Wednesday, July 10, 2013

Menjual dan ali babakan perniagaan pun Rasuah..

Amaran keras SPRM kepada peniaga bazar Ramadan
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegah Rasuan Malaysia (SPRM) mengingatkan peniaga bazar Ramadan tidak ambil kesempatan meraih keuntungan melalui cara mudah dengan jual lot tapak diperolehi mereka.

Peniaga diberi amaran
Peniaga diingat tidak raih keuntungan dengan menjual lot tapak diperoleh 

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Datuk Mohamad Yusoff Akope berkata, tindakan menjual dan ali babakan perniagaan mereka juga termasuk dalam elemen rasuah.

“Pihak kami bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pantau perkara itu. Peniaga telah menandatangani surat akujanji dedikasi yang dimasukkan di dalam borang tawaran untuk tidak terlibat dengan apa-apa unsur rasuah.

“Apabila ada tawaran dilakukan, perkara itu boleh disifatkan sebagai unsur sogokan. DBKL juga ada tetapkan peraturan pemilik tapak tidak boleh memindah milik atau menjualnya. Sebarang penjualan dianggap sebagai bentuk amalan rasuah dan boleh diambil tindakan jika berserta bukti,” katanya kepada pemberita pada sidang media dekat sini semalam.

Katanya, setelah aku janji itu diperkenal, setakat ini tidak ada laporan diterima berhubung perkara itu.

Menerusi Akujanji Penganjur Bazar Ramadan 2013, klausa itu menyebut ‘Saya berjanji tidak akan terlibat dalam sebarang perlakuan rasuah sepanjang urusan saya dengan pihak terbabit yang ada kaitan dengan urusan tapak bazar Ramadan dan saya sedar, saya boleh diambil tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jika saya terlibat dalam perbuatan tersebut’.

Menurut Yusoff, dalam tempoh lima tahun ini pihaknya menerima lebih 20 aduan berhubung salah laku mengenai pengagihan tapak bazar Ramadan khususnya di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Masjid India.

“Bagi bendung salah laku itu, SPRM adakan beberapa siri rundingan dengan DBKL untuk bendung isu penjualan tapak bazar Ramadan ini. Sehubungan itu kami temui kata sepakat apabila DBKL menerima syor SPRM untuk memansuhkan 58 tapak kuota khas menteri dan 44 kuota khas persatuan di bawah DBKL,” katanya.

Menurutnya, kuota khas itu menjadi isu besar peniaga apabila terdapat aduan tapak-tapak yang bernilai tinggi dijual dengan harga RM20,000 sehingga RM30,000.

Bermula tahun ini, DBKL juga meletakkan syarat tambahan iaitu, setiap pemohon perlu mempunyai lesen penjaja yang dikeluarkan oleh DBKL dan masih sah tempohnya bagi Kawasan Undi-Pusat Bandar sahaja.

Yusoff berkata, empat agensi akan terlibat menjalankan penguatkuasaan dan pantau perjalanan perniagaan bazar Ramadan sepanjang bulan ini.

Hasil tinjauan Sinar Harian di beberapa laman web jualan termasuk Mudah.com mendapati masih ada penjualan tapak dibuat sehingga mencecah RM17,000.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pihaknya akan tarik lesen peniaga di tapak bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India yang melanggar syarat ditetap pihak berkuasa tempatan. SH

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment