargaan warga emas RM1,000 setahun.” – Roketkini.com

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment